Default – Above Header Ads

NEO: Projek Blockchain Ethereum versi China?

Para pembaca sekalian, anda pernah dengar tentang NEO? Ia merupakan salah satu matawang kripto yang tersenarai dalam coinmarketcap di tangga yang kesepuluh. NEO mempunyai jumlah modal pasaran sebesar USD$1.275 bilion dan harga sewaktu penulisan adalah USD$25.50, menurut coinmarketcap.

Bulan Ogos yang lalu, harga NEO meningkat lebih 350 peratus dan telah mencecah USD$50 sebelum ia jatuh. Syarikat di belakang NEO, yang dahulunya dikenali sebagai Antshares, terkenal sebagai syarikat yang membina Blockchain terbuka pertama di China, dan juga penggunaan teknologi smart contract seperti Ethereum.

1 Dari Antshares ke NEO dan pencapaian Onchain

NEO sebenarnya sudah beroperasi sejak 2014 lagi, di bawah nama Antshares, sebelum ditukar nama ke NEO pada pertengahan tahun 2017. Kumpulan developers di belakang Antshares merupakan kumpulan yang sama yang menubuhkan Onchain, syarikat teknologi Blockchain yang terkenal di China. Hubungan antara Antshares/NEO dan Onchain adalah sama seperti Ethereum dan Ethereum Foundation, organisasi non-profit di Switzerland. Onchain berkerjasama dengan kerajaan China dan syarikat besar dalam projek Blockchain manakala Antshares/NEO lebih fokus kepada penggunaan orang ramai.

Antara pencapaian NEO dan Onchain termasuk:

2 Konsep NEO

Menurut laman web NEO, misi mereka adalah untuk menubuhkan sebuah rangkaian ekonomi baru berdasarkan teknologi Blockchain dan smart contract. Projek NEO menggabungkan teknologi Blockchain dan identiti digital untuk memasukkan aset ke dunia digital, menggunakan smart contract untuk mengurus aset digital tersebut, dan juga menggunakan distributed network atau rangkaian peer-to-peer dalam Blockchain untuk mencapai smart economy.

Projek NEO mempunyai pendekatan berbeza dalam penggunaan teknologi Blockchain dan matlamat NEO adalah untuk menjadi inovasi baru dalam sistem kewangan tradisional, dengan menggunakan smart contract, identiti dan sijil digital, dan pada masa sama mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan kerajaan.

Projek NEO menggunakan dua token: NEO dan NeoGas

3 NEO coin (NEO)

Jumlah keseluruhan NEO adalah 100 juta token, dan ia mewakili hak untuk menguruskan rangkaian NEO. Hak pengurusan NEO termasuk undian untuk proses pengesahan transaksi (bookkeeping), penyelenggaraan parameter rangkaian NEO dan lain-lain. Tidak seperti kebanyakan matawang kripto lain, unit minimum NEO adalah 1 dan ianya tidak boleh dibahagikan ke unit yang lebih kecil.

Pada asasnya, token NEO berfungsi sebagai aset atau sekuriti dalam syarikat tersebut, dimana setiap pemilik token NEO mendapat hak seperti penulis sebut di atas. 50 peratus daripada jumlah NEO telah dijual sewaktu ICO dan 50 peratus lagi dipegang oleh syarikat NEO sendiri. 50 juta token yang dipegang syarikat itu akan digunakan untuk perkembangan projek jangka masa panjang, operasi platform NEO dan juga pengurusan ekosistem NEO. Jumlah itu akan dikunci selama 1 tahun dan hanya akan dilepaskan pada 16 Oktober 2017.

Antara rancangan penggunaan 50 juta token dalam whitepaper NEO adalah:

  • 10 juta token akan digunakan sebagai insentif untuk developers NEO dan juga ahli jawatankuasa NEO
  •  10 juta token akan digunakan sebagai insentif kepada developers (bukan NEO) dalam rangkaian NEO
  • 15 juta token akan dilaburkan dalam projek Blockchain lain, yang dimiliki oleh jawatankuasa NEO dan akan digunakan semula dalam projek-projek NEO yang akan datang
  •  15 juta token akan diketepikan sebagai simpanan atau contingency
  •  NEO menghadkan penggunaan tahunan token NEO tidak lebih dari 15 juta token

4 NeoGas (GAS)

GAS adalah token “minyak” yang digunakan untuk mengawal sumber dalam rangkaian NEO dan mempunyai had jumlah sama seperti token NEO, iaitu 100 juta token. Rangkaian NEO mengenakan bayaran untuk operasi dalam rangkaian NEO, penyimpanan data dan juga penggunaan smart contract. Bayaran ini digunakan sebagai insentif bagi bookkeeper dalam rangkaian NEO dan juga mencegah penyalahgunaan sumber NEO. Unit minimum GAS adalah 0.00000001.

Berbeza dengan token NEO yang dicipta dalam Genesis Block seperti Bitcoin, jumlah awal GAS adalah kosong. GAS akan dijana dengan setiap blok baru yang dibentuk dalam transaksi NEO, dan jumlah keseluruhan GAS dianggarkan akan dijana sepenuhnya dalam masa 22 tahun. Setiap tahun 2 juta blok dibentuk dan sebanyak 8 GAS akan dijana dalam setiap blok. Selepas blok ke 2,000,000 dibentuk setiap tahun, jumlah token GAS akan dikurangkan sebanyak 1 GAS setiap blok sehingga jumlah token GAS dalam setiap blok menjadi 1. Selepas blok ke 44,000,000, jumlah keseluruhan token GAS akan dijana.

Token GAS hanya akan diberikan kepada pemilik NEO dan akan dimasukkan terus kedalam alamat NEO yang dipegang. Token GAS boleh dituntut bila-bila masa sahaja oleh pemilik token NEO.

5 Teknologi NEO

Dalam whitepaper NEO, mereka telah menyenaraikan beberapa teknologi yang digunakan dalam ekosistem NEO. Penulis akan menerangkan secara ringkas kesemua teknologi tersebut, dan jika anda berminat untuk membaca lebih lanjut boleh baca whitepaper NEO di sini: http://docs.neo.org/en-us/index.html.

  • Protokol konsensus delegated Byzantine Fault Tolerance (dBFT) : pemegang NEO akan mengundi bookkeeper yang diingini, dan kumpulan bookkeeper yang telah dipilih akan menggunakan algoritma BFT untuk mencapai konsensus dan membentuk blok baru. Bookkeeper adalah individu atau institusi yang sudah membuat pengesahan identiti menggunakan teknologi identiti digital NEO dan hak mereka sebagai bookkeeper boleh dibeku, ditarik balik, diberi dan juga dipindah atas sebab-sebab yang dibenarkan.
  •  Sistem smart contract NeoContract : NeoContract menggunakan virtual machine untuk menjalankan kontrak berkaitan aset dan identiti digital, penyimpanan data dan juga perkhidmatan-perkhidmatan lain. NeoContract juga boleh digunakan dalam kedua-dua sistem Blockchain dan sistem yang tidak mempunyai Blockchain, menjadikan akses kepada smart contract lebih universal dan terbuka
  • Protokol untuk cross-chain interoperability NeoXProtokol ini membolehkan pengguna NEO membuat pertukaran aset dalam rangkaian yang berbeza dan juga bahagian-bahagian smart contract atau transaksi dilaksanakan dalam rangkaian yang berbeza, secara on-chain atau off-chain.Transaksi on-chain adalah kaedah transaksi matawang kripto dipindahkan dari satu pemilik ke pemilik yang lain, dan transaksi melalui proses pengesahan dalam rangkaian. Transaksi off-chain pula ialah apabila transaksi melalui proses pengesahan yang ditetapkan oleh pengguna NEO sendiri, dikumpulkan dan dihantar masuk ke dalam rangkaian. Proses pengesahan transaksi off-chain adalah lebih cepat daripada transaksi on-chain.
  •  Protokol distributed storage NeoFS : Protokol untuk penyimpanan data menggunakan teknologi Distributed Hash Table, di mana data akan di indeks melalui isinya (Hash) dan bukan laluannya (URI). Data-data besar akan dibahagikan kepada saiz yang telah ditetapkan, dimasukkan ke dalam blok data dan disimpan dalam nod-nod dalam rangkaian NEO.
  • Mekanisme anti-quantum cryptography NeoQS : suatu mekanisme keselamatan menggunakan lattice-based cryptography yang dianggap sebagai mekanisme yang boleh menghalang quantum computer daripada menyelesaikan algoritma yang digunakan dalam rangkaian NEO. Dalam erti kata lain, mekanisme ini menjadikan ia sangat sukar atau mustahil untuk sistem NEO digodam.

6 Kesimpulan

Walaupun tindakan kerajaan China melarang ICO telah menjejaskan pasaran matawang kripto baru-baru ini, kenyataan pengasas Neo, Da Hongfei dalam sebuah temu bual di China tentang kemungkinan kolaborasi projek itu bersama kerajaan China pada masa akan datang telah menyebabkan harga NEO naik lebih 26 peratus dan NEO telah mengatasi Ethereum Classic dalam coinmarketcap untuk berada di tangga yang kesepuluh.

Kenyataan daripada Da Hongfei itu sedikit sebanyak memberi harapan kepada pelabur dalam dan luar China bahawa tindakan kerajaan China hanya sebagai langkah berjaga-jaga, dan bukannya menunjukkan kerajaan negara itu tidak menerima matawang kripto. Nampaknya NEO mengambil satu lagi langkah ke hadapan untuk menjadi projek penting dalam infrastruktur teknologi Blockchain di China.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.