Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Pengawalan Bitcoin di Negara-negara Lain

Sejak trend bitcoin mula tersebar di seluruh dunia, banyak negara sudah mencuba untuk menyekat penggunaan bitcoin di negara mereka. Namun begitu, semakin hari semakin mereka sedar bahawa fenomena ini tidak boleh disekat lagi. Ini adalah kerana kelebihan bitcoin yang menjadikan ia tidak boleh dikawal selia oleh mana-mana pihak. Justeru itu, beberapa negara sedang membuat pertimbangan untuk menguatkuasakan pengawalan bitcoin atau regulated circulation. 

1 Masalah pengawalan bitcoin

Sebenarnya, tidak semudah itu untuk mengenakan peraturan ke atas penggunaan bitcoin. Masalah paling utama adalah kerana pemilikan dan urusan jual beli bitcoin adalah berasaskan konsep anonymity. Struktur bitcoin ini yang menggunakan teknologi blockchain hanya menggunakan kombinasi public key dan private key untuk menjalankan proses transaksi. Oleh kerana itu, kawalan bitcoin sangat susah kerana tiada siapa tahu identiti penjual atau pembeli bitcoin.

Tambahan lagi, bitcoin bukan satu-satunya mata wang krypto yang boleh digunakan. Ini menyebabkan kawalan semua altcoin sukar dan kompleks. Kebanyakkan pemilik bitcoin juga tidak mahu masuk campur penguatkuasa dalam hal berkaitan bitcoin. Ini boleh dilihat di negara Amerika Syarikat, di mana pemilik bitcoin tidak melaporkan bitcoin mereka dalam borang cukai walaupun terdapat undang-undang yang menguatkuasakan cukai ke atas bitcoin di negara itu.

2 Negara-negara yang terlibat dalam pengawalan bitcoin

Walaupun terdapat pelbagai masalah untuk mengawal bitcoin, banyak negara sudah mula merancang untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan bitcoin. Hari ini penulis akan berkongsi beberapa contoh negara yang sudah mempunyai undang-undang bitcoin atau sedang memulakan proses untuk mengawal selia penggunaan bitcoin.

India

Tahun 2013 yang lalu, Reserve Bank of India (RBI) telah mengeluarkan satu pernyataan tentang amaran menggunakan mata wang krypto atau virtual. Kerajaan negara itu melihat penggunaannya berisiko tinggi kerana tiada nilai asas. Kenyataan RBI itu juga memberitahu orang ramai bahawa mereka akan menyiasat penggunaan mata wang krypto di negara itu.

Kenyataan itu diulang kembali pada awal tahun ini oleh kementerian kewangan negara itu dengan tambahan tentang status mata wang krypo yang menyalahi undang-undang. Ternyata kenyataan itu tidak diambil endah oleh orang ramai kerana transaksi bitcoin di negara itu kekal sama. Pada 12 April 2017, kerajaan India telah mengumumkan bahawa mereka sedang membentuk satu komiti untuk melaksanakan undang-undang ke atas bitcoin. Komiti yang terdiri daripada central bank dan beberapa institusi kewangan lain, dijangka akan membentangkan laporan akhir dalam masa 3 bulan.

China

People’s Bank of China (PBOC) telah mengambil langkah pertama dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas penggunaan bitcoin pada 5 Disember 2013. Institusi-institusi kewangan di negara itu telah dilarang sama sekali untuk menguruskan transaksi bitcoin. Dalam kenyataan PBOC di laman web mereka, larangan ini termasuk meletakkan harga, membeli, menjual dan menawarkan produk insurans yang berkaitan bitcoin.

Walaupun begitu servis-servis pertukaran bitcoin di negara itu tetap menjalankan jual beli bitcoin seperti biasa dan permintaan untuk bitcoin di China semakin meningkat. Pada tahun 2014, PBOC telah mengeluarkan arahan supaya bank-bank komersial dan syarikat-syarikat yang menguruskan pembayaran bitcoin untuk menutup operasi mereka selama dua minggu.

Awal tahun ini PBOC telah memulakan pemeriksaan on-site ke atas tiga servis pertukaran terbesar China, OKCoin, BTCChina, and Huobi. Laporan mengatakan bahawa pemeriksaan sudah hampir tamat dan ketiga-tiga servis pertukaran itu akan dikenakan penalti pentadbiran. Baru-baru ini syarikat kewangan media terbesar China, Caixin, telah mendedahkan bahawa PBOC telah menyiapkan draf undang-undang berkenaan perniagaan bitcoin dan servis pertukaran yang akan dikuatkuasakan bulan Jun nanti.

Jepun

Pada 7 March 2014, kerajaan Jepun telah menetapkan bahawa bitcoin tidak akan dianggap sebagai mata wang atau bon di negara itu di bawah Akta Perbankan dan Undang-undang Instrumen Kewangan dan Pertukaran. Keputusan itu juga mengimplikasikan bahawa tiada undang-undang di negara itu yang melarang individu dan organisasi daripada menerima bitcoin dalam pertukaran barangan dan perkhidmatan.

Bermula 1 April 2017, kerajaan Jepun telah mengumumkan undang-undang berkenaan perniagaan dan pertukaran bitcoin telah berkuatkuasa dan bitcoin secara rasminya diterima sebagai mata wang di negara itu. Seksyen 3 dalam Akta Perbankan negara Jepun kini mengandungi penyataan tentang mata wang virtual yang mengenali bitcoin dan altcoin lain sebagai kaedah pembayaran yang sah.

Australia

Negara itu menganggap mata wang krypto sebagai aset, dan semua transaksi yang melibatkan mata wang krypto boleh dikenakan cukai. Pada 20 August 2014, Pejabat Cukai Australia (ATO) telah mengeluarkan kertas garis panduan serta draf-draf untuk menguatkuasakan undang-undang ke atas mata wang krypto.

Menurut ATO, GST akan dikenakan ke atas bitcoin yang dijual dan keuntungan pula akan dikenakan cukai. Penguatkuasaan undang-undang itu telah menimbulkan masalah dari segi double-taxing apabila GST dikenakan ke atas barangan dan servis serta mata wang krypto yang di gunakan dalam transaksi. Baru-baru ini kerajaan Australia telah mengesahkan bahawa undang-undang yang menjadikan bitcoin mata wang biasa dan bukan aset akan dikuatkuasakan mulai 1 July 2017.

Singapura

Kerajaan Singapura telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan masuk campur dalam hal jual beli menggunakan bitcoin pada Disember 2013. Namun begitu, pada Januari 2014, jabatan cukai Singapura, Inland Revenue Authority of Singapore telah mengeluarkan garis panduan berkenaan pembelian, penjualan dan pertukaran bitcoin untuk perniagaan tempatan dan individu yang memiliki bitcoin.

Dalam panduan itu, jika sesuatu perniagaan menggunakan bitcoin dalam operasi mereka, cukai akan dikenakan ke atas keuntungan daripada bitcoin yang diperoleh. Menukar barangan dan servis dengan bitcoin pula akan dikenakan GST. Bitcoin tidak dianggap sebagai barangan, ataupun matawang di negara itu. Sebaliknya GST yang dikenakan adalah ke atas servis menjual bitcoin.

Malaysia

Di negara kita sendiri, Bank Negara telah mengeluarkan kenyataan pada 3 Januari 2014 mengumumkan bahawa penggunaan bitcoin atau mata wang digital tidak diiktiraf sebagai sah. Mereka juga tidak mengawal selia urus niaga bitcoin. Ramai orang berpendapat ini adalah perkara yang baik, kerana ketiadaan cukai atau campur tangan pihak berkuasa untuk mengawal bitcoin. Bagaimana pendapat anda pula?

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.