an image on a post about litecoin malaysia

Litecoin merupakan satu lagi matawang krypto yang konsisten berada di tangga kelima teratas dalam pasaran matawang krypto. Minggu yang lalu penulis telah mengulas tentang Ripple, dan bagaimana ia kekal sebagai matawang krypto ketiga terbesar. Anda boleh baca di sini jika anda terlepas artikel itu. Kali ini penulis akan menulis tentang Litecoin pula.

Litecoin, matawang yang ingin mengatasi Bitcoin

Jika Bitcoin dianggap sebagai ’emas’ dalam matawang krypto, Litecoin pula dianggap sebagai matawang ‘perak’. Pada 5 Julai yang lalu, jumlah dagangan Litecoin melebihi USD$1 billion dan orang ramai mula menumpukan perhatian kepada matawang yang seakan Bitcoin itu.

Dari segi konsep, Litecoin mempunyai fungsi yang pertama seperti Bitcoin. Ianya dibina berdasarkan blockchain Bitcoin, di mana setiap blok mempunyai nilai hash yang berturutan dari blok-blok sebelumnya. Tidak hairanlah mengapa ramai yang mengatakan Litecoin cuba meniru Bitcoin dan tidak menawarkan apa-apa kepada mereka yang memilikinya.

Perbezaan Litecoin dan Bitcoin

Litecoin diumumkan pada tahun 2011, hanya dua tahun selepas Bitcoin dilancarkan. Misi utama Litecoin sememangnya adalah untuk menjadi ‘perak’ bagi Bitcoin yang dianggap ’emas’. Namun begitu, Litecoin sebenarnya banyak perbezaan dengan Bitcoin. Gambar rajah di bawah adalah perbandingan antara Bitcoin dan Litcoin.

an image on a post about litecoin malaysia

Proses Mining Litecoin dan kadar transaksi yang cepat

Proses mining Litecoin agak berbeza berbanding Bitcoin kerana algoritma yang digunakan adalah berbeza, walaupun Litecoin juga menggunakan protokol proof-of-work. Litecoin menggunakan algoritma scrypt – asalnya dipanggil s-cript. Algoritma ini juga berdasarkan SHA-256, tetapi pengiraan matematik dalam algoritma ini lebih bersiri. Program Scrypt memerlukan kelajuan RAM yang tinggi, dan bukannya hanya raw processing power yang besar seperti Bitcoin.

Kesan daripada menggunakan algoritma scrypt ini ialah tidak begitu banyak persaingan untuk mining Litecoin kerana ianya lebih mudah dan tidak memerlukan processing power yang besar. Jika kita lihat, terdapat banyak operasi mining Bitcoin yang dijalankan seluruh dunia, menggunakan kuasa elektrik yang sangat besar dan sekarang ini juga sudah berlaku kekurangan kad grafik untuk mining rig. Ini boleh dikatakan kelebihan terbesar Litecoin.

Tambahan pula, masa memproses satu blok Litecoin hanya 2.5 minit, berbanding Bitcoin yang mengambil masa 10 minit. Kelebihan ini sangat berguna untuk institusi kewangan serta perniagaan antarabangsa yang perlu mengesahkan transaksi dengan cepat. Jika kita lihat kedua-dua Bitcoin dan Litecoin dari segi teknologi, ternyata Litecoin lebih hebat dengan masa singkat transaksi diproses dan juga kesenangan untuk mining Litecoin.

Hubungan Bitcoin dan Litecoin

Dalam dunia matawang krypto, perubahan harga Bitcoin banyak memberi kesan kepada matawang krypto lain. Contoh terbaru adalah ketika ‘perang Bitcoin’ yang berlaku baru-baru ini menyebabkan kejatuhan harga Bitcoin, matawang krypto lain juga turut jatuh dengan teruk. Namun begitu, Litecoin dilihat tidak begitu terkesan dengan perubahan harga Bitcoin.

Carta di bawah menunjukkan perbandingan harga Litecoin dan Bitcoin bulan Julai yang lalu.

an image on a post about litecoin malaysia

 

Kita dapat lihat bahawa harga Litecoin sebenarnya meningkat ketika harga Bitcoin statik di kadar USD$2200-2400. Harga Litecoin jatuh apabila harga Bitcoin menaik secara mendadak, dan kemudian stabil bersama Bitcoin. Carta ini membuktikan segelintir pelabur tidak yakin dengan potensi Bitcoin dan merasa Litecoin adalah pertaruhan yang lebih selamat.

Jadi, adakah Litecoin lebih hebat dari Bitcoin? Tentunya tidak kerana Bitcoin masih lagi mempunyai ‘first mover advantage’ yang mengatasi matawang krypto lain. Namun begitu, semakin ramai membuka mata terhadap Litecoin lebih-lebih lagi pelabur baru, memandangkan harga Bitcoin yang semakin jauh meninggalkan matawang krypto yang lain.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here