an image on a post about teknologi blockchain

Sebelum kewujudan kandungan yang dijana pengguna (user-generated content), kita banyak bergantung kepada laman berita utama dan surat khabar untuk mendapatkan maklumat semasa, dan kebiasaannya perlu menunggu keesokkan harinya untuk menngetahui berita terbaru.

Perkembangan teknologi dalam penyebaran maklumat

Kecanggihan teknologi telah melahirkan era Internet of Things (IoT) dan melaluinya, muncul platform media sosial seperti MySpace dan klien Internet Relay Chat (mIRC) yang membolehkan pengguna berhubung sesama sendiri secara jarak jauh. Beberapa tahun kemudian, Facebook, Twitter dan Reddit dinobat sebagai platform media sosial paling popular zaman ini. Dengan kewujudan mereka, berita dan maklumat terkini dapat dikongsi dan disebar dengan cepat merentasi sempadan negara.

Jika anda mempunyai akaun Facebook, anda pasti selalu membaca berita-berita viral yang disebarkan. Terdapat banyak berita dan maklumat yang lebih tepat dan telus daripada laman berita utama yang kadang-kadang bias dalam laporan mereka, tetapi banyak juga berita viral yang tidak benar dan dipanggil fake news, dan fenomena ini semakin lama semakin menular. Dari tajuk berita yang mengelirukan, sehingga ke isi kandungan berita yang ditokok tambah atau tidak disahihkan, sangat sukar untuk orang ramai membezakan antara berita yang benar dan tidak.

Teknologi Blockchain boleh menangani fake news

Seperti yang kita sudah tahu, teknologi Blockchain boleh diimplementasi secara meluas dalam pelbagai sektor. Dan dalam sektor media massa (mass media), teknologi ini mempunyai potensi untuk melawan fenomena fake news melalui insentif ekonomi, yang juga merupakan konsep yang digunakan dalam protokol konsensus Bitcoin dan matawang kripto lain. Dalam post ini, penulis ingin memperkenalkan Steemit, platform media sosial berdasarkan teknologi Blockchain yang membolehkan pengguna mendapat ganjaran apabila menyumbang kandungan berkualiti.

Dalam ekosistem yang ada sekarang, pengguna berkongsi suatu berita atas dasar sentimen . Dalam erti kata lain, jika sesuatu berita atau maklumat dianggap berguna atau patut diketahui orang lain, pengguna akan menyebarkannya. Pengguna yang bagus akan memeriksa kesahihan maklumat tersebut sebelum menyebarkannya, tetapi terdapat pengguna yang menerima maklumat itu bulat-bulat tanpa usul periksa dan menyebarkannya.

Sumber: steemit.com

Steemit menangani masalah ini dengan mewujudkan satu ekonomi dalam platform media sosial dan mempunyai visi yang mudah: setiap orang yang menyumbang sesuatu yang bermakna kepada komuniti Steemit, pengguna itu sepatutnya dihargai. Dan menurut whitepaper Steemit, sistem yang terbaik untuk menilai kandungan yang disumbang adalah free market. Sistem free market memberi ganjaran kepada mereka yang menyumbang kepada komuniti, dan menghukum mereka tidak membawa apa-apa nilai.

Token Steemit – STEEM, Steem Power (SP) dan Steem Blockchain Dollars (SBD)

Steemit menggunakan tiga jenis token berbeza untuk menguruskan keseluruhan ekosistem Steemit. Token yang paling asas adalah STEEM dan nilai token-token lain bergantung kepada nilai STEEM. Sama seperti matawang kripto lain, STEEM boleh di jual beli di pasaran, dan juga digunakan dalam Steemit sebagai kaedah bayaran kepada pengguna.

Dalam coinmarketcap.com, STEEM adalah matawang kripto ke-24 terbesar dalam pasaran, suatu pencapaian yang didorong oleh kekuakatan komuniti Steemit yang semakin membesar setiap hari. Jumlah modal pasaran STEEM adalah USD$264 juta dan nilai satu unit STEEM adalah di antara USD$1-2.50.

Steemit juga menawarkan pelaburan jangka masa panjang untuk penggunanya. Pengguna boleh menyertai program pelaburan Steemit yang berjalan selama 13 minggu, dan STEEM yang dilaburkan dinamakan Steem Power (SP). Seperti saham, SP tidak boleh dipindahkan ataupun dibahagikan melainkan melalui permintaan pertukaran. SP juga tidak boleh di jual beli di platform pertukaran.

SP menggunakan konsep protokol proof-of-stake. Ini bermakna, apabila seseorang pengguna menilai dan mengundi sesuatu kandungan dalam Steemit, pengaruh mereka terhadap pengagihan ganjaran bergantung kepada jumlah SP mereka. SP adalah token yang memberikan pengguna kuasa eksklusif dalam platform Steemit. Pemegang SP juga akan menerima 15 peratus daripada kenaikan harga Steemit setiap tahun.

Steem Blockchain Dollars (SBD) pula dicipta sebagai short-term debt instrument, di mana pihak yang mengeluarkan kontrak tersebut (issuer), dalam kes ini Steemit, boleh mengumpul dana dengan cara perjanjian dengan pengambil kontrak (lender). Contoh short-term debt instrument lain adalah seperti bon kerajaan, nota kredit dan juga pajakan. SBD adalah mekanisme yang digunakan untuk mengekalkan kestabilan harga STEEM untuk komuniti Steemit, dan ia dikekalkan pada harga USD$1.

Steemit mengembalikan kuasa kepada pengguna media

Dengan mewujudkan sistem insentif dalam komuniti Steemit, Steemit memastikan setiap maklumat yang dikongsi adalah berkualiti dan tidak membuang masa pengguna. Steemit bukan sahaja mewujudkan platform media sosial tetapi juga suatu sistem ekonomi yang tidak wujud dalam kebanyakan platform media sosial yang lain. Malah, suatu kajian terhadap perkhidmatan yang ditawarkan Facebook untuk membanteras fake news, iaitu “diputed by third-party fact checkers” hanya mempunyai impak yang kecil kepada persepsi orang ramai, dan tidak mengurangkan penyebaran fake news.

Sistem insentif Steemit yang memberi ganjaran kewangan kepada penyumbang dan kuasa kepada pengguna mungkin adalah penyelesaian terbaik untuk memastikan hanya kandungan berkualiti dikongsi dengan orang ramai. Bak kata Mark Twain, “honesty is the best policy – when there is money in it”.

Adakah anda salah seorang ahli komuniti Steemit? Apa pengalaman anda tentang kualiti kandungan platform Steemit?

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here