Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

8 Perkara Anda Patut Elak dalam Dunia Matawang Kripto

Kita semua tahu dunia matawang kripto ini masih lagi baru. Sudah tentu banyak risiko yang terdapat dalam setiap perkara yang kita lakukan, sama ada dalam jual beli token, melabur ataupun menyebar maklumat. Dan kesilapan-kesilapan yang kita rasa kecil boleh menyebabkan kita kehilangan jumlah wang yang signifikan. Jadi, dalam post ini, penulis akan menyenaraikan 8 perkara yang perlu anda elakkan dalam dunia matawang kripto supaya anda tidak rugi di masa akan datang.

1. Beli matawang kripto kerana FOMO

Apa itu FOMO? FOMO adalah fear of missing out atau dalam bahasa Melayu, perasaan takut kerana ketinggalan. FOMO ini wujud dalam pelbagai perkara, daripada fesyen, teknologi dan kini dalam matawang kripto pula.

Jangan beli matawang kripto kerana anda melihat orang lain membelinya, terutama rakan-rakan atau ahli keluarga anda, atau apabila anda melihat harga matawang kripto itu naik secara mendadak di coinmarketcap. Tidak semestinya matawang kripto itu adalah suatu pelaburan yang baik.

Dan jika anda pasti matawang kripto itu mempunyai potensi untuk naik lebih tinggi, ingat, nilai matawang kripto sangat tidak menentu dan boleh naik turun bila-bila masa sahaja. Mungkin lebih baik anda tunggu harga matawang kripto itu jatuh dahulu sebelum membelinya.

2. Cepat percaya orang

Point pertama berkait rapat dengan point ini. Sesetengah orang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain, terutama mereka yang kurang membaca atau menyelidik sesuatu habis-habisan. Orang-orang ini akan cuba menarik minat anda dengan membesar-besarkan kelebihan dan potensi sesuatu matawang kripto.

Mereka akan menggunakan apa sahaja taktik seperti menjanjikan kekayaan yang serta-merta atau cepat. Orang-orang ini juga adalah mereka yang selalunya mempunyai kepentingan dalam matawang kripto tersebut, sama ada mendapat komisyen atau hanya untuk menaikkan nilai matawang kripto itu.

3. Buat keputusan tanpa penyelidikan

Penulis rasa dalam banyak-banyak kesilapan besar yang anda boleh buat adalah tidak membuat penyelidikan mendalam tentang sesuatu matawang kripto. Terdapat banyak sumber-sumber tentang matawang kripto memandangkan semakin ramai yang berminat dengan teknologi Blockchain ini. Jadi, sangat penting untuk anda buat sesuatu keputusan tentang matawang kripto selepas anda menyelidik habis-habisan, untuk mengelakkan penyesalan di masa akan datang.

Antara laman web yang anda boleh layari untuk mencari maklumat tentang matawang kripto adalah:

  • coin.my (sudah tentu!)
  • coindesk, cointelegraph atau laman berita matawang kripto yang lain
  • reddit (untuk perbincangan umum dan juga matawang kripto secara spesifik)
  • laman web matawang kripto (sila rajinkan diri anda untuk baca whitepaper)
  • Twitter dan Slack (untuk dapatkan berita terbaru dari developers matawang kripto)
  • Steemit dan Medium (terdapat banyak review dan artikel-artikel berguna daripada orang ramai di sini)

4. Sebarkan berita palsu tentang matawang kripto

Penulis tahu tidak semua orang yang seperti ini. Apa yang lebih merisaukan bukanlah orang yang suka membuat berita palsu, tetapi adalah orang-orang yang turut sama menyebarkan berita tersebut tanpa menyelidik sama ada ia benar atau tidak. Sudah banyak berita palsu yang disebarkan dalam Internet yang telah menjejaskan kehidupan orang lain, dan ianya tidak hanya berlaku di dunia matawang kripto sahaja.

Jika anda sudah menyelidik asal usul berita tersebut, dan puas hati dengan kebenarannya, kemukakanlah bukti anda sekali supaya tidak dianggap sebagai mengapi-apikan sesuatu perkara. Ingat, apa yang anda tulis dalam Internet tidak akan lenyap sampai bila-bila walaupun anda sudah tekan ‘delete‘. Dan jika anda orang yang membaca berita-berita ini, buatlah penyelidikan anda sendiri seperti point 3 dan jangan cepat percaya apa yang anda baca seperti point 2.

5. Tidak menyimpan salinan kata kunci, private key dan lain-lain

Ini sangat penting! Melainkan anda adalah robot, tidak mungkin anda akan mengingati semua kata kunci, private key, recovery phrase dan lain-lain yang berkaitan dengan matawang kripto. Lebih-lebih lagi jika anda memiliki wallet yang berbeza untuk setiap matwang kripto anda.

Sila buat salinan atas kertas apa sahaja yang berkaitan dengan wallet dan matawang kripto anda kerana anda boleh kehilangan semua wang anda jika semua ini tiada. Dan sila simpan salinan itu di tempat yang selamat seperti peti berkunci, bukannya di dalam laci atau di bawah komputer anda. Penulis juga nasihatkan anda tidak menyimpannya di note telefon bimbit atau komputer anda kerana risiko kehilangan telefon bimbit atau penggodaman.

6. Tidak menggunakan pengesahan 2FA Google atau Authy

Penulis tahu menggunakan pengesahan ini agak leceh dan mengambil masa paling lama 5 saat. Tetapi ia sangat penting untuk menambah satu lagi lapisan keselamatan, menghindar penggodam daripada masuk kedalam wallet atau akaun anda menggunakan maklumat yang telah dicuri.

7. Meninggalkan matawang kripto anda di platform pertukaran

Anda mungkin rasa platform pertukaran selamat kerana ia menggunakan pengesahan 2FA, atau platform itu menjamin keselamatan kesimpanan anda. Kebanyakan platform pertukaran akan memegang private key anda dan jika platform pertukaran itu digodam, anda mungkin kehilangan simpanan anda.

Sumber: http://thehackernews.com/

Jadi, ianya lebih baik jika anda boleh menyimpan matawang kripto anda di wallet anda sendiri. Dan paling baik adalah membeli hardware wallet yang akan menyimpan matawang kripto anda secara offline. Hardware wallet boleh mengurangkan risiko wallet digodam. Anda boleh baca post panduan memilih wallet untuk membantu anda.

8. Tidak memeriksa alamat wallet

Kita sedia tahu untuk penerimaan dan penghantaran matawang kripto, kita hanya memerlukan alamat wallet sebagai ganti identiti diri. Dan alamat ini terdiri daripada rentetan nombor dan huruf yang mustahil untuk dihafal jika anda bukan robot. Untuk memudahkan pengguna, anda boleh copy paste alamat tersebut. Tetapi kesilapan tetap boleh berlaku dan mungkin menyebabkan anda kerugian besar. Lebih-lebih lagi memandangkan transaksi matawang kripto tidak boleh diterbalik (irreversible). Jadi, sila periksa anda mempunyai alamat penerima dan penghantar yang betul sebelum membuat transaksi.

8 perkara di atas mungkin nampak remeh tapi kesemuanya adalah perkara asas yang patut anda elakkan jika anda mahu menyertai dunia matawang kripto. Jangan jadi seperti peribahasa, “sudah terhantuk baru terngadah”.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads