Default – Above Header Ads

“Boleh lesap sekelip mata”? Betul ke Kenyataan tentang Bitcoin ini?

Semakin lama semakin banyak berita tentang Bitcoin dan matawang kripto lain yang berlegar di ruang utama berita. Sudah tentu bagi kita yang sudah lama terlibat dalam dunia ini, ia tidak begitu menghairankan. Apa yang menghairankan adalah kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tentang Bitcoin adalah tanpa usul periksa atau kaji selidik terlebih dahulu.

Benarlah apa mat salleh kata, “People fear what they don’t understand.” Teknologi di belakang Bitcoin memang agak merumitkan buat pendatang baru, tetapi jika mereka betul-betul mengkaji teknologi itu, sudah pasti mereka tidak akan mengkritik Bitcoin secara membuta tuli. Penulis tidak nafikan teknologi ini masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, tetapi sangat penting untuk kita mempelajari asas Bitcoin dan teknologi Blockchain, sebelum kita mencemuhnya.

Penulis tertarik untuk membalas kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Pakar Perunding Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Mohd Nizam Mohd Salleh di laman berita Harian Metro baru-baru ini. Klik gambar di bawah untuk membaca laporan berita yang asal.

Sumber: hmetro.com.my

1. Harta boleh ‘lesap’ begitu sahaja

Kenyataan ini penulis rasa tidak patut dikeluarkan. Ya, jika Bitcoin tidak dijaga dengan betul (dengan menyimpan di wallet yang selamat dan merahsiakan private key) terdapat risiko Bitcoin hilang dan tidak boleh ditemui semula. Tetapi apa bezanya dengan wang tunai? Jika dompet hilang atau rumah dirompak, berapa ramai pemilik yang mendapat harta mereka kembali?

Ada yang akan berhujah, bank adalah tempat simpanan wang paling selamat. Ini adalah kerana teknologi yang canggih yang digunakan untuk menjaga wang kita. Pernah dengar tentang identity theft? Bagaimana pula dengan krisis ekonomi? Kedua-duanya juga “mendedahkan pengguna kepada risiko kerugian besar, yang menyebabkan harta mereka ‘lesap’ begitu sahaja”, bak kata En. Nizam.

Sumber: javelinstrategy.com

Kesimpulannya, sama ada kita menyimpan wang tunai, wang di bank ataupun Bitcoin, sudah pasti ada risiko untuk rugi. Bezanya adalah dengan Bitcoin, tanggungjawab keselamatan adalah di tangan kita sendiri. Persoalannya, siapa yang lebih kita percayai, bank atau diri sendiri?

2. Status halal haram

Persoalan ini penulis tidak akan jawab lagi memandangkan penulis tidak pakar dalam bidang ini. Tetapi penulis dan admin coin.my lain akan berusaha untuk menjawab persoalan ini di masa akan datang.

Apa yang pasti, tiada dalil yang jelas untuk mengharamkan Bitcoin ataupun matawang kripto lain menurut sisi Syariah.

3. Mekanisme dari Bank Negara

Dalam temu bual tersebut, En. Nizam ada berkata, “Di Malaysia, tidak mungkin kita bersedia untuk beralih kepada penggunaan Bitcoin secara sah kecuali ada mekanisme tertentu digunakan Bank Negara Malaysia (BNM).

Dua perkara penulis ingin ulas daripada kenyataan tersebut: 1) penggunaan Bitcoin dan 2) mekanisme Bank Negara. Betul, setakat ini penggunaan Bitcoin masih lagi tidak diiktiraf oleh Bank Negara. Tetapi ia juga tidak bermakna penggunaannya adalah haram (illegal), jadi tiada sebab mengapa peniaga nasi kerabu daging bakar di Kota Bharu itu tidak boleh menerima Bitcoin.

Berkaitan dengan mekanisme yang digunakan Bank Negara, penulis tidak begitu faham apa yang ingin disampaikan. Jika ia berkaitan pengawalan, Bitcoin itu sendiri tidak boleh dikawal. Hanya platform pertukaran dan syarikat-syarikat berkaitan matawang kripto sahaja yang boleh dikawal selia, seperti apa yang dilakukan kerajaan Jepun, China, Amerika Syarikat dan lain-lain.

Walau macam mana pun, seperti yang penulis sudah ulas sebelum ini, sangat sukar untuk kerajaan mengawal penjualan matawang kripto kerana banyak cara (loophole) yang boleh diambil oleh syarikat-syarikat yang ingin menjual matawang kripto tersebut. Anda boleh baca artikel tentang kawal selia di sini: Bolehkah Kerajaan mengawal selia Bitcoin dan Matawang Kripto?

4. Fungsi Bitcoin

En. Nizam berkata, “Fungsi Bitcoin tidak lebih sekadar mata wang maya bagi memudahkan penggunanya melakukan urus niaga di mana-mana negara tanpa perlu membuat tukaran kepada mata wang negara berkenaan.”

Penulis sokong sepenuhnya kenyataan ini. Nampaknya En. Nizam ada juga membuat sedikit penyelidikan tentang Bitcoin ini. Bitcoin memang dicipta untuk menjadi alternatif wang dan salah satu kelebihannya seperti yang dinyatakan di atas adalah pengguna tidak perlu membuat pertukaran kepada matawang negara lain. Satu kelebihan yang besar, lebih-lebih bagi negara yang kadar pertukarannya lemah berbanding negara lain (i.e. Malaysia).

5. Terdedah kepada aktiviti haram (dadah dan aktiviti keganasan)

Seperti point 1, wang tunai dan bank juga terdedah kepada risiko ini. Kalau tidak, bagaimana pasaran gelap boleh beroperasi sebelum kewujudan Bitcoin?

Sumber: globalresearch.ca
Sumber: theguardian.com
Sumber: huffingtonpost.com

6. Bitcoin ibarat token untuk bermain permainan game atau kasino

Kenyataan ini agak tepat tetapi tidak begitu relevan. Fungsi token itu sama dengan wang, sebagai medium untuk pertukaran. Tiada sebab mengapa ia harus kekal dalam dunia permainan, seperti yang dibuktikan Bitcoin.

7. Ia tidak ada kadar pertukaran

Penjelasan En. Nizam tentang kadar pertukaran ini kurang tepat. Jika ia tiada kadar pertukaran, mengapa ia kini bernilai lebih USD$7,000, boleh ditukar kepada matawang fiat, dan boleh ditukar dengan matawang kripto lain? Bitcoin menggunakan USD sebagai point of reference, dan kadar pertukaran USD-matawang fiat lain digunakan untuk mencairkan Bitcoin.

8. Ketelusannya sama

Penulis tidak pasti En. Nizam merujuk kepada ketelusan apa di sini. Jika dengan matawang fiat, kenyataan ini sudah pasti tidak benar. Di mana ketelusan transaksi matawang fiat jika kita harus mempercayai perantara seperti bank? Adakah bank menunjukkan proses transaksi, ataupun mengapa bayaran dikenakan?

Kenyataan lain oleh En. Nizam tentang Bitcoin adalah apa yang diketahui oleh orang ramai, jadi penulis tidak akan mengulas tentangnya di sini. Apa yang pasti, Bitcoin atau matawang kripto lain bukanlah panacea atau penyelesaian untuk semua isu yang dihadapi bank dan kerajaan. Ia adalah pengembalian kuasa kepada orang ramai, di mana kuasa untuk mengurus wang adalah di tangan seseorang individu itu, dan tidak bersandarkan kepada kepercayaan (yang selalunya salah) terhadap bank atau kerajaan.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.