an image on a post about bitcoin anonymous

Apabila kita bercakap tentang kelebihan Bitcoin atau matawang krypto, istilah yang selalu kita dengar adalah anonymity. Soalan yang ditanya kepada penulis seringkali berkisar tentang konsep ini. “Betul ke Bitcoin ni tak boleh trace owner?”

Post hari ini penulis akan dedikasikan kepada topik ini.

Definisi anonymity

Menurut Wikipedia, perkataan anonymous berasal daripada bahasa Greek, ἀνωνυμία (baca: anonymia) yang bermaksud “tanpa nama” atau “ketiadaan nama”. Dalam penggunaan harian, penggunaan istilah anonymous menggambarkan situasi dimana identiti seseorang itu tidak diketahui sesiapa pun.

Secara teknikal, agak mustahil untuk seseorang itu kekal anonymous, lebih-lebih lagi dalam interaksi dengan manusia lain. Matlamat seorang yang anonymous adalah supaya identitinya tidak dapat dikenal pasti, maklumatnya tidak dijejaki dan dirinya tidak dikenali. Konsep anonymity ini dianggap sebagai satu kaedah untuk merealisasikan nilai teras yang lebih mendalam, seperti privasi ataupun kebebasan.

Mitos anonymity dalam Bitcoin

Dalam post tentang sesi perkongsian “Unchain the Blockchain” di sini, penulis bercerita tentang asal usul matawang krypto (digital). Tujuan utama matawang digital dicipta ketika itu adalah untuk melindungi hak-hak privasi orang ramai. Organisasi Cypherpunks yang memperjuangkan konsep anonymity untuk melindungi hak privasi telah menyumbang kepada penciptaan Bitcoin, dan orang ramai mula menganggap transaksi Bitcoin adalah anonymous.

Konsep anonymity dalam konteks transaksi kewangan

Untuk meleraikan mitos ini dengan lebih lanjut, mari kita membuat perbezaan asas tentang konsep anonymity dan juga privasi dalam konteks transaksi kewangan. Kita akan memanggil sesuatu transaksi itu sebagai “anonymous” jika tiada siapa tahu identiti individu yang membuat transaksi tersebut. Manakala transaksi itu “private” jika identitinya diketahui, apa yang dibeli atau kandungan transaksi (jumlah), tidak diketahui.

Gambar rajah di bawah menunjukkan matrix mudah berkenaan beberapa jenis transaksi.

Adaptasi dari www.coindesk.com

Jika kita lihat daripada contoh di atas, transaksi secara tunai/barter adalah transaksi paling “anonymous” dan “private“. Contohnya, pembelian yang dibuat di kedai separt Tesco atau Giant. Interaksi di kaunter bayaran hanya terhad kepada pengiraan jumlah harga barang yang dibeli dan pembayaran. Tiada siapa tahu (atau ambil tahu) apa yang anda beli dan jumlah pembelian anda kecuali penjaga kaunter dan mungkin orang yang beratur di belakang anda. Identiti anda juga tidak dikenali.

Transaksi seperti sumbangan dalam kempen pula tidak “anonymous” (identiti anda boleh dikenalpasti) atau “private” (jumlah sumbangan anda selalunya dipaparkan untuk menggalakkan sumbangan dari orang lain).

Transaksi Bitcoin pula adalah di spektrum “lebih anonymity” tetapi “kurang privasi”. Ini adalah kerana identiti pemilik atau penerima Bitcoin tidak direkod dalam protokol Bitcoin, tetapi setiap transaksi yang diproses boleh dilihat dalam lejar elektronik yang dikenali sebagai block chain. Adakah ini bermakna Bitcoin itu anonymous?

Menjejak transaksi Bitcoin atau matawang digital

Dalam laman web Bitcoin.org, sebuah kenyataan (diterjemah) telah dipaparkan:

“Melindungi privasi anda dalam menggunakan Bitcoin memerlukan sedikit usaha. Semua transaksi Bitcoin yang disimpan dalam rangkaian Bitcoin adalah umum dan akan kekal selamanya. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh melihat baki dan jumlah transaksi sesuatu alamat Bitcoin. Namun begitu, identity pengguna disebalik alamat itu tidak diketahui sehingga maklumat itu ditemui ketika membuat pembelian atau dalam situasi lain. Ini adalah salah satu sebab mengapa alamat Bitcoin hanya patut digunakan sekali sahaja. Anda harus ingat bahawa anda sendiri bertanggungjawab untuk melindungi hak privasi anda.”

Kita semua tahu asas bagaimana transaksi Bitcoin berlaku. Untuk menerima/menghantar Bitcoin, anda memerlukan alamat Bitcoin iaitu satu rentetatan nombor dan huruf rawak seperti ini:

Anda akan menghantar Bitcoin kepada alamat Bitcoin seseorang sama seperti anda akan menghantar emel ke alamat emel seseorang.

Ini bermakna Bitcoin bukanlah anonymous, tetapi pseudonymous. Istilah ini seringkali digunakan penulis yang menggunakan nama palsu untuk menyembunyikan identiti mereka. Namun begitu, jika identiti sebenar penulis itu dapat dikaitkan kepada nama palsu (pseudonymous name) mereka, semua hasil kerja mereka dibawah nama itu akan diketahui.

Sama juga dengan transaksi Bitcoin atau matawang krypto lain. Semua transaksi yang menggunakan alamat seperti di atas telah direkod dalam lejar umum tadi walaupun tidak diketahui identiti pemiliknya. Tetapi jika alamat itu dapat dihubungkan kembali kepada pemiliknya, semua orang dalam rangkaian pasti akan dapat kenalpasti setiap transaksi yang anda pernah lakukan.

Jadi seperti kenyataan Bitcoin.org tadi, penting untuk anda mengubah alamat anda setiap kali melakukan transaksi.

Matawang krypto yang menawarkan anonymity

Seperti biasa, pasti ramai yang tidak puas hati dengan kekurangan Bitcoin yang dianggap signifikan. Oleh sebab itu, banyak projek matawang krypto mula menawarkan token bagi mereka yang betul-betul anonymous, seperti Dash, Monero, ZCash dan PIVX.

Dash adalah matawang krypto ‘private‘ terbesar di pasaran. Dash menggunakan protokol PrivateSend dalam sistemnya yang diadaptasi daripada CoinJoin. Perkhidmatan mixing yang ditawarkan Dash membolehkan penukaran matawang krypto yang mempunyai ciri-ciri asas yang sama berlaku (fungibility).

Untuk membaca lebih lanjut tentang Dash, anda boleh klik di sini.

Monero melindungi privasi pengguna melalui penggunaan alamat sulit (stealth addresses) untuk penghantar dan penerima. Pada masa yang sama, setiap transaksi akan diproses menggunakan protokol ring signature yang menyembunyikan semua data input dan output dalam transaksi tersebut.

Perkembangan terbaru Monero adalah perancangan untuk melancarkan Kovri router yang akan menyembunyikan asal usul node untuk transaksi dalam rangkaian I2P mereka.

ZCash menggunakan zero-knowledge proof untuk memberikan anonymity kepada pengguna. Protokol ini membolehkan pengguna memilih untuk encrypt jumlah transaksi dan juga alamat penghantar dan penerima. Namun begitu, protokol ini tidak menyembunyikan maklumat sedia ada yang boleh dikaitkan dengan identiti pengguna.

 

Seperti Dash, PIVX juga berdasarkan adaptasi daripada protokol CoinJoin yang telah ditambah baik. Beza antara kedua-duanya adalah Dash menggunakan proof-of-work manakala PIVX menggunakan proof-of-stake. PIVX juga menggunakan algoritma seesaw untuk menawarkan ganjaran Masternode dan staking yang berbeza (Dash tidak menawarkan ciri-ciri ini).

Kesimpulan

Jika anda seorang yang mementingkan anonymity, maka Bitcoin mungkin bukan matawang krypto untuk anda. Tetapi jika anda seorang pemilik Bitcoin yang biasa-biasa (baca: menunggu harga Bitcoin naik untuk dijual), konsep anonymity ini tidaklah begitu penting, bukan?

Lagipun transaksi anda menggunakan akaun bank di platform pertukaran seperti Luno dan Remitano menyebabkan identiti anda boleh dijejaki. Penulis akan mengupas isu ini dalam post berkaitan polisi KYC/AML pada masa akan datang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here