Default – Above Header Ads

Harga Bitcoin mencecah RM20,000 – adakah momentum ini akan berterusan?

Apa khabar para pembaca semua? Mesti anda ternanti-nanti post baru daripada penulis, betul tak? Dalam masa beberapa hari penulis tak menulis artikel baru, harga Bitcoin telah melonjak tinggi mencecah lebih RM20,000. Hebat betul! Pada hari ini, harga Bitcoin setinggi USD$5,678.46. Maknanya ia sudah menghampiri RM24,000.

Bagi mereka yang sudah lama menyimpan Bitcoin, sudah tentu mereka sedang melonjak kegembiraan atas keuntungan yang besar ini. Adakah anda salah seorang daripada mereka? Kalau ya, tahniah. Jikalau anda baru ingin menaiki keretapi ini, sudah banyak pakar industri menjangka harga Bitcoin akan naik lebih USD$6,000. Jadi, anda mungkin belum terlambat lagi.

1 Harga Bitcoin naik, dan kekal naik

Harga Bitcoin naik, dan kekal naik

Pada 12 Oktober yang lalu, Bitcoin mula naik dan berjaya memecah rekod USD$5,000 yang  berlaku sebelum ini. Tetapi jika sebelum ini harga Bitcoin merudum jatuh sebaik sahaja mencecah USD$5,000 (ini adalah kerana penjualan besar Bitcoin di pasaran), harga Bitcoin kali ini kekal naik dan kelihatan stabil di atas paras USD$5,500. Memandangkan pasaran di China masih lagi belum pulih sejak larangan ICO dari kerajaan itu, upward trend Bitcoin ini membuktikan pasaran matawang kripto itu tidak begitu terjejas kerana tiada pembeli dari China. Malah, jika kita lihat pasaran Bitcoin kini, tiga pasaran utama Bitcoin adalah Amerika Syarikat, Korea Selatan dan juga Jepun.

2 Peristiwa di sebalik kenaikan harga Bitcoin?

Selalunya apabila harga Bitcoin naik atau turun secara mendadak, persoalan utama yang timbul adalah peristiwa besar yang berlaku menyebabkan harga Bitcoin berubah. Jadi, apakah peristiwa besar yang berlaku pada kali ini? Ramai yang membuat spekulasi bahawa berita yang tersebar sejak larangan ICO kerajaan China menyebabkan semakin banyak pihak yang mula mengambil perhatian terhadap Bitcoin dan matawang kripto lain.

Sentimen orang ramai pengaruh terbesar harga Bitcoin

Jika anda baca berita berkaitan Bitcoin terutama di Amerika Syarikat, anda pasti membaca berita tentang kenyataan CEO daripada institusi besar seperti Jamie Dimon (JPMorgan Chase), Lloyd Blankfein (Goldman Sachs), malah presiden Rusia, Vladimir Putin sendiri telah mengeluarkan kenyataan tentang Bitcoin baru-baru ini. Walaupun kenyataan-kenyataan mereka terhadap Bitcoin agak negatif ataupun neutral, hakikatnya Bitcoin sudah pun berada di mata dunia. Semakin banyak berita tentang Bitcoin yang tersebar di laman berita utama (mainstream news), Bitcoin akan semakin popular dan seperti yang kita tahu, harga Bitcoin berubah mengikut sentimen orang ramai terhadap Bitcoin itu.

Hard fork yang bakal berlaku menaikkan harga Bitcoin

Ada juga yang mengatakan bahawa dua hard fork yang bakal berlaku nanti menyebabkan harga Bitcoin naik. Hard fork yang berlaku pada bulan Ogos lepas melahirkan matawang kripto baru, Bitcoin Cash, yang diberi secara percuma kepada pemilik Bitcoin sebelum hard fork itu dan 25 Oktober nanti, matawang kripto baru, Bitcoin Gold bakal diberikan kepada pemilik Bitcoin, juga secara percuma. Dan pada masa yang sama, kebanyakan pelabur merasakan hard fork protokol Segwit2x juga akan membuahkan perkara yang sama, memandangkan komuniti Bitcoin masih lagi berbelah bagi dengan protokol Segiwit2x.

Dengan jangkaan mendapat token baru secara percuma, sudah pasti ramai yang ingin memiliki Bitcoin sebelum hard fork itu berlaku. Maka tidak hairanlah jika ramai yang berkejar ingin membeli Bitcoin sebanyak boleh, memandangkan keuntungan yang mereka peroleh akan naik berlipat kali ganda dengan matawang kripto yang baru dalam portfolio mereka. Tetapi adakah perkara sama akan berlaku? Dalam hard fork Bitcoin Cash, penciptanya menentang protokol Segwit dan berniat untuk mencipta matawang kripto yang mampu bersaing dengan Bitcoin. Namun begitu, harga Bitcoin Cash di pasaran masa kini masih lagi di paras USD$300, dan tidak dianggap sebagai pesaing Bitcoin.

3 Kesimpulan

Apa yang pasti, dalam dunia matawang kripto, keuntungan walau sedikit adalah perkara yang dikejar ramai pembeli matawang kripto. Dan sentimen terhadap Bitcoin boleh berubah bila-bila masa sahaja. Harga Bitcoin yang tinggi pada hari ini mungkin sahaja jatuh mendadak kerana penjualan secara besar-besaran, atau mungkin kekal naik semakin dekat dengan tarikh hard fork.

Kita mungkin dapat menjangka harga Bitcoin naik sehingga hard fork akan datang berlaku. Sehinggalah berlakunya peristiwa besar yang lain, ataupun sentimen orang ramai berubah terhadap Bitcoin. Di manakah posisi anda, adakah anda bermain short ataupun long game di sini?

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.