an image on a post about undang-undang bitcoin

Nampaknya kerajaan-kerajaan dunia sudah mula mengorak langkah untuk mengawal selia (regulate) matawang kripto, bermula dengan Bitcoin. Bermula dengan larangan ICO oleh kerajaan China, baru-baru ini Korea Selatan pula mengumumkan negara itu tidak membenarkan syarikat dan startup tempatan melancarkan ICO. Tambahan lagi, beberapa negara sudah pun mula membuat perancangan untuk memperkenalkan undang-undang baru berkaitan Bitcoin dan matawang kripto.

Dalam post yang lalu, penulis telah menyenaraikan 5 negara yang mesra Bitcoin. Antara negara yang disenaraikan, negara Jepun boleh dilihat sebagai negara yang paling progresif dari segi undang-undang tentang Bitcoin. Bermula pada 1 April 2017, kerajaan Jepun telah mengiktiraf Bitcoin sebagai kaedah pembayaran sah (legal tender).

Undang-undang berkenaan Bitcoin di Jepun

Di bawah Akta Matawang Digital (Virtual) yang telah dikeluarkan Agensi Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Agency) negara itu, “Bitcoin dan matawang kripto lain diterima sebagai kaedah pembayaran, namun bukan sebagai matawang. Bitcoin akan diambil kira sebagai suatu aset melainkan berlaku perubahan undang-undang di Jepun”.

Undang-undang berkaitan Bitcoin di Jepun meliputi perkhidmatan platform pertukaran. Antara peraturan yang perlu dipatuhi oleh mereka adalah:

  • mendapatkan lesen untuk beroperasi daripada Agensi Perkhidmatan Kewangan Jepun dan juga mematuhi arahan yang dikeluarkan khususnya berkenaan pemberian perkhidmatan
  • mematuhi peruntukan Know Your Customer (KYC), menyimpan maklumat tentang transaksi pelanggan dan juga melapor aktiviti mencurigakan
  • mengasingkan simpanan pelanggan dan syarikat itu untuk tujuan keselamatan, dan disahkan oleh akauntan yang diiktiraf
  • mempunyai perjanjian (kontrak) dengan syarikat dispute resolution yang mempunyai pengetahuan tentang matawang kripto

Baru-baru ini juga Agensi Perkhidmatan Kewangan negara itu telah menubuhkan surveillance team untuk mengawasi platform pertukaran Bitcoin, memastikan mereka mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agensi tersebut. Platform pertukaran di Jepun telah diarahkan untuk mendaftar dengan agensi tersebut menjelang bulan September, dan lebih 50 lesen sudah mula di proses. Efektif pada 1 Oktober, 11 platform pertukaran sudah pun mendapat lesen mereka, manakala 12 platform pertukaran menghentikan operasi mereka berikutan undang-undang baru Jepun.

Kesan undang-undang Jepun terhadap Bitcoin dan matawang kripto

Positif

Kita semua sudah sedia tahu tentang sejarah penciptaan Bitcoin. Tujuan utama Bitcoin wujud adalah untuk memberi kuasa kembali kepada orang ramai, melalui proses desentralisasi. Pada masa yang sama, penggunaan Bitcoin melindungi hak privasi pengguna dan juga menghilangkan keperluan untuk bergantung kepada pihak ketiga dalam transaksi. Kesemua itu adalah misi dan visi Bitcoin.

Namun begitu, kenyataannya adalah kawal selia diperlukan, lebih-lebih lagi dalam sesebuah industri yang sudah memproses berbilion dolar. Dan bagi kebanyakan orang, jaminan kerajaan memberi lebih keyakinan terhadap Bitcoin dan matawang kripto. Contoh terbaik adalah negara Jepun.

Kesan paling utama daripada pengiktirafan kerajaan Jepun adalah kenaikan dalam permintaan Bitcoin dalam negara itu. Jepun kini merupakan antara negara yang mempunyai transaksi terbesar Bitcoin, selain daripada Amerika Syarikat. Semasa undang-undang Jepun mula efektif selepas 1 Mei, harga Bitcoin mula naik daripada USD$1,200 ke lebih USD$2,000 dan trajektori Bitcoin masih lagi menaik sehingga kini.

Selain itu, penerimaan kerajaan Jepun telah memberi kelulusan rasmi kepada perniagaan di seluruh Jepun untuk mula menerima Bitcoin sebagai bayaran. Syarikat perniagaan besar seperti Bic Camera, Megane Super dan Marui sudah pun membuat perancangan untuk menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin di cawangan-cawangan mereka seluruh Jepun. Sebanyak lebih 260,000 kedai yang menggunakan aplikasi point-of-sale oleh Air Regi juga akan mula menerima Bitcoin menjelang akhir 2017.

Akhir sekali, pengiktirafan kerajaan Jepun telah menjadi contoh terbaik bagi negara-negara lain dan hasilnya adalah seperti domino effect, di mana negara-negara lain seperti Russia dan Australia, malah Malaysia sendiri, sudah mula membuat perancangan untuk mengawal selia Bitcoin dan seterusnya matawang kripto. Secara perlahan-lahan Bitcoin mula menjadi nama yang besar dan signifikan di mata dunia, membuka pintu untuk matawang kripto lain menembusi dunia sebenar.

Negatif

Di sebalik kesan positif daripada pengiktirafan Bitcoin ini, ramai masih berpendapat dunia matawang kripto akan kehilangan status decentralized jika dikawal selia. Selama ini, pasaran Bitcoin dan matawang kripto adalah berdasarkan konsep free market, di mana kadar bekalan dan permintaan yang menetapkan harga sesuatu matawang kripto. Dan dalam pasaran ini, ia menyumbang kepada kebebasan dan ketelusan dalam pasaran, dan juga persaingan yang sihat.

Dengan pengawalan selia platform pertukaran dan peraturan ketat berkaitan ICO, keseluruhan ekosistem matawang kripto akan terjejas. Perkara yang paling dirisaukan adalah kehilangan privasi pengguna melalui peraturan penyimpanan maklumat transaksi pengguna. Pada masa yang sama, pengawalan Bitcoin akan menyekat mereka yang membuat transaksi bernila berjuta-juta dolar melalui Bitcoin sepertimana yang berlaku dengan matawang fiat sekarang.

Akhir sekali, pengawalan Bitcoin bermakna tujuan utama Bitcoin wujud tidak akan tercapai, di mana kuasa yang diletakkan di tangan pemilik Bitcoin diambil oleh kerajaan. Mungkin tidak secara keseluruhan, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa kesan daripada tindakan kerajaan seperti kerajaan China baru-baru ini membuktikan bahawa campur tangan boleh menjejaskan pasaran matawang kripto.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, kita dapat lihat undang-undang berkaitan Bitcoin dan matawang kripto boleh mendatangkan kesan positif dan juga negatif. Apa pun, momentum ini sudah tidak dapat dihentikan lagi, dan menjelang 2020 kemungkinan besar majoriti dunia sudah pun mempunyai undang-undang berkaitan matawang kripto di negara masing-masing. Dan sama ada kesannya adalah positif atau negatif, apa yang pasti adalah matawang kripto sudah pun dianggap sebagai sesuatu yang akan kekal lama di mata dunia.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here