Default – Above Header Ads

Lagi-lagi Tentang Isu Keselamatan Bitcoin

Ingat tak beberapa minggu yang lalu tentang berita penggodaman platform mining NiceHash? Penulis ingat lagi ketika berita itu keluar, penulis sedang mendengar penyampaian di BConference di Abu Dhabi. Penyampai ketika itu, seorang pengurus di syarikat pelaburan besar Abu Dhabi sedang bercakap tentang mengapa bank dan institusi kewangan masih lagi ragu-ragu dan bersikap negatif terhadap Bitcoin dan matawang kripto, dan juga keperluan teknologi Blockchain dalam sistem mereka. Penyampai tersebut mengetengahkan isu keselamatan teknologi Blockchain dengan merujuk kepada berita penggodaman NiceHash. Menurut beliau tahap keselamatan yang sering dibanggakan oleh pro-Bitcoin tidaklah seselamat yang disangka. Malah, pada mulanya beliau berkata itu adalah pengodaman Bitcoin, bukan platform mining Bitcoin.

Apa yang anda rasa tindak balas daripada hadirin di persidangan itu? Ramai yang geleng kepala. Mengapa? Ini adalah kerana penyampai tersebut adalah salah satu contoh mereka yang tidak faham tentang teknologi Blockchain dan menganggap setiap berita penggodaman adalah bukti Bitcoin tidak selamat.

Sebelum penulis menulis dengan lebih panjang lebar, sedikit tentang latar belakang penggodaman NiceHash. Pada 7 Disember yang lalu, NiceHash telah mengumumkan di laman Facebook mereka bahawa terdapat security breach dan kemudian telah mengesahkan bahawa sebanyak 4,700 BTC (bernilai lebih USD$70 juta) telah dicuri dari sistem wallet NiceHash sendiri. Platform mining NiceHash membenarkan pengguna untuk membuka wallet di platform tersebut untuk mendapat bayaran dengan lebih cepat.

Apa yang digodam? Menurut CEO NiceHash, Marco Kobal, pada 6 Disember 2017, seorang penggodam atau sekumpulan penggodam telah menyusup masuk sistem dalaman NiceHash melalui sebuah komputer syarikat itu yang telah digodam. Penggodam tersebut berjaya pelajari dan meniru sistem pembayaran NiceHash. Daripada situ, mereka mula membuat transaksi beberapa kali ke alamat mereka.

Sehingga hari ini, jumlah BTC tersebut tidak dapat ditemui semula, tetapi NiceHash sudah mengumumkan bahawa mereka akan mencari penyelesaian untuk mengembalikan kembali BTC pengguna yang sudah hilang itu.

Baiklah, sedikit selingan. Pada 11 Oktober yang lalu, sebuah bank di Taiwan telah digodam, dan sebanyak USD$60 juta telah dirompak daripada bank itu. Dalam kes ini, penggodam telah menanam virus dalam server bank tersebut melalui sistem SWIFT yang digunakan. SWIFT atau Society for Worldwide Interbank Telecommunication adalah sistem rangkaian kewangan global yang digunakan beribu-ribu bank dan organisasi seluruh dunia untuk memindahkan berbilion duit setiap hari. Dan ia bukanlah kes pertama yang berlaku. Tahun lalu sahaja sudah terdapat 3 kes yang melibatkan berjuta-juta wang di bank di rompak.

Nampak persamaannya di situ? Beribu-ribu BTC sudah berjaya dicuri melalui sistem-sistem yang diuruskan organisasi, begitu juga dengan wang di bank. Adakah BTC yang digodam? Pernahkan anda membaca berita tentang sistem Bitcoin itu sendiri, yang berdasarkan teknologi Blockchain digodam? Sebenarnya orang ramai berasa takut dengan Bitcoin dan matawang kripto lain kerana semuanya di dunia digital, berbanding duit di bank yang berupa fizikal. Tetapi adakah anda tahu, duit anda di bank itu pun hanyalah angka di sistem? Belum tentu bank menyimpan kesemua jumlah wang deposit pelanggan mereka yang berjuta-juta itu. Penulis pernah tulis di Siri Asal usul Bank: Pengeluaran Wang Kertas (Bahagian III) dan Siri Asal usul Bank: Perbankan Moden (Bahagian IV) tentang bank menggunakan fractional-reserve banking cycle untuk menjalankan operasi mereka, dan impaknya kepada anda.

Kesimpulannya, di mana-mana anda simpan wang anda pasti akan ada risiko kehilangannya. Dan bergantung kepada jenis anda, sama ada anda risk-averse atau risk-seeker, anda bertanggungjawab atas pilihan anda. Wang dalam bentuk fiat mahupun kripto hanyalah alat yang digunakan, keselamatannya bergantung kepada penjagaannya, betul bukan?

Namun begitu, tidak seperti Bitcoin, matawang fiat baru boleh dikeluarkan bukan sahaja oleh bank malah penjenayah. Jadi, kalau kita lihat dari segi ‘kebersihan’, Bitcoin lebih ‘bersih’ kerana jumlahnya sudah tetap dan Bitcoin palsu tidak boleh dicipta. Penulis akan menyentuh isu ini dengan lebih mendalam dalam post akan datang.


Mitos: Bitcoin tidak selamat kerana boleh digodam.

Benar atau tidak? Tidak benar. Yang digodam adalah sistem di mana BTC disimpan. Sehingga hari ini, masih tiada siapa yang pernah berjaya menggodam teknologi Blockchain di belakang Bitcoin itu sendiri.


 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads