Default – Above Header Ads

5 Negara yang Mesra Bitcoin

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa teknologi Blockchain dan dengannya, matawang kripto adalah aset penting zaman ini. Semakin hari semakin banyak negara yang mula membuat penyelidikan tentang teknologi tersebut, khususnya bagaimana untuk mengawal selia Bitcoin dan matawang kripto. Beberapa negara sudah pun mengiktiraf atau membuat perancangan untuk mengiktiraf Bitcoin sebagai kaedah pembayaran yang sah.

Dalam post ini, penulis akan menyenaraikan 5 Negara yang Mesra Bitcoin. Tidak semua negara yang tersenarai mengiktiraf Bitcoin, dan senarai ini mengambil kira kemudahan yang terdapat bagi mereka yang ingin mengembangkan teknologi Blockchain di negara itu, seperti insentif kerajaan atau infrastruktur teknologi Blockchain.

1 Jepun

Jepun
Sumber: https://www.cryptocompare.com/coins/btc/analysis/USD

Bitcoin di Jepun bukanlah sesuatu yang baru, memandangkan Mt. Gox, platform pertukaran terbesar dunia ketika itu sebelum ia ditutup telah beroperasi di Jepun selama beberapa tahun. Selepas ia ditutup, permintaan Bitcoin di negara itu berkurang sehinggalah kerajaan Jepun mengumumkan ia bakal mengeluarkan undang-undang baru tentang Bitcoin. Pengiktirafan kerajaan Jepun mengembalikan keyakinan orang Jepun untuk mula membeli Bitcoin, dan hari ini kita dapat lihat hasilnya dicerminkan oleh harga Bitcoin yang semakin meningkat.

Syarikat perniagaan besar di Jepun sudah memulakan perancangan untuk memasang software pembayaran Bitcoin di cawangan kedai-kedai mereka di seluruh Jepun. Bic Camera, antara syarikat elektronik terbesar Jepun, sudah menerima bayaran menggunakan Bitcoin di cawangannya melalui kerja sama dengan rakan kongsi mereka, Bitflyer, iaitu platform pertukaran terbesar di Jepun.

Integrasi syarikat besar ini telah memulakan momentum di seluruh negara itu, dan kini, hampir 260,000 kedai akan menerima pembayaran Bitcoin menjelang akhir tahun ini, melalui AirRegi, syarikat perkhidmatan Point-of-Sales (Pos) terkenal di Jepun. Tambahan lagi, kini terdapat 18 mesin ATM di negara itu, memudahkan rakyat Jepun membeli Bitcoin dan menggunakannya dalam kehidupan harian.

2 Amerika Syarikat

Negara Jepun mungkin adalah faktor utama Bitcoin semakin diterima ramai, tetapi tidak dapat dinafikan negara Amerika Syarikat adalah tempat di mana ia bermula. Negara itu mempunyai jumlah pengguna Bitcoin terbesar dan juga jumlah pasaran terbesar selepas Jepun. Memandangkan Silicon Valley yang dianggap sebagai pusat bagi syarikat teknologi terbesar di dunia, maka tidak hairanlah jika kebanyakan projek atau startup berkaitan teknologi Blockchain dan Bitcoin berasal dari situ.

Sumber: coindance

Dengan jumlah mesin ATM Bitcoin yang sangat banyak (1014) di seluruh negara besar itu, hampir semua rakyat Amerika Syarikat mendapat akses kepada Bitcoin dengan mudah. Tambahan lagi, kedudukan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi dan politik terbesar dunia menyebabkan negara-negara lain juga melihat ke arah negara itu sebagai panduan dalam perkara berkaitan matawang kripto. Undang-undang tentang Bitcoin dalam negara itu berbeza mengikut negeri, dan antara negeri-negeri yang dianggap sebagai tempat terbaik untuk Bitcoin dan teknologi Blockchain termasuk Nevada, Texas, San Fransisco dan New Hampshire.

3 Australia

Sumber: coindance

Secara umumnya, Australia dianggap antara negara yang mesra Bitcoin. Negara tersebut tersenarai sebagai negara kelapan dalam jumlah perdagangan Bitcoin. Kewujudan beberapa platform pertukaran di negara itu serta 18 mesin ATM Bitcoin antara faktor utama peningkatan jumlah permintaan Bitcoin. Tambahan lagi, aktiviti mining merupakan suatu yang semakin popular di Australia kerana kos penggunaan elektrik yang murah.

Baru-baru ini terdapat berita tentang Australia mengikut jejak langkah Jepun dan China dalam mengawal selia Bitcoin. Walaupun buat masa ini negara itu tidak mempunyai undang-undang khusus berkenaan Bitcoin, Bitcoin dianggap sebagai harta (property) dan transaksi Bitcoin boleh dikenakan Capital Gains Tax atau Profit Tax. Malah, transaksi Bitcoin yang melibatkan pertukaran ke matawang fiat boleh dikenakan GST.

4 Switzerland

Switzerland
Sumber: https://cryptovalley.swiss/

Sistem politik Switzerland berdasarkan demokrasi secara langsung (direct democracy) memberi kuasa kepada 26 pentadbiran kecil (canton) di negara itu untuk menetapkan undang-undang mereka sendiri, dan pada masa sama memberi hak kepada setiap rakyat untuk memberi cadangan berkaitan undang-undang. Oleh sebab itu, infrastruktur kerajaan Switzerland yang progresif dianggap sebagai negara paling hampir dengan ciri decentralized teknologi Blockchain, dan tidak hairan jika banyak syarikat teknologi Blockchain mula tertumpu ke negara itu.

Switzerland adalah rumah kepada Crypto Valley, kawasan bersaiz 30km persegi di Zug, yang seakan Silicon Valley di Amerika Syarikat. Di sini sudah terdapat lebih 18 syarikat teknologi Blockchain, termasuk Ethereum Foundation, Shapeshift, ConsenSys, Xapo, Bitcoin Suisse dan Tezos. Tambahan lagi, satu lagi canton di Switzerland, Chiassa yang ingin dikenali sebagai CryptoPolis (baca: metropolis), sudah mula bersaing dengan Zug untuk menjadi pusat syarikat teknologi Blockchain. Chiassa akan membenarkan penduduk di situ membayar cukai menggunakan Bitcoin.

Baru-baru ini, dua institusi kewangan ternama di Switzerland, Falcon Private Bank dan Swissquote, sudah mula menawarkan perkhidmatan menguruskan Bitcoin sebagai aset pelaburan. Menurut mereka, badan penguatkuasa Switzerland telah memberi kebenaran kepada kedua-dua bank tersebut untuk aktiviti pengurusan Bitcoin sebagai aset.

Belanda

Seperti CryptoValley di Switzerland, Belanda juga terdapat versi bandar Bitcoin, iaitu Bitcoin City di Arnhem. Di bandar ini, anda boleh membelanjakan Bitcoin untuk membeli apa sahaja seperti makanan dan pakaian, menyewa basikal, membeli minyak dan macam-macam lagi.

Sumber: https://www.arnhembitcoinstad.nl/

Belanda tidak mempunyai undang-undang berkenaan matawang kripto di negara itu, dan juga tidak menyekat penggunaannya, jadi terdapat banyak syarikat teknologi Blockchain yang beroperasi di negara itu. Tambahan lagi, Belanda sering menjadi tuan rumah untuk persidangan berkaitan Bitcoin dan teknologi Blockchain, dan pada Jun lalu sebuah persidangan membincangkan masa depan Bitcoin telah diadakan di negara itu.

Banyak lagi negara yang sudah mula membuat penyelidikan mengenai teknologi Blockchain dan ada juga yang sedang merancang pengiktirafan Bitcoin. Tidak dapat dinafikan pengiktirafan kerajaan tentang Bitcoin menambah keyakinan orang ramai terhadap matawang kripto dan juga memberi peluang besar kepada syarikat teknologi untuk bercambah di negara itu.

Namun begitu, tujuan asal Bitcoin adalah untuk menjadi matawang yang bersifat decentralized, persoalannya adakah pengiktirafan kerajaan datang dengan pengawalan berpusat? Adakah ini sesuatu yang positif bagi komuniti Bitcoin? Buat masa ini, perihal undang-undang yang tidak jelas (ambiguous) tentang Bitcoin banyak memberi kebebasan dan juga perlindungan hak peribadi kepada perniagaan dan individu terhadap transaksi Bitcoin, adakah ia akan kekal jika Bitcoin diiktiraf di masa akan datang?

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads