an image on a post on stablecoin

Sebelum ini penulis pernah mengulas tentang penggunaan Bitcoin yang tidak begitu meluas kerana pemilik Bitcoin lebih gemar HODL, atau hold on for dear life. Jika anda belum lagi membaca artikel itu, boleh baca di sini: HODL Bitcoin menjadi penghalang Penggunaan Meluas?

Hakikatnya, walaupun rangkaian Bitcoin cukup bagus untuk menghantar transaksi dengan cepat dan lebih murah terutama transaksi antarabangsa, harga Bitcoin yang terlalu tidak stabil menjadikannya ia tidak sesuai sebagai medium pertukaran. Baik bagi pembeli mahupun penjual. Jika anda rajin melihat perubahan harga Bitcoin di coinmarketcap, anda pasti akan dapat melihat bahawa harga Bitcoin boleh naik turun dalam masa beberapa jam sahaja, malah boleh berubah lebih 30 peratus setiap minggu.

Contoh terbaik adalah peristiwa yang berlaku pada hari minggu lalu, di mana harga Bitcoin dan altcoins lain jatuh mendadak dan harga Bitcoin Cash pula melonjak naik. Hari ini, tidak sampai 48 jam, harga Bitcoin kembali naik diikuti harga alt coins lain, dan pada masa yang sama harga Bitcoin Cash pula jatuh. Ketidak stabilan harga adalah satu tema yang paling sesuai untuk menggambarkan pasaran matawang kripto.

Persoalannya, adakah ia mustahil untuk mencipta satu matawang kripto yang stabil, yang boleh berfungsi bukan sahaja sebagai tempat menyimpan nilai, tetapi juga medium pertukaran yang boleh digunakan oleh orang ramai, sama seperti matawang fiat? Selain daripada matawang fiat, contoh yang lebih baik adalah emas yang mempunyai nilai yang tidak dipengaruhi pasaran saham atau ekuiti. Harganya juga tidak boleh dimanipulasi dengan menetapkan interst rate.

Terdapat beberapa matawang kripto yang dicipta bersandarkan nilai matawang fiat dan juga emas yang wujud sekarang. Contohnya, Tether yang bersandarkan nilai USD, Dai yang bersandarkan ETH dan juga DGX yang bersandarkan emas. Namun begitu, masalah utama matawang kripto yang nilainya bersandarkan matawang fiat adalah ia masih lagi boleh terjejas dengan inflasi atau krisis ekonomi.

Vitalik Buterin, pencipta Ethereum, juga pernah mengulas tentang isu ini di dalam blog Ethereum. Dalam penulisannya, beliau mengutarakan dua persoalan yang perlu dijawab untuk mula menyelesaikan isu matawang kripto yang stabil, iaitu:

  1. Bagaimana kita ingin menetapkan harga sesuatu matawang (selain pasaran bebas) dengan cara yang desentralisasi?
  2. Jika pelarasan bekalan dibuat untuk menetapkan harga, kepada siapa matawang itu akan diberikan dan bagaimana untuk menarik balik unit matawang tersebut?

Vitalik menjelaskan secara terperinci penyelesaian berbentuk exogenous (luaran) dan endongenous (dalaman) untuk memastikan harga matawang kripto stabil. Penulisannya agak teknikal terutama bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi dan sains komputer, tetapi jika anda berminat, anda boleh membaca tentangnya di sini: The Search for a Stable Cryptocurrency.

Vitalik banyak menerangkan tentang mekanisme yang terlibat dalam mencapai kestabilan harga matawang kripto, pada masa sama mengekalkan prinsip desentralisasi. Mekanisme tersebut akan menganggar harga matawang kripto di masa akan datang, dan mengambil kira elemen-elemen dalam matawang kripto tersebut, seperti caj transaksi, tahap kesukaran mining, jumlah transaksi dan lain-lain.

Namun begitu, Vitalik merumuskan bahawa kesemua strategi yang dijelaskan adalah teori yang masih belum dibuktikan, dan 4 tahun selepas penulisannya itu (penulisan Vitalik adalah dari tahun 2014), matawang kripto yang stabil masih belum lagi wujud. Ini kemungkinan besar kerana orang ramai yang memiliki matawang kripto, menyimpannya untuk tujuan pelaburan atau spekulasi. Malah, majoriti daripada matawang kripto yang ada di pasaran hanya bernilai di dunia sebenar apabila ditukar dengan matawang fiat.

Ini menunjukkan generasi pada waktu ini masih tidak lagi boleh menerima matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat, hanya sebagai simpanan untuk menjamin mereka di masa akan datang. Mungkin kita perlu menunggu lagi 10 tahun sebelum matawang kripto menggantikan matawang fiat? Apa pendapat anda?

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here