Default – Above Header Ads

Siri Asal usul Bank: Pengeluaran Wang Kertas (Bahagian III)

Tahukah anda wang kertas pada awalnya digunakan untuk nota kredit? Nota kredit adalah sehelai kertas yang digunakan pedagang untuk mencatat jumlah duit syiling dalam simpanan. Nota kredit ini digunakan sebagai bukti dan juga perjanjian untuk membayar penerima nota kredit.

Dan sehingga kini wang kertas digunakan sebagai perantara utama dalam apa sahaja transaksi. Bezanya wang kertas zaman kini tidak mempunyai sandaran emas atau perak seperti zaman dahulu. Yang ada hanyalah janji (guarantee) daripada kerajaan bahawa wang kertas yang kita miliki mempunyai nilai.

Ini adalah sambungan siri asal usul bank. Siri yang pertama di sini dan kedua di sini.

Wang kertas sebagai promissory note

Semasa pemerintahan Dinasti Tang (618-907 AD) di China, para pedagang yang menjalankan perniagaan jauh dari tempat tinggal mula meninggalkan simpanan duit syiling mereka bersama ejen yang boleh dipercayai. Ejen ini akan merekod jumlah simpanan mereka sebagai deposit diatas kertas, dan kertas ini akan diberikan kepada pedagang tadi. Kertas ini juga dianggap sebagai promissory note, yang boleh digunakan untuk berjual beli. Dan penerima promissory note ini kemudiannya boleh berjumpa ejen tadi untuk menuntut wang mereka.

Wang kertas pertama dunia, jaozi

Penerimaan promissory note atau nota kredit ini hanya digunakan oleh segelintir daripada rakyat China sahaja, kebanyakkan mereka pedagang. Ianya masih belum boleh dianggap wang kertas ketika itu. Pada zaman pemerintahan Dinasti Song (960 – 1279 CE), pemerintah mula memberi lesen kepada tempat penyimpanan deposit yang terpilih, dan orang ramai mula meninggalkan simpanan mereka dan menerima nota kredit. Pada 1100 CE, pemerintah Song membuat keputusan untuk mengambil alih sistem ini, dan mengeluarkan wang kertas pertama di dunia, dinamakan jaozi.

Wang kertas pertama dunia, jaozi. Sumber: Wikipedia

Namun begitu, jaozi hanya boleh digunakan di beberapa negeri bawah Dinasti Song dan selepas tiga tahun tidak digunakan. Pada tahun 1265 CE, kerajaan Song memperkenalkan matawang kertas rasmi kerajaan itu. Matawang kertas ini dicetak menggunakan standard yang sama dan boleh digunakan di keseluruhan empayar Song. Setiap matawang kertas ini dijamin dengan emas atau perak dan boleh didapati dalam denominasi satu sehingga satu ratus wang syiling. Matawang kertas Dinasti Song digunakan selama 9 tahun sebelum Dinasti Song jatuh ke tangan Mongolia tahun 1279 CE.

Percetakan wang kertas dihentikan

Pemerintah-pemerintah negeri China yang seterusnya juga mencetak matawang kertas mereka sendiri, sehinggalah China menghadapi krisis kewangan. Pengeluaran wang kertas berkembang terlalu cepat dan nilainya jatuh menyebabkan inflasi berlaku. Akibatnya, kerajaan Ming ketika itu memberhentikan pengeluaran wang kertas pada 1450 dan kembali menggunakan wang syiling perak dan juga jongkong emas yang dibawa oleh pedagang dari Mexico dan Spain. China tidak mencetak wang kertas baru sehinggalah tahun 1890, bila kerajaan Qing mula mencetak matawang kertas mereka yang dinamakan yuan, yang masih lagi digunakan sehingga hari ini.

Kemunculan wang kertas di Eropah

Wang kertas telah digunakan di China selama lebih 500 tahun sebelum mula diperkenalkan di Eropah pada abad ke-13. Dalam kisah pengembaraan peneroka terkemuka dari Venice, Marco Polo, dia menceritakan tentang pengalamannya melihat pengeluaran wang kertas di China. Namun begitu, kisahnya tidak diambil endah oleh penduduk Eropah ketika itu, malah dijadikan bahan ketawa mereka. Tidak hairanlah mengapa, mereka ketika itu terlalu taksub dengan ilmu alkimia untuk mengubah logam asas kepada emas. Wang kertas hanya digunakan secara rasmi beberapa ratus tahun kemudian di Eropah.

Wang kertas moden

Sebenarnya, wang kertas zaman kini tidak begitu berbeza dengan wang kertas dahulu yang digunakan sebagai promissory note. Kini, wang kertas dicetak oleh central banks atau bank pusat di setiap negara dan digunakan sebagai pembayaran sah sebagai ganti barangan dan perkhidmatan. Jikalau dahulu wang kertas dijamin oleh simpanan syiling emas atau perak yang dipegang institusi kewangan, kini wang kertas sudah mempunyai nilai sendiri dan pengeluarannya dikuasai central bank.

Pengeluaran wang kertas

Berdasarkan polisi kewangan sesebuah negara, bank pusat negara itu akan memperkenalkan wang kertas baru ke dalam ekonomi dengan membeli aset kewangan atau memberi pinjaman kepada institusi kewangan (bank komersial). Bank komersial pula akan menambah jumlah wang melalui fractional-reserve banking, iaitu apabila bank menerima deposit, membuat pinjaman atau pelaburan menggunakan deposit tadi. Dalam erti kata mudah, cara ini membenarkan bank menyimpan hanya sebahagian (a fraction) daripada jumlah deposit dalam bank dan menggunakan baki selebihnya untuk pelaburan atau pinjaman.

Gambar rajah fractional reserve banking cycle

Hubungan antara bank pusat yang menguasai pengeluaran wang kertas dan bank komersial sangat penting kerana bukan sahaja bank pusat mengawal selia bank komersial, bank pusat menjadi penjamin jika bank komersial menghadapi krisis kewangan.

Kesimpulan

Hakikatnya, wang yang kita miliki tidak kiralah sebagai simpanan di bank atau di tangan kita sendiri dikuasai oleh bank pusat. Wang simpanan kita tidak kekal simpanan kerana sebahagian akan digunakan dalam aktiviti kewangan lain seperti pinjaman, ataupun pelaburan.

Jadi, apa kesannya kepada kita? Tiada apa-apa, cuma bank tempat simpanan kita itu tiada jaminan pun untuk memulangkan wang kita. Ini adalah kerana hampir 90% simpanan terkumpul di bank digunakan untuk pelaburan dan pinjaman. Jika suatu hari bank menghadapi krisis kewangan (liquidity crisis), kemungkinan besar duit simpanan anda tidak akan dipulangkan.

Maka, jadilah pemilik harta yang bijak. Bak kata pepatah Inggeris, “Don’t put all your eggs in one basket”.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads