Default – Above Header Ads

Mengapa terdapat Golongan yang Membenci Matawang Kripto?

Sejak awal tahun 2017, Bitcoin dan matawang kripto secara perlahan-lahan mula menempa arus perdana. Menjelang Disember, harga Bitcoin mencecah sehingga ke USD$19,000 dan seperti biasa, matawang kripto lain juga mengikut jejak langkah Bitcoin. Walaupun pencapaian hebat itu tidak kekal lama, kita tidak boleh menafikan bahawa kini, hampir 80 peratus daripada penduduk seluruh dunia sudah pernah mendengar tentang Bitcoin, ataupun matawang kripto.

Memandangkan dunia matawang kripto dan Blockchain boleh dikatakan masih lagi baru – walaupun sudah satu dekad, perkembangannya masih perlahan – tidak hairanlah jika infrastrukturnya tidak begitu stabil, lebih-lebih lagi keadaan pasaran matawang kripto yang begitu mudah untuk naik turun dalam sekelip mata. Dan perkara inilah yan sering menjadi bahan kritikan orang.

Pernahkah anda terfikir mengapa ada golongan yang masih membenci matawang kripto dan teknologi Blockchain? Golongan inilah yang akan mengkritik anda kerana keputusan anda untuk menyertai dunia matawang kripto. Mereka inilah yang masih mengatakan Bitcoin itu scam, gelembung pasaran yang akan pecah tidak lama lagi dan macam-macam lagi.

Mereka yang merasa menyesal tidak membeli Bitcoin dari awal lagi

Pada awalnya, apabila penulis bercerita tentang Bitcoin dan Blockchain kepada rakan-rakan, selalunya reaksi mereka adalah pada awalnya keliru, kemudian skeptikal. Jarang sekali mereka membalas sudah pernah dengar tentang Bitcoin atau sudah mengetahui tentangnya. Logik, kerana ketika itu Bitcoin masih lagi hanya wujud dalam dunia digital. Rata-rata mereka tidak begitu kisah tentang Bitcoin mahupun Blockchain kerana ianya tidak popular dan tidak diketahui.

Ironinya, apabila harga Bitcoin atau matawang kripto lain sudah mencecah lebih beribu-ribu dolar, golongan inilah yang datang kepada penulis dengan rasa tidak puas hati. Penulis mengandaikan mereka merasa menyesal kerana begitu skeptikal pada awalnya, tetapi rupa-rupanya tidak. Kebanyakan mereka menjadi lebih skeptikal, dan menjangka harga Bitcoin akan jatuh teruk bila-bila masa, kerana ianya tidak ubah seperti gelembung pasaran yang sudah sampai hadnya.

Ini membuatkan penulis berasa sangat hairan. Mengapa reaksi mereka begitu negatif? Dan ianya bukannya rakan-rakan penulis sahaja. Jika anda melawat forum Bitcoin atau laman reddit, pasti anda terbaca post-post daripada mereka yang tidak percaya kepada Blockchain atau matawang kripto dan akan menyebarkan FUD.

Mereka inilah yang merasa sudah terlewat untuk memiliki Bitcoin, tidak mahu mencuba matawang kripto lain dan akan mengkritik orang lain yang baru menyertai matawang kripto.

Mereka yang sering menjadi mangsa matawang kripto scam

Tidak dinafikan, penjenayah pasti akan mencari peluang untuk mengambil kesempatan daripada orang-orang lain di mana-mana sahaja. Lebih-lebih lagi dalam dunia matawang kripto yang masih baru dan penuh dengan mereka yang membeli matawang kripto untuk mengaut keuntungan, tanpa memahami apa itu matawang kripto dan Blockchain atau kaji selidik pelaburan mereka.

Dalam beribu-ribu projek ICO dan matawang kripto yang tercipta dalam kadar yang cepat, sudah pasti bilangan projek yang sebenarnya hanya rancangan untuk mengutip duit orang ramai juga banyak. Dan memandangkan dunia matawang kripto tidak dikawal selia, amat mudah sekali untuk mereka menipu orang ramai tanpa apa-apa hukuman.

Dan orang-orang yang pernah ditipu dengan matawang kripto pasti akan merasa kurang percaya kepada matawang kripto yang lain. Matawang kripto yang bagus semuanya sangat mahal dan apa yang tinggal sukar untuk dijangka potensinya. Sudah tentulah golongan ini akan bersikap negatif terhadap matawang kripto.

Mereka yang tidak percaya kepada matawang kripto

Akibat kerbergantungan sepenuhnya kepada matawang fiat, golongan ini tidak percaya kepada potensi matawang kripto. Mereka tidak boleh memegang matawang kripto dalam tangan mereka kerana ianya hanya wujuda dalam dunia digital. Mereka lebih suka memiliki wang tunai, syiling dan kad debit/kredit.

Golongan ini terdiri daripada majoriti mereka yang mengkritik matawang kripto. Mereka adalah halangan utama yang menyekat potensi matawang kripto dan juga penerimaannya di seluruh dunia. Ini adalah kerana mereka lebih selesa memiliki matawang fizikal yang boleh dimanipulasi mengikut kehendak mereka. Tidak seperti matawang kripto yang desentralisasi dan tidak dikawal selia.

Golongan ini adalah ancaman yang terbesar dalam perkembangan matawang kripto. Siapa mereka ini? Kebanyakan mereka terdiri daripada pemain besar dalam dunia kewangan. Anda pasti pernah mendengar tentang Warren Buffett, JP Morgan dan Lloyd Blankfein bukan? Mereka adalah tokoh berpengaruh dalam dunia kewangan yang pernah mengkritik Bitcoin dan matawang kripto.

Kesimpulan

Walaupun hampir seluruh dunia sudah mengenali tentang Bitcoin, matawang kripto dan Blockchain namun jumlah yang betul-betul percaya dan menyertai dunia matawang kripto masih lagi kecil. Ia mungkin sesuatu yang bagus, kerana mereka yang menyertai dunia matawang kripto adalah mereka yang memahami potensi dan risiko dunia matawang kripto.

Bagaimana dengan anda? Pernahkah anda terjumpa golongan yang membenci matawang kripto ini?