Matawang Kripto Venezuela, Petro, Satu Penipuan?

Krisis ekonomi yang dihadapi Venezuela telah berlanjutan sejak tahun 2012 lagi. Penduduk di negara itu kini mengalami krisis kekurangan makanan, keadaan hiperinflasi yang boleh mencapai sehingga ke 13,000% tahun ini dan juga keruntuhan sistem kewangan dan matawang negara itu, iaitu Bolivar.

Dalam artikel Adakah Bitcoin Bakal Menggantikan Bolivar di Venezuela?, rakyat Venezuela telah mula bergantung harap kepada Bitcoin, lebih-lebih lagi aktiviti mining Bitcoin untuk menampung kehidupan mereka di negara itu. Tetapi pada awal tahun 2018, kerajaan Venezuela telah mengumumkan bahawa negara itu bakal menggunakan matawang kripto baru, Petro, yang bersandarkan sumber minyak Venezuela.

Presiden Nicolas Maduro mendakwa bahawa setiap token Petro akan bersandar kepada 1 tong minyak petroleum Venezuela, dan pengedaran lebih kurang 100 juta Petro bernilai USD$6 bilion. Fungsi utama Petro adalah untuk mendapatkan matawang fiat, dan juga sebagai kaedah pembayaran bagi pembekal antarabangsa memandangkan sejumlah besar transaksi keluar masuk Venezuela terhalang oleh sekatan kewangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar negara itu.

Venezuela bukan sahaja mengalami krisis ekonomi, tetapi juga krisis politik yang sangat parah menyebabkan ramai berpendapat bahawa pelancaran Petro adalah satu penipuan. Parti pembangkang negara itu telah pun mengisytiharkan matawang kripto Petro sebagai illegal. Minyak petroleum yang kononnya menjadi sandaran Petro, masih belum dipam. Malahan, kerajaan Venezuela hanya memegang 60% saham dalam projek ekstrak minyak yang melibatkan usaha sama beberapa syarikat minyak lain. Menurut parti pembangkang lagi, Petro bukanlah bersandarkan minyak petroleum, tetapi lebih kepada jualan forward minyak Venezuela.

Selain daripada itu, kerajaan Venezuela bergantung berat kepada pencetakan matawang fiat untuk diagihkan kepada ahli-ahli pakatan dan pasukan keselamatan negara itu. Ini adalah kerana ia membenarkan sistem diktator Venezuela boleh dikekalkan. Kerajaan Venezuela akan menghadapi masalah jika penyokongnya tidak mahu menerima matawang kripto sebagai ganti matawang fiat.

Dan yang paling penting, Petro tidak akan menyelesaikan krisis ekonomi yang dihadapi oleh Venezuela. Sejumlah besar dana yang dikutip adalah untuk membayar hutang Venezuela kepada pemegang bon, syarikat minyak, China, Rusia dan kreditor-kreditor lain yang mencapai lebih USD$141 bilion. Potensi pelaburan juga tidak jelas memandangkan kerajaan Venezuela tidak menawarkan saham pemilikan kepada pemegang Petro. Kemungkinan besar Petro tidak akan sampai ke tangan rakyat Venezuela.

Pada 20 Februari 2018, kerajaan Venezuela telah melancarkan pre-sale Petro. Petro kononnya adalah token ERC20 yang bernilai USD$60 dan sebanyak 82.4 juta Petro telah diedarkan dalam presale tersebut. Presiden Nicolas Maduro mengeluarkan kenyataan di laman Twittter beliau bahawa sebanyak USD$750 juta telah dikutip dalam masa beberapa jam, tetapi tidak mengeluarkan apa-apa bukti kepada dakwaannya. Berita terbaru melaporkan bahawa Petro bakal didagangkan di Dicom, sebuah platform popular di Venezuela d mana matawang asing di lelong.

Apa yang pasti, khabar angin tentang Petro sebagai satu penipuan sudah menjadi lebih kuat. Malah, ada yang sudah meragui bahawa Petro itu adalah matawang kripto ataupun tidak. Jika anda cuba mencari Blockchain Petro di Ethereum atau NEM, anda akan dapat melihat beberapa token yang dinamakan Petro yang tersenarai, dan tidak ada satu pun menunjukkan transaksi ke alamat baru.