Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

5 Tokoh Berpengaruh yang Mengkritik Bitcoin/Matawang Kripto

Baru-baru ini harga Bitcoin sudah mencecah lebih RM30,000. Sewaktu penulisan, harga Bitcoin adalah USD$7322.72 (RM 31,092), dan ramai yang menjangka akan kekal naik menjelang akhir tahun ini. Namun begitu, seperti biasa, pasti akan ada suara-suara yang mengatakan sebaliknya. Dalam post ini, penulis akan menyenaraikan 5 tokoh berpengaruh dunia yang pernah mengkritik Bitcoin atau matawang kripto.

1 1. Jamie Dimon, CEO JPMorgan Chase & Co

Sumber: money.cnn.com

Siapa yang tidak kenal CEO ini, yang lantang bersuara menentang Bitcoin. Antara kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Jamie Dimon adalah:

“…Lupakan Blockchain, ia adalah satu teknologi…tetapi…matawang kripto tidak akan berjaya. Anda tidak boleh mempunyai suatu perniagaan, di mana sesiapa sahaja boleh mencipta matawang dengan tiba-tiba dan menganggap orang yang membelinya adalah orang yang bijak. Ia (matawang kripto) lebih teruk daripada Tulip mania.”

“Sekarang ini matawang kripto adalah suatu perkara yang baru. Orang ramai menganggap ianya suatu yang menarik. Tetapi semakin banyak matawang kripto berkembang, semakin banyak kerajaan yang ingin menutupnya (kerana tiada pengawalan).”

“Matawang kripto yang tidak mempunyai sokongan daripada kerajaan (atau undang-undang) akan gagal.”

“Satu-satunya hujah yang saya pernah dengar – dan ianya hujah yang bagus – adalah terdapat pasaran untuk Bitcoin, khususnya jika Bitcoin boleh kekal had jumlahnya iaitu 21 juta, jika anda berada di Venezuela, atau Ecuador, atau Korea Utara…jika anda seorang pengedar dadah atau pembunuh, anda akan lebih untung jika menggunakan Bitcoin daripada US Dollar.”

2 2. Warren Buffet, CEO Berkshire Hathaway

Sumber: forwrdfinancialplanners.com

Pelabur yang sudah mencapai status “billionaire“, Warren Buffet telah menyebelahi pihak yang menganggap Bitcoin sebagai suatu gelembung pasaran (market bubble) baru-baru ini. Dalam sebuah sesi Q&A bersamanya awal Oktober lalu, beliau telah mengelularkan beberapa kenyataan tentang pasaran matawang kripto, antaranya adalah:

“Anda tidak boleh menilai Bitcoin, kerana ia bukannya suatu aset yang mempunyai (atau menjana) nilai.”

“Jauhi matawang kripto. Ianya adalah ilusi semata-mata. Ia hanya suatu kaedah untuk memindahkan wang, dan anda boleh membuatnya tanpa mendedahkan identiti anda. Cek juga adalah suatu kaedah untuk memindahkan wang. Adakah cek mempunyai nilai kerana ia mampu memindahkan wang?”

“Idea bahawa Bitcoin mempunyai nilai intrinsik adalah suatu jenaka bagi saya.”

3 3. Howard Marks, CEO Oaktree Capital Management

Sumber: cnbc.com

Dalam kenyataan yang dikeluarkan dalam surat kepada pelabur lain bulan Julai yang lalu, Howard Marks telah memberi amaran kepada klien-klien beliau untuk mengelak daripada melabur dalam matawang digital. Dalam suratnya, beliau berkata,

“Pada pandangan saya, matawang digital tidak lain hanyalah sesuatu yang tidak berasas (ataupun skim piramid), berdasarkan keinginan meletakkan nilai pada sesuatu yang mempunyai hanya sedikit nilai, tidak melebihi apa yang orang ingin membayarnya.”

Namun begitu, Howard Marks telah menarik balik kenyataannya dalam surat itu dan mengeluarkan kenyataan baru pada awal September yang lalu.

“Saya rasa saya sudah faham tentang matawang digital, bagaimana Bitcoin berfungsi, dan hujah-hujah yang menyokongnya. Walaupun begitu, saya masih tidak mahu meletakkan wang saya ke dalam Bitcoin, kerana saya masih menganggap (matawang digital) suatu gelembung pasaran yang spekulatif.”

“Walaupun matawang digital akan kekal, siapa yang tahu matawang digital yang mana akan berjaya? Beratus-ratus perniagaan e-commerce naik dengan begitu mendadak ketika era dotcom, atas dasar ‘Internet akan membawa perubahan kepada dunia’. Memang betul, tetapi kebanyakan syarikat akhirnya jatuh.”

4 4. Mohamed A. El Arian, Ketua Penasihat Ekonomi Allianz

Sumber: businessinsider.com

Mohamed A. El-Erian adalah seorang yang berpengaruh dalam dunia kewangan. Beliau adalah antara orang yang kuat menentang Bitcoin selain Jamie Dimon. Dalam beberapa sidang temubual, beliau menekankan bahawa Bitcoin telah dinilai secara berlebihan kerana jangkaan penggunaannya secara meluas, yang beliau jangka tidak akan berlaku. Mohamed El-Erian mengulang kembali kenyataannya baru-baru ini.

Bitcoin adalah berdasarkan “disruptive techonology” yang sepatutnya bernilai separuh atau satu pertiga daripada nilainya sekarang. Nilai Bitcoin yang tinggi mengandaikan penggunaan skala besar, dan saya tidak rasa mana-mana kerajaan akan membenarkan penggunaan berleluasa, yang dicerminkan oleh nilai Bitcoin.”

“Matawang berfungsi sebagai tempat penyimpanan nilai, dan nilainya hendaklah mudah diramalkan (predictable) dan stabil untuk berfungsi sebagai medium pertukaran. Bitcoin masih belum sampai tahap itu, ia masih belum mencapai nilai yang stabil, jadi ianya adalah lebih kepada komoditi daripada matawang.”

5 5. Dr. Paul Krugman, pemenang Nobel Prize dalam bidang Ekonomi

Sumber: theintercept.com

Dalam penulisan beliau di blog New York Times pada tahun 2013, beliau telah menamakan Bitcoin sebagai sesuatu yang jahat. Beliau berkata antara isu terbesar dalam memahami ekonomi makro adalah kesukaran untuk membezakan antara “ekonomi positif” – bagaimana sesuatu berfungsi – dengan “ekonomi normatif” – bagaimana sesuatu patut berfungsi. Dan dalam kes Bitcoin, beliau antara mereka yang masih skeptik dengan potensi Bitcoin. Antara kenyataan Dr. Krugman dalam penulisannya adalah:

“…saya masih belum yakin (dengan Bitcoin). Untuk berjaya, sesuatu matawang perlu berfungsi sebagai medium pertukaran dan suatu tempat penyimpanan nilai yang stabil. Dan ia masih lagi kurang jelas mengapa Bitcoin boleh menjadi tempat penyimpanan nilai yang stabil.”

Pada tahun 2014 pula, beliau telah menyamakan Bitcoin dengan penipuan komersial yang telah dijalankan oleh parti haluan kanan. Dan dalam sesi temubual dalam program bernama The Genius of Economics pada tahun 2015, Dr. Krugman menekankan beliau masih lagi tidak yakin dengan Bitcoin kerana nilainya tidak mempunyai sandaran, seperti dollar. Antara kenyataan Dr. Krugman yang lain adalah:

Bitcoin adalah gelembung pasaran dari pelbagai segi. Ia dicipta sebagai satu penyelesaian kepada suatu masalah, tetapi ia tidak jelas sama ada masalah itu relevan dari segi ekonomi…”

“Jika anda mencari idea untuk mencipta sesuatu matawang yang tidak perlu mempunyai bentuk fizikal, dan ia boleh wujud dalam alam maya – itu adalah sistem yang sudah sedia ada. Jika anda mahu ia menjadi satu kaedah pembayaran secara elektronik, itu adalah kad kredit. Jadi, apa sebenarnya fungsi Bitcoin yang masih belum ada (dalam sistem)? Ya, memang ada perbezaan dari segi teknikal, tetapi ia (Bitcoin) masih tidak masuk akal.”

_________

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads