an image on a post on perbankan moden

Perbankan moden boleh dikatakan bermula apabila sebuah perniagaan mengambil deposit dan kemudian menggunakan deposit tersebut untuk memberi pinjaman. Ketika itu, sesiapa sahaja boleh menubuhkan bank dan tidak memerlukan lesen. Ini adalah sebelum kawal selia pusat (central regulation) diperkenalkan.

Era goldsmiths

Dalam post mengenai syiling di sini, penulis sudah menceritakan bagaimana wang syiling pertama dikeluarkan dan digunakan. Goldsmiths, atau pembuat emas, mempunyai peti besi atau bilik kebal untuk menyimpan emas atau batu permata (precious stones) dan juga tempat mereka berkerja. Lama-kelamaan orang ramai mula meminta goldsmiths menyimpan emas dalam bilik kebal tersebut dengan memberi sedikit emas mereka sebagai bayaran.

Apabila seseorang menyimpan emas mereka di bilik kebal tadi, goldsmith akan memberi mereka sehelai kertas menjanjikan emas dipulangkan semula apabila dituntut oleh pemilik nota tersebut. Oleh kerana kaedah ini memudahkan aktiviti penyimpan (selalunya peniaga), nota itu akhirnya digunakan sebagai bayaran dalam aktiviti jual beli. Sesiapa yang memiliki nota itu boleh menuntut emas dari goldsmith tadi. Nota itu sudah menjadi nota kredit dan di situlah permulaan wang kertas. Anda boleh baca lebih lanjut tentang wang kertas di sini.

Goldsmiths mula menyedari emas yang disimpan dalam bilik kebal mereka ditinggalkan untuk tempoh yang sangat lama. Orang yang datang untuk menuntut emas mereka semakin berkurangan kerana penggunaan nota kredit semakin meningkat. Goldsmiths mengambil peluang itu untuk mula memberi pinjaman (dengan faedah) untuk jangka masa pendek. Selagi terdapat baki emas yang boleh dituntut dalam sesuatu masa, tiada siapa akan mengesyaki apa-apa. Di situlah konsep perbankan moden bermula.

Apa yang menarik adalah kerana tiada siapa tahu jumlah sebenar emas yang disimpan goldsmith tadi kecuali goldsmith itu sendiri, goldsmith tadi boleh mengeluarkan beberapa nota kredit kepada peminjam atas deposit emas yang sama. Katakan seseorang mendeposit emas sebanyak £20 kemudian empat orang datang pada masa berlainan untuk dapatkan pinjaman. Goldsmith memberi setiap mereka nota kredit bernilai £20 (bersama 10% faedah) atas deposit £20 tadi. Sekarang terdapat 5 nota kredit mewakili deposit £20 yang sama, dan wang baru bernilai £80 hanya dengan 4 nota kredit! Pada masa sama, goldsmith tadi mengaut untung secara percuma atas pinjaman yang telah diberikan, walaupun pada asalnya emas tadi bukan milik goldsmith itu. Menarik bukan?

Era pemilik bank

Goldsmiths yang sudah kaya raya itu kini dianggap sebagai golongan berpengaruh. Mereka sudah menjadi simbol kekayaan dalam populasi mereka dan mula mengembangkan aktiviti mereka kepada raja-raja dan juga kerajaan.

Untuk menarik orang ramai membuat deposit di bank, mereka ditawarkan pampasan ataupun faedah (interest) untuk memasukkan harta emas mereka ke dalam bank. Era perbankan tanpa kawal selia berterus sehingga akhir abad ke 17. Pada masa itu bank sudah berkembang menjadi perniagaan yang besar dan pemilik bank seperti keluarga Medici dan keluarga Rosthchild dianggap lebih berkuasa daripada raja-raja.

Perang saudara antara Perancis dan Holland menyebabkan England kehabisan bekalan emas dan perak. Raja William, pemerintah England ketika itu, mempunyai hutang £20 juta dan tidak dapat membayar tentera diraja. Kerajaan baginda mula berunding dengan pemilik bank untuk mendapatkan pinjaman. Pemilik bank bersetuju memberi pinjaman dengan syarat: mereka mahu bank mereka menjadi bank pusat yang diiktiraf pemerintah yang juga boleh menggunakan fractional reserve banking untuk mengeluarkan wang sendiri dan memberi pinjaman kepada kerajaan.

Tahun 1694 menandakan “penghambaan” kerajaan kepada bank dengan penubuhan bank pusat milik persendirian. Bank itu dinamakan “Bank of England”. Kerajaan yang sepatutnya mengeluarkan wang kertas telah memberi kuasa itu kepada bank, dan bank telah meminjamkan wang itu kepada kerajaan bersama faedah. 10 tahun kemudian, promissory notes atau nota kredit yang dikeluarkan bank, atas cadangan penasihat kewangan kerajaan, diiktiraf sebagai sah.

Perbankan moden masa kini

Penipuan goldsmiths zaman dahulu sudah diterima sebagai institusi kewangan yang dihormati dan disegani. Pengeluaran wang dan aktiviti pinjaman juga sudah diterima orang ramai. Pinjaman bank kepada kerajaan Englang ketika itu telah memulakan National Debt negara itu, dan kombinasi pinjaman persendirian dan pinjaman kerajaan kini sudah mencecah lebih £1 trilion.

Perlu ke kita kisah tentang perkara ini? Jom kita rungkai apa yang berlaku apabila kita membuat pinjaman.

Katakan kita ingin meminjam RM100,000 untuk membeli rumah. Bank akan kredit akaun bank kita RM100,000 dan mendaftar jumlah itu sebagai pinjaman, bersamaan jumlah faedah sebanyak RM100,000 sepanjang 25 tahun. Jumlah ini tidak di debit dari mana-mana akaun kerana pada asasnya, bank telah mencipta wang baru daripada pinjaman ini. Apabila kita membayar kembali RM100,000, deposit ini akan digunakan sebagai wang cagaran kepada bank untuk mengurangkan risiko pinjaman tidak dibayar kembali oleh peminjam lain. Dan faedah RM100,000 yang dibayar bersama adalah pendapatan bank. Untuk bacaan lanjut tentang pinjaman, boleh rujuk: Money Creation in Modern Economy.

Hakikatnya jika dahulu wang kertas bersandarkan emas dan perak, kini wang kertas hanya bersandarkan nilai yang ditetapkan bank pusat dan juga hutang demi hutang – tidak kira kerajaan mahupun rakyat.

“I believe that banking institutions are more dangerous to our liberties than standing armies. Already they have raised up a money aristocracy that has set the government at defiance. The issuing power should be taken from banks, and restored to the people.”  Thomas Jefferson, 3rd President of USA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here