an image on a post about teknologi blockchain

Dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia, pilihan raya adalah mekanisme untuk  memberi rakyat peluang bersuara melalui pengundian. Sistem demokrasi moden yang efektif adalah di mana semua ahli dalam insitusi, organisasi atau negara mempunyai kuasa sama rata untuk membuat keputusan dan sebuah sistem pilihan raya memastikan proses pemilihan ketua dalam sesebuah negara melalui pengundian itu telus dan adil.

Masalah sistem pilihan raya

Namun begitu, sistem pilihan raya yang bebas daripada manipulasi dan penipuan sukar dicapai, tidak kiralah dalam negara maju seperti Amerika Syarikat atau negara yang masih belum membangun seperti Burma. Dalam banyak negara yang mempunyai prinsip perundangan (rule of law) yang lemah, antara faktor utama sistem pilihan raya yang adil dan bersih sukar dicapai adalah kerana ketidakseimbangan kuasa dan antara kerajaan pemerintah dan parti-parti pembangkang, dan juga kelebihan tidak adil (unfair advantage) kepada kerajaan pemerintah.

Masalah yang selalu dihadapi dalam sistem pilihan raya adalah election rigging, atau manipulasi yang haram (illegal) dalam proses pengundian, sama ada dengan menambah undi seseorang calon dan mengurangkan undi calon lain, atau kedua-duanya. Ia boleh juga berlaku dalam kapasiti yang sah (legal) seperti manipulasi demografi, iaitu memindahkan sejumlah besar undi ke daerah yang lain atau memberi kerakyatan kepada pendatang dari negara jiran.

Adakah pengundian elektronik jalan penyelesaian?

Dunia sedang bergerak maju ke arah digitalisasi, hampir semua aktiviti harian boleh dilakukan secara elektronik. Jadi, tidak hairanlah jika proses pengundian juga akan menjadi elektronik suatu hari nanti. Malah, beberapa negara sudahpun implementasi e-voting atau online voting, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Belgium, Brazil dan banyak lagi. Namun begitu, sistem pengundian secara elektronik juga datang dengan risikonya tersendiri, yang paling besar serangan siber. Tambahan lagi, tanpa undi fizikal, kerosakan di main server boleh menyebabkan undi hilang begitu sahaja.

Bagaimana pula dengan Blockchain?

Kewujudan Bitcoin dan dengannya teknologi Blockchain telah menjana suatu fenomena baru dalam dunia, iaitu desentralisasi. Dan kuasa yang diberikan teknologi bersifat decentralized ini mampu untuk mempengaruhi sistem sedia ada di dunia sekarang, termasuk sistem politik. Blockchain mempunyai potensi untuk mengubah sistem pilihan raya sedia ada menjadi lebih adil dan telus kepada pengundi.

Teknologi Blockchain mempunyai banyak elemen penting yang boleh membentuk sesuatu sistem demokrasi yang hampir sempurna. Melalui sistem berdasarkan teknologi Blockchain,  setiap nod mempunyai akses untuk melihat semua rekod dalam sistem, dan rekod itu hampir mustahil untuk digodam dan diubah dan yang paling penting, setiap undi boleh dijejaki kepada satu alamat unik tanpa perlu mendedahkan identiti pengundi. Proses pengesahan boleh memastikan setiap undi yang masuk adalah sah dan pengundi juga boleh menjejaki undi mereka dengan mudah dari awal hingga akhir.

Isu-isu yang dihadapi dalam sistem pilihan raya yang sedia ada termasuk ketelusan, kemudahan untuk mengundi, keselamatan dan yang paling penting auditability dalam pengiraan undi. Sangat sukar untuk memastikan ketelusan sesebuah sistem, lebih-lebih lagi dalam sistem yang dijaga oleh manusia, dimana kesilapan boleh berlaku dan terdapat unsur-unsur bias dalam sistem pengundian. Penggunaan sistem yang neutral seperti secara elektronik yang tidak dikawal oleh satu pihak mempunyai potensi untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

Projek-projek yang implementasi Blockchain dalam sistem pengundian

Implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur besar seperti sistem politik sesebuah negara mungkin masih lagi jauh memandangkan teknologi Blockchain masih lagi baru, tetapi sudah ada beberapa projek yang sudah mula implementasi teknologi ini dalam skala yang kecil.

Salah satu projek itu, Boardroom, adalah contoh aplikasi yang membolehkan sistem pengundian berdasarkan teknologi Blockchain diimplementasi dalam organisasi, sama ada dalam mesyuarat pemegang saham mahupun pengurusan projek. Followmyvote dan Democracy Earth adalah dua lagi projek yang menyediakan platform untuk mengundi secara online.

Kesimpulan

Teknologi Blockchain adalah teknologi yang akan mengubah dunia. Itu adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Daripada projek persendirian seperti Bitcoin, kini syarikat-syarikat besar sudah mula implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur organisasi mereka. Tidak mustahil suatu hari nanti infrastruktur sesebuah negara akan mempunyai elemen-elemen teknologi Blockchain. Jadi, sangat penting untuk kita membuka mata dan menambah ilmu tentang teknologi ini, sebelum kita ketinggalan ke belakang.

 

 

 

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here