an image on a post about bitcoin

Keadaan pasaran matawang krypto semakin pulih sedikit demi sedikit. Pada waktu penulisan harga Bitcoin kini adalah USD$3675.78, naik 3.59% sejak 24 jam yang lalu. Ether pula naik 12.74% ke USD$273.47 dan matawang krypto lain juga naik seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah:

 

Sumber: coinmarketcap.com

Tindakan kerajaan China melarang ICO dan mengarahkan platform pertukaran memberhentikan operasi di negara itu telah menyebabkan harga matawang krypto jatuh dengan teruk minggu lepas. Ini membuktikan “ancaman” daripada kerajaan dalam cubaan mengawal matawang krypto adalah antara faktor terbesar harga matawang krypto berubah secara mendadak. Memandangkan China mewakili bahagian terbesar dalam jual beli Bitcoin, sudah tentu pasaran matawang krypto akan terjejas.

Walaupun hampir seluruh dunia sudah tahu tentang kewujudan matawang krypto dan harga matawang krypto yang naik dengan tiba-tiba membuktikan penerimaan ramai, kita masih belum dapat melihat matawang krypto digunakan dalam kehidupan seharian kita. Bitcoin, perintis matawang krypto, lebih banyak digunakan dalam pertukaran fiat-krypto daripada untuk membeli produk di dunia sebenar.

Faktor yang menghalang Bitcoin daripada digunakan secara Meluas

Sebenarnya ada sahaja perniagaan yang menerima Bitcoin sebagai bayaran, tetapi jumlahnya sangat tidak signifikan. Banyak faktor yang menghalang Bitcoin daripada digunakan secara meluas dan penulis akan cuba merungkai satu-persatu.

Ia bukan sesuatu yang sah (legal tender)

Kita tidak boleh nafikan bahawa ini adalah faktor terbesar Bitcoin tidak dapat menembusi dunia sebenar. Sebaliknya, matawang fiat setiap negara adalah sah dan boleh digunakan untuk melangsaikan hutang negara atau persendirian. Kreditor perlu menerima bayaran yang sah untuk pelangsaian hutang. Kita juga perlu menerima gaji dalam bentuk matawang fiat untuk membeli belah atau menyimpan deposit di bank mahupun KWSP.

Ramai yang masih menganggap matawang fiat yang mendapat endorsement daripada kerajaan mempunyai jaminan tentang nilainya berbanding matawang krypto yang bersandarkan kod di komputer dan teknologi yang sukar untuk difahami. Tambahan lagi, apa-apa yang berlaku dalam dunia matawang krypto seperti kecurian tidak boleh diambil tindakan undang-undang, membuatkan banyak perniagaan tidak mahu mengambil risiko dengan Bitcoin.

Perubahan harga mendadak tidak sesuai untuk kegunaan harian

Kita sedia tahu harga Bitcoin dan matawang krypto lain tidak konsisten dan sukar dijangka. Dalam masa beberapa jam sahaja harga matawang krypto boleh berubah secara mendadak. Kalau kita lihat sejarah Bitcoin, harganya naik dari USD$50 ke USD$350 dalam masa sebulan sahaja antara Mac dan April 2013, dan turun secara mendadak ke USD$70. Dalam tempoh 6 bulan tahun ini sahaja kita boleh melihat graf Bitcoin yang naik turun bagaikan roller coaster.

Harga Bitcoin yang sentiasa berubah ini mencerminkan aktiviti pelabur yang membuat spekulasi tentang harga Bitcoin, dan bukannya peningkatan permintaan kerana transaksi bertambah antara perniagaan dan pelanggan mereka. Betul bukan? Apabila rata-rata pemilik Bitcoin adalah pelabur yang membuat spekulasi, sudah tentu orang ramai juga akan mempunyai insentif untuk menyimpan Bitcoin, bukannya membelanjakan Bitcoin untuk membeli barangan dan perkhidmatan. Ini adalah bercanggah dengan apa yang berlaku dengan matawang fiat, lebih banyak kita menggunakan matawang fiat sebagai kaedah pembayaran, nilainya juga akan bertamabah.

Ciri Bitcoin yang deflationary menjejas ekonomi negara

Dalam senario di mana Bitcoin digunakan secara meluas, jumlah Bitcoin yang hanya 21 juta akan menyebabkan permintaan terhadap Bitcoin semakin tinggi, dan harga Bitcoin juga akan bertambah. Kesannya, harga barangan dan perkhidmatan dalam Bitcoin akan semakin menurun, betul? Dan dalam keadaan itu, lebih banyak insentif untuk menyimpan Bitcoin (kerana nilai yang bertambah) daripada membelanjakannya, menyebabkan jumlah transaksi jatuh.

Apa kesannya? Lama-kelamaan situasi ini akan menyebabkan kadar deflasi yang sangat tinggi sehingga keadaan ekonomi juga terjejas dan semakin ramai yang tidak mempunyai kerja.

Pernahkah anda terbayang mengapa interest rate berubah? Ini adalah salah satu langkah Bank Negara dalam polisi kewangan negara untuk mengawal kadar inflasi dan juga nilai ringgit kita. Ini adalah bukti betapa pentingnya kadar elasticity matawang fiat, di mana bekalan bertambah dan berkurang mengikut keperluan sesebuah negara.

Kadar keselamatan Bitcoin tidak menyeluruh

Teknologi Blockchain memastikan Bitcoin atau matawang krypto lain tidak boleh dipalsukan seperti matawang fiat. Sistem transaksi Bitcoin, iaitu proses penciptaan blok dan pengesahan transaksi juga hampir mustahil untuk digodam dan diambil alih penggodam untuk mencuri Bitcoin, menjadikan rangkaian Bitcoin antara yang paling selamat untuk menjalankan transaksi.

Namun begitu, kebanyakan wallet dan platform pertukaran tidak menggunakan teknologi blockchain, mereka hanya menjadi host kepada Bitcoin atau pertukaran Bitcoin. Maka tidak hairan jika berlaku kecurian Bitcoin dengan cara penggodam masuk ke dalam sistem mereka dan menukar alamat Bitcoin. Penulis sudah menulis beberapa artikel tentang kecurian yang berlaku yang melibatkan Bitcoin.

Tambahan lagi, tanpa sokongan undang-undang, risiko kerugian berjuta-juta untuk selama-lamanya menyebabkan ramai yang lebih yakin dengan matawang fiat yang dijamin kerajaan, dan juga pelaburan tradisional seperti emas dan saham.

Kesimpulan

Faktor-faktor di atas adalah antara faktor terbesar menghalang Bitcoin daripada digunakan secara meluas, tetapi penulis pasti banyak lagi faktor yang ada. Buat masa sekarang kita dapat lihat mereka yang mula menyertai dunia matawang krypto dengan niat untuk melabur dan membuat spekulasi. Dan insentif untuk HODL matawang krypto sehingga harga naik lebih besar bagi pelabur-pelabur ini.

Tetapi penulis yakin pada masa akan datang, matawang krypto akan menjadi mekanisme sesebuah negara untuk tujuan mengembangkan ekonomi. Lihatlah Estonia, negara pertama yang menawarkan program e-residency dan juga dalam perancangan mencipta matawang krypto negara itu sendiri. Mana tahu menjelang 2030, akan wujud MalayaCoin di negara kita sendiri?

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here