An image for a post about bitcoin selamat

Dalam kekecohan tentang perpecahan Bitcoin beberapa hari ini, ada yang bertanya kepada penulis satu soalan yang penulis anggap penting. Lebih-lebih lagi mereka yang baru sahaja masuk ke dunia matawang krypto. Soalannya adalah: Adakah Bitcoin selamat? Kali ini penulis akan cuba mengupas isu keselamatan Bitcoin ini.

Teknologi Blockchain menghidupkan Bitcoin

Pertama sekali, kita semua wajib tahu tentang teknologi blockchain untuk faham tentang Bitcoin. Subjek ini telah diulas berulang kali dalam laman web ini seperti di sini dan di sini. 2 perkara penting yang kita perlu tahu tentang teknologi ini adalah: 1) incorruptible dan 2) immutable.

Incorruptibility

Selalu kita mendengar istilah ini apabila kita bercakap tentang rasuah. Dalam dunia Internet yang dipenuhi data sensitif, istilah ini bermaksud tiada sesiapa boleh menggunakan maklumat atau data untuk kepentingan sendiri. Sama juga dengan teknologi blockchain. Dalam rangkaian ini, beribu-ribu node mengesahkan transaksi dalam blok secara berterusan setiap 10 minit.

Untuk mengambil alih rangkaian ini, seseorang individu atau kumpulan perlu menguasai lebih daripada 50% daripada total computing power dalam sistem itu. Harus kita ingat bahawa kos mining rig dan dicampur dengan elektrik bukanlah murah, jadi insentif bagi mereka adalah sangat kecil. Sebab itulah teknologi ini dianggap incorruptible.

Immutability

Istilah ini bermaksud sesuatu tidak akan berubah atau tidak boleh diubah. Dalam kes Bitcoin, transaksi dimasukkan ke dalam blok sebelum di proses oleh nodes. Blok-blok ini mempunyai hash function daripada blok-blok sebelumnya sebagai rujukan. Jadi, jika satu blok diambil dan hash function blok tersebut diubah, apabila blok tersebut diproses oleh node lain, perbezaan hash function akan menyebabkan blok tersebut dan blok-blok seterusnya ditolak olah node lain dan akibatnya, tidak disahkan.

Untuk memastikan ini tidak berlaku, seseorang itu mesti mengambil blok yang diingini bersama-sama semua blok-blok lain seterusnya dan mengubah setiap hash function dalam blok-blok yang telah diambil tadi. Usaha ini bukan sahaja mengambil masa yang lama tetapi juga tenaga elektrik yang banyak.

Kedua-dua ciri-ciri ini sangat penting dalam membentuk keselamatan Bitcoin.

Jadi kenapa pernah ada berita tentang kehilangan Bitcoin?

Tidak dinafikan sejarah Bitcoin juga mempunyai titik-titik hitam. Peristiwa terbesar sekali adalah serangan ke atas Mt Gox menyebabkan syarikat itu kehilangan sebanyak 850,000 BTC yang bernilai lebih USD$470 juta pada tahun 2013. Mt Gox pada waktu itu adalah syarikat servis pertukaran terbesar Bitcoin.

Seperti yang kita tahu, transaksi Bitcoin melibatkan tandatangan digital (ciri-ciri ini menyebabkan Bitcoin dianggap anonymous). Tandatangan digital ini dijana dengan menggunakan private key dan public key. Seperti nama mereka, public key ini diketahui awam dan digunakan sebagai alamat utama untuk menjalankan transaksi. Manakala private key pula hanya diketahui pemiliknya yang digunakan untuk akses Bitcoin mereka.

Kebanyakan wallet dan servis pertukaran pada hari ini melindungi private keys melalui encryption. Pada September 2011, seorang hacker telah mencuri private keys pemilik Bitcoin yang disimpan dalam Mt Gox, yang masih belum melalui proses encryption. Hacker tersebut hanya mula mengeluarkan Bitcoin daripada alamat-alamat berkaitan private keys bermula tahun 2013. Apa yang pelik adalah sistem Mt Gox menganggap pengeluaran Bitcoin ini sebagai deposit, dan memasukkan sehingga 40,000 BTC ke dalam wallet alamat-alamat itu.

Mt Gox bukanlah syarikat pertukaran Bitcoin pertama yang diserang, tetapi ia adalah yang terbesar dalam sejarah. Antara syarikat-syarikat pertukaran Bitcoin yang pernah diserang hackers termasuk Bitcoinica, BitFloor, Poloniex, Bitcurex dan Canadian Bitcoins. Bukan syarikat pertukaran sahaja, malahan servis wallet Inputs.io dan BIPS, dan bank Bitcoin Flexcoin menemui nasib yang sama. Skim Ponzi juga banyak berleluasa dan yang paling besar adalah kes Bitcoin Savings and Trust yang telah mengambil lebih 700,000 BTC daripada pelanggannya.

Adakah ini bukti Bitcoin tidak selamat?

Tidak sama sekali. Cuba kita lihat balik semua kes-kes di atas. Apa persamaan antara mereka semua? Kesemua kehilangan Bitcoin melibatkan serangan hackers ke atas syarikat pertukaran. Bermakna bukan Bitcoin yang tidak selamat, tetapi sistem keselamatan syarikat-syarikat itu sendiri yang tidak cukup.

Sistem Bitcoin itu sendiri sangat sukar untuk diserang hackers kerana ciri-ciri yang telah diulas di atas. Sama seperti kita memilih bank untuk menyimpan wang kita, wallet atau platform pertukaran yang dipilih untuk Bitcoin kita juga adalah risiko yang ditanggung kita sendiri.

Jadi persoalan sama ada Bitcoin itu selamat sepatutnya tidak perlu dibincangkan. Buatlah pilihan yang bijak dalam menyimpan Bitcoin anda, kerana berbeza dengan wang fizikal, jika anda kehilangan Bitcoin atau matawang krypto lain, kemungkinan besar anda tidak akan menemuinya kembali.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here