Default – Above Header Ads

10 Matawang Kripto yang paling Aneh dan Pelik Pernah Dicipta

Tahukah anda terdapat lebih 1500 jenis token/coin yang tersenarai dalam pasaran matawang kripto? Dan itu hanya yang tersenarai, masih ada banyak lagi matawang kripto lagi yang wujud tetapi tidak tersenarai di mana-mana pasaran. Di platform Ethereum sahaja sudah terdapat 39560 token ERC20. Kalau dulu orang ramai hanya tahu tentang Bitcoin atau Ether dan tidak begitu ambil tahu tentang matawang kripto lain, kini kita sebut sahaja perkataan “cryptocurrency”, dan sudah pasti ramai yang boleh menerangkan tentangnya.

Namun begitu, Bitcoin, Ether dan beberapa matawang kripto lain mungkin dicipta dengan matlamat yang murni, dengan fungsi yang membawa kebaikan kepada orang ramai. Tetapi banyak lagi matawang kripto lain yang dicipta sebagai alat dalam skim penipuan, atau lawak jenaka dan ada juga sebagai parodi. Memandangkan pasaran matawang kripto adalah bebas dan tidak terhad, tidak hairanlah jika matawang kripto berkualiti bercampur-aduk dengan yang tiada kualiti.

Semua ini gara-gara ciri-ciri keselamatan dan anonymity yang ditawarkan matawang kripto, ditambah lagi dengan peluang untuk membuat keuntungan dengan cepat, pasti akan ada yang mengambil kesempatan. Tahukah anda jumlah matawang kripto yang wujud sudah melangkaui jumlah matawang fiat di dunia? Mari kita menerokai dunia matawang kripto dan mengenal pasti 10 matawang kripto yang aneh (dan kadang-kadang tidak masuk akal) yang terdapat di pasaran.

1. Useless Ethereum Token

UET adalah “token ERC20 biasa, yang membolehkan anda memilikinya dan memindahkannya. Selain daripada itu…tiada apa-apa. Langsung tiada apa-apa.” Itu adalah penerangan daripada pencipta UET. Malah seperti gambar di atas, pengguna telah diberi amaran tentang apa yang akan berlaku kepada kutipan daripada ICO, dan supaya jangan membeli token tersebut.

Apa yang mengejutkan, UET telah berjaya mengutip sebanyak 310.45 Ether. Walaupun jumlahnya nampak sedikit tetapi nilai Ether yang terkumpul ketika itu melebihi USD$40,000! Begitu mudah sekali untuk membuat duit atas angin. Siapa agaknya yang membeli token UET itu.

Default – Inside Post Ads

2. Dogecoin

Useless Ether Token mungkin token yang paling tidak berguna dalam dunia matawang kripto, tetapi Dogecoin adalah matawang kripto paling aneh. Ini adalah kerana ia dicipta sebagai satu jenaka berdasarkan meme popular tentang anjing Shiba Inu. Dogecoin diadaptasi daripada Luckycoin dan mempunyai fungsi yang sama seperti Bitcoin, untuk memindahkan wang secara online.

Mungkin kerana ia memaparkan anjing Shiba Inu yang disukai ramai terutama orang Jepun, Dogecoin menjadi popular terutama dalam aktiviti “tipping” dan kutipan derma. Bayangkan, Dogecoin telah digunakan dalam kutipan derma untuk Winter Olympics tahun 2014, perlumbaan NASCAR dan macam-macam lagi. Walaupun Dogecoin tiada kegunaan komersial, ia tetap menjadi  kesukaan ramai dan kini menduduki tempat ke-35 dalam pasaran matawang kripto.

3. PotCoin 

Dengar sahaja perkataan pot pasti anda tahu apa kegunaan matawang kripto ini. PotCoin dicipta khas untuk komuniti ganja (cannabis), di mana ia membolehkan transaksi berlaku secara rahsia dan selamat di antara penjual dan pembeli. Itu sahaja fungsinya.

Bila kita melihat statistik Potcoin, pasti akan terkejut. Sudah lebih daripada 200 juta PotCoin diedarkan dalam pasaran dan jumlah ini adalah separuh daripada jumlah penuh PotCoin iaitu 420 juta. Harga tertinggi yang pernah direkodkan adalah USD$0.40, menunjukkan matawang kripto ini popular dalam kalangan pengguna.

Dan terdapat beberapa lagi matawang kripto yang mempunyai fungsi yang sama dalam industri ini seperti CannabisCoin, DopeCoin, HempCoin dan CannaCoin.

4. TrumpCoin dan PutinCoin

      

Sudah tentu Presiden Amerika Syarikat dan Rusia mempunyai matawang kripto sendiri. Mengapa tidak? Malah bukan mereka sahaja yang mempunyai matawang kripto yang dicipta untuk mereka. Terdapat banyak lagi matawang kripto lain yang sama seperti Billary Coin, Ron Paul Coin, matawang kripto untuk presiden Perancis Emmanuel Macron dan Marine Le Pen, dan macam-macam lagi.

Memang sangat aneh. Lebih-lebih lagi slogan TrumpCoin yang berbunyi, “Belilah TrumpCoin hari ini untuk membantu rakyat seperti anda, komuniti dan penduduk lain untuk merealisasikan potensi mereka!” Penulis tidak tahu sama ada untuk ketawa tanpa henti atau menangis. Mungkin kedua-duanya sekali. Nak tahu apa fungsi TrumpCoin? TrumpCoin seiring dengan agenda Presiden Trump dan akan menjadi dana dalam projek domestik dan antarabangsa termasuk infrastruktur, veteran dan keselamatan sempadan.

TrumpCoin mempunyai jumlah modal pasaran lebih USD$1 juta manakala PutinCoin pula mempunyai modal pasaran lebih USD$5 juta. Nampaknya Putin lebih diminati daripada Trump. Fungsi PutinCoin juga lebih kurang sama, kononnya untuk menyokong ekonomi di Rusia dan juga Presiden mereka.

5. InsaneCoin

Kalau anda rasa anda gila matawang kripto, boleh membeli matawang kripto ini. Apa fungsi matawang kripto ini? Mungkin hanya orang yang gila sahaja yang tahu. Menurut laman web mereka, InsaneCoin adalah “lebih daripada hanya matawang kripto, ia adalah peristiwa…keadaan minda (Notakaki: ???). Anda tidak perlu menjadi gila untuk menyertai komuniti kami (Nota kaki: gelak sambil guling-guling), tetapi tiada salahnya (kalau anda betul-betul gila).

Rupa-rupanya ramai orang gila di dunia ini. Jumlah modal pasaran InsaneCoin adalah lebih USD$2 juta dan harganya kini adalah USD$0.12. Siapa yang ingin membeli InsaneCoin, tepuk dada tanya diri sendiri, adakah aku gila?

6. Unobtanium

Pernah lihat filem “Avatar”? Mungkin anda pernah tentang mineral yang sangat berharga, yang hanya boleh dijumpai di bulan Pandora. Dalam dunia Avatar, manusia memerlukan Unobtanium untuk menyelamatkan bumi daripada krisis sumber tenaga. Mineral ini adalah penyebab permusuhan manusia dan bangsa Na’vi yang menjadi asas filem ini.

Seperti biasa, matawang kripto Unobtanium ini tidak mempunya fungsi lain, hanya untuk menjadi matawang kripto paling rare dalam dunia matawang kripto seperti namanya. Berminat untuk membeli Unobtanium? Anda boleh membelinya dengan harga USD$154. Ya, betul, USD$154. Memang lumayan. Sebab itulah jumlah modal pasaran Unobtanium adalah USD$30 juta.

7. MonaCoin

Kalau ada matawang kripto untuk anjing, sudah pasti perlu ada matawang kripto untuk kucing, betul tak? Walaupun DogeCoin berdasarkan anjing Shiba Inu yang berasal daripada Jepun, ianya dicipta di Amerika Syarikat. MonaCoin pula adalah matawang kripto yang dicipta di Jepun dan hampir kesemua pemiliknya adalah orang Jepun.

Penciptanya yang hanya dikenali sebagai Mr Watanabe mengatakan bahawa matawang kripto itu hanya permainan dan misi permainan itu adalah untuk mencari hash matawang kripto itu. Monacoin sangat popular dalam kalangan otaku dan digunakan sebagai tips untuk peminat manga dan pencipta manga.

8. DentaCoin

Matawang kripto untuk perkhidmatan pergigian? Mengapa tidak? Kini hampir semua industri sudah diwakili satu matawang kripto. DentaCoin sudah pun digunakan sebagai kaedah pembayaran dalam beberapa klinik pergigian di seluruh dunia.

9. SelfieCoin

Selfiecoin adalah matawang kripto yang dicipta tanpa laman web, whitepaper, pengenalan pencipta dan hanya sebagai satu pengumuman di Reddit. Menurut deskripsi pengumuman itu, Selfiecoin berdasarkan konsep “diri sendiri (self)”. Untuk setiap tweet yang dianggap menyampaikan mesej yang positif di laman twitter rasmi selfiecoin, pengguna akan mendapat 1 SelfieCoin setiap kali ianya di re-tweet.

Begitu mudah untuk mendapatkan SelfieCoin, tak perlu bersusah-payah untuk membeli peralatan mining yang mahal. Anda hanya perlu rajin membuka twitter dan menjadi inspirasi kepada orang lain.

10. MoonCoin

Matawang kripto berdasarkan bulan, di mana jumlah bekalan matawang kripto adalah jarak perjalanan dari Bumi ke Bulan. Perlukah penerangan lain?

Lebih menarik adalah jumlah modal pasaran matawang kripto ini, iaitu lebih USD$46 juta. Mungkin mereka yang membeli matawang kripto ini bercita-cita untuk menjejakkan kaki ke bulan dengan keuntungan yang boleh diperoleh daripada harga MoonCoin.


Di atas hanya 10 daripada beratus-ratus matawang kripto yang aneh dan pelik, dan mungkin tiada fungsi selain daripada ciri-ciri asas matawang kripto. Dan setiap hari pasti akan ada matawang kripto lain seperti ini yang masih dalam proses pengeluarannya. Sebenarnya hanya lebih kurang 20-30 peratus sahaja matawang kripto yang betul-betul mempunyai fungsi unik, dan selebihnya hanyalah alat untuk meraih keuntungan daripada harga matawang kripto yang tidak stabil.

Bagi mereka, dunia matawang kripto hanyalah tapak permainan yang tidak akan kekal, dan jika mereka boleh membuat duit daripada orang-orang lain yang juga ingin mencari untung, apa salahnya. Kesimpulannya, jadilah pengguna matawang kripto yang bijak dan bukannya hanya mengikut arus.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.