an image on a post about matawang kripto

Bila kita bercakap tentang matawang kripto, aktiviti utama di pasaran adalah pelaburan. Pelaburan? Atau hanya spekulasi? Ramai masih keliru antara dua ini, dan istilah mana yang paling bersesuaian apabila kita bercakap tentang pasaran matawang kripto. Dalam post ini, penulis akan memberi sedikit pencerahan tentang perbezaan dua istilah ini.

Definisi Pelaburan

Pelaburan merujuk kepada pembelian sesuatu aset, dengan jangkaan bahawa aset ini akan menjana keuntungan di masa akan datang. Sesuatu pelaburan dibuat dengan maklumat atau analisa yang boleh memberi justifikasi kepada kenaikan dan penurunan nilai aset tersebut.

Dalam segi perakaunan, pelaburan berlaku apabila sesuatu aset ditukar dengan sejumlah wang ataupun sumber lain, dan kebaikan dari segi wang (monetary benefits) akan diterima di masa akan datang. Di sini, kita boleh simpulkan dua elemen penting dalam pelaburan: masa dan risiko. Sesuatu pelaburan selalunya mengambil tempoh masa lebih daripada 6 bulan untuk matang (menjana keuntungan) dan risiko pelaburan boleh diukur secara jelas.

Terdapat pelbagai jenis pelaburan yang wujud seperti memasukkan deposit ke dalam bank, membeli hartanah, membeli saham syarikat atau bon kerajaan. Malah menyumbang ke dalam akaun KWSP anda juga dianggap sebagai suatu pelaburan. Dua jenis pulangan pelaburan adalah fixed atau pulangan yang telah ditetapkan seperti untuk bon kerajaan, preference shares, dan KWSP manakala variable atau pulangan berkala seperti saham ekuiti atau hartanah.

Definisi Spekulasi

Spekulasi merujuk kepada aktiviti trading atau jual beli yang melibatkan transaksi kewangan berisiko tinggi, dengan harapan dapat mendapat keuntungan berlipat kali ganda yang datang daripada naik turun harga sesuatu aset di pasaran. Berbeza dengan pelaburan, aktiviti spekulasi selalunya berlaku sepanjang masa. Dalam erti kata lain, kitaran membeli sesuatu aset pada harga yang rendah dan menjual pada harga tinggi yang berterusan.

Dalam aktiviti spekulasi, terdapat risiko tinggi untuk kehilangan majoriti atau kesemua jumlah awal, tetapi risiko ini diimbangi dengan kebarangkalian memperoleh keuntungan yang besar. Walaupun ramai menganggap spekulator hanya mempertaruhkan duit mereka, sebenarnya risiko yang diambil telah pun dianalisa dan dikira oleh mereka. Tambahan lagi, kebanyakan spekulator adalah mereka yang sudah mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun, walaupun ada sahaja spekulator tidak berpengelaman yang memperoleh keuntungan. Contoh terbaik aktiviti spekulasi adalah seperti trading di pasaran saham dan forex, atau mana-mana pasaran yang mempunyai kadar perubahan harga yang tidak stabil (volatile).

Perbezaan Pelaburan dan Spekulasi

Diadaptasi dari keydifferences.com

Jadual di atas menunjukkan perbezaan utama antara pelaburan dan spekulasi. Mari kita lihat dua senario untuk membezakan kedua-duanya, yang mudah difahami.

Katakanlah Aminah dan Abu mempunyai RM100 setiap seorang.

Aminah bercadang untuk membuka sebuah gerai menjual air mangga. Jadi, Aminah membelanjakan RM100 untuk membeli beberapa kilo mangga, peralatan membuat air mangga, dan memasang gerai di pasar malam setiap Selasa dan Jumaat. Dia menggunakan pendapatan yang diperoleh untuk membeli bekalan baru. Beberapa bulan kemudian, modal awal RM100 sudah menjadi RM500. Aminah terus menjual mangga walaupun ada masa jualannya tidak laku, sehinggalah RM500 menjadi RM1,000 dan seterusnya. Aminah boleh dikatakan sebagai pelabur.

Manakala Abu pula menggunakan kesemua RM100 untuk membeli mangga dengan banyak, dan dia berharap dapat menjual mangga tersebut kepada Aminah dengan harga yang lebih tinggi. Dia berfikir memandangkan air mangga semakin popular di pasar malam, harga mangga akan naik disebabkan permintaan yang tinggi. Namun begitu, pada musim itu mangga berbuah dengan begitu banyak sekali, menyebabkan banyak mangga berlebihan dan harga mangga jatuh secara mendadak. Apa yang dilakukan oleh Abu adalah membuat spekulasi ke atas harga mangga.

Kesimpulan

Daripada kedua-dua senario di atas, kita boleh lihat perbezaan ketara antara pelaburan dan spekulasi. Dalam sesuatu pasaran, pelabur adalah peserta yang tidak mudah dipengaruhi khabar angin dan perubahan jangka masa pendek di pasaran. Manakala spekulator pula adalah mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan dari pasaran dengan apa cara sekalipun.

Dalam pasaran matawang kripto, kedua-dua jenis peserta ini wujud. Terdapat pelabur yang mencari projek-projek yang mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam jangka masa panjang, dan di sinilah tempat mereka melabur simpanan mereka. Namun begitu, golongan ini tidak begitu ramai kerana keadaan pasaran matawang kripto yang sangat tinggi kadar perubahan harga (fluctuation). Jadi, lebih ramai peserta dari golongan spekulator yang ingin mendapat keuntungan besar dengan membeli matawang kripto semasa ia sangat murah (selalunya sewaktu ICO) dan menunggu harganya naik (kerana permintaan tinggi) untuk menjual matawang kripto itu.

Yang mana satu anda. Pelabur atau spekulator?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here