Default – Above Header Ads

Dogecoin: ‘Underdog’ Dunia Matawang Kripto?

Anda mesti pernah dengar tentang Dogecoin, bukan? Di coinmarketcap, Dogecoin berada di tangga ke-50 dalam senarai matawang kripto mengikut jumlah modal pasaran. Pada waktu penulisan, nilai Dogecoin adalah USD$0.001035 dan jumlah modal pasaran Dogecoin adalah USD$115 juta.

Kalau dilihat dari perspektif angka sahaja khususnya harga, Dogecoin bukanlah matawang kripto yang bernilai. Tetapi bagaimana Dogecoin dapat mengekalkan kedudukan dalam senarai 100 matawang kripto terbesar di coinmarketcap (terdapat sebanyak 1132 matawang kripto yang wujud di pasaran kini)? Malah jumlah trading Dogecoin di pasaran mencapai hampir USD$2.5 juta setiap hari. Pelik kan? Mari kita belajar tentang asal usul Dogecoin terlebih dahulu.

1 Semuanya bermula dengan Meme Shiba Inu

Ini adalah logo matawang kripto Dogecoin. Dan gambar di bawah adalah satu meme Shiba Inu. Meme adalah gambar, video atau apa sahaja media yang lucu atau berbentuk jenaka , yang diubah daripada gambar asal dan disebarkan dalam internet (menjadi viral).

Gambar di sebelah kiri adalah gambar asal anjing Shiba Inu yang terkenal di Jepun. Dan di sebelah kanan adalah contoh meme yang dibuat.

Pada asalnya, Dogecoin di perkenalkan sebagai “joke currency” pada 8 Oktober 2013. Jackson Palmer, yang berkerja di bahagian pemasaran Adobe System di Sydney, juga mengikuti perkembangan dunia matawang kripto dan suatu hari telah mengeluarkan satu tweet yang berbunyi, “Melabur dalam Dogecoin, [saya] yakin ia akan jadi sesuatu yang besar (diterjemah dari bahasa asal).” Tweet itu mendapat sambutan hangat, dan atas dorongan peminat matawang kripto, Jackson membeli domain dogecoin.com dan menambah logo Dogecoin.

Pada masa yang sama, seorang programmer yang bernama Billy Markus, yang berasal dari Portland, Oregon, ingin mencipta suatu matawang kripto yang baru, jauh daripada skandal dan kontroversi matawang kripto lain khususnya Bitcoin yang terjejas kerana skandal Mt. Gox. Apabila Billy terjumpa laman web Dogecoin, beliau terus menghubungi Jackson melalui Twitter untuk menjadikan idea itu realiti. Billy menggunakan kod terbuka Bitcoin untuk mengubah kod front-end kepada meme Shiba Inu tadi.

Seminggu selepas tweet asal Jackson, Dogecoin dilancarkan kepada orang ramai. Pengumuman tentang Dogecoin di reddit dan matawang kripto itu menjadi sangat popular kerana asalnya daripada meme Shiba Inu. Komuniti Dogecoin dalam reddit bertambah dan memandangkan harga Dogecoin yang begitu murah (hanya USD$0.0001), semakin banyak orang yang berpindah daripada Bitcoin ke Dogecoin.

2 Aktiviti ‘Tipping’ menaikkan populariti Dogecoin

‘Tipping’ adalah aktiviti memberi ganjaran kepada orang ramai yang melakukan “amalan baik” dalam internet. Dalam dunia matawang kripto, ‘tip’ selalunya diberik dalam bentuk Bitcoin dan apabila harga Bitcoin yang naik dengan tinggi menjadikan ianya terlalu mahal untuk diberi sebagai tip, orang ramai mula menggunakan Dogecoin. Melalui ‘tipping’, komuniti Dogecoin yang aktif di reddit (lebih 40,000 ahli ketika itu) telah berjaya mengumpul dana yang banyak untuk pelbagai tujuan seperti di bawah:

2014 Winter Olympics

Pada Januari 2014, komuniti Dogecoin telah mengutip derma until menghantar Pasukan Bobsled Jamaica ke Winter Olympics yang diadakan di Sochi, Russia. Menjelang cari kedua kutipan derma Salam bentuk Dogecoin telah mencecah lebih USD$30,000. Pada masa sama harga Bitcoin berjaya naik sebanyak 50 peratus.

NASCAR

Sumber: imgur

Kalau anda peminat perlumbaan NASCAR, anda pasti pernah terlihat sebuah kereta yang mempunyai logo seekor anjing Shiba Inu dalam litar. Itu adalah kereta yang dipandu oleh pelumba Josh Wise, dan kereta itu dapat menyertai perlumbaan NASCAR hasil daripada usaha komuniti Dogecoin mengutip derma sebanyak 67.8 juta Dogecoin (bernilai lebih kurang USD$55,000). Dan ia tidak berakhir di situ. Kereta Dogecoin itu berjaya memasuki beberapa perlumbaan lain dengan usaha komuniti Dogecoin di reddit, termasuk Sprint All-Race, Coca-cola 500 dan Toyota/Save Mart 350. Developer permainan video NASCAR ’14 juga telah memasukkan kereta Dogecoin sebagai salah satu kereta yang boleh dimainkan dalam permainan video tersebut.

Kutipan derma untuk Kebajikan lain

Populariti Dogecoin yang digunakan untuk kutipan derma semakin bertambah berikutan dua peristiwa di atas. Antaranya adalah kutipan derma sebanyak USD$25,000 untuk pusat kebajikan yang melatih anjing untuk kanak-kanak kurang upaya, USD$30,000 untuk membina perigi air di Kenya, 1.5 juta Dogecoin untuk membina perumahan sementara untuk keluarga pesakit kanak-kanak di California dan banyak lagi. Komuniti Dogecoin yang begitu kuat adalah antara faktor utama yang menyebabkan harga Dogecoin naik dengan begitu tinggi.

3 Bekalan Dogecoin dan Mining

Kod Dogecoin adalah berdasarkan token Luckycoin, sebuah token yang memberi ganjaran mining secara rawak untuk setiap blok. Luckycoin pula menggunakan kod sama seperti Litecoin, bermakna kesemua token ini hanya boleh menggunakan teknologi scrypt dan bukannya SHA-256 seperti Bitcoin untuk aktiviti mining. Namun begitu, parameter mining Dogecoin agak berbeza dengan Litecoin.

Masa untuk membentuk satu blok Dogecoin adalah 1 minit, manakala bagi Litecoin adalah 2.5 minit. Sewaktu Dogecoin mula diperkenalkan, kadar kesukaran mining Dogecoin diselenggara setiap empat jam, dan ganjaran setiap blok tidak sama dan ditentukan melalui penjanaan nombor secara rawak. Pada Mac 2014, dalam program Dogecoin versi 1.6, ganjaran setiap blok mula ditetapkan dan algoritma baru berdasarkan token DigiByte yang bernama DigiShield telah diperkenalkan untuk mengelakkan mining pool yang banyak menjana Dogecoin (pada Disember 2013 harga Dogecoin jatuh lebih 80 peratus disebabkan  mining pool mengambil kesempatan menjana Dogecoin dengan banyak dan menjualnya dengan cepat semasa harga sedang tinggi).

Bekalan Dogecoin pula tidak terhad seperti Bitcoin dan kebanyakan matawang kripto lain. Menurut coinmarketcap, bekalan Dogecoin di pasaran adalah 111,269,689,550 DOGE. Sebanyak lebih kurang 98.4 bilion Dogecoin telah dikeluarkan menjelang blok yang ke-600,000 dan selepas itu dijangkakan sebanyak 5.256 bilion Dogecoin akan dikeluarkan setiap tahun.

4 Kesimpulan

Jadi, apakah kehebatan Dogecoin sehingga ia kekal signifikan sehingga hari ini? Mungkin faktor terbesar adalah komuniti Dogecoin yang sangat kuat dan ingin melihat Dogecoin berjaya sebagai satu matawang kripto. Tambahan lagi, sifatnya seperti Litecoin yang menjadikan transaksi Dogecoin lebih cepat daripada Bitcoin dan jumlah bekalan yang tidak mempunyai had juga di samping harga yang sangat murah juga menarik minat orang ramai untuk memiliki Dogecoin.

Adakah Dogecoin akan kekal dalam dunia matawang kripto di jangka masa panjang? Kita tunggu sahaja dan lihat. Bak kata John F. Kennedy, “A man may die, nations may rise and fall, but an idea lives on“.

Nota: Khas untuk anda yang minat Dogecoin.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.