Perbandingan Bitcoin Hari Ini dan Emas Zaman Dahulu

Siapa yang dah tengok video ni? Video ni bukanlah dokumentari sejarah asal usul Bitcoin, tapi satu sketsa yang membuat perbandingan antara Bitcoin pada zaman ini dan emas pada zaman dahulu.

Memang kelakar. Tapi itulah realiti yang berlaku ketika penemuan emas dahulu. Ramai yang tidak percaya potensi emas sebagai matawang dan hanya menjadikannya barang hiasan. Pada zaman 3100 BC kerajaan Mesir Purba mengeluarkan ratio nilai emas kepada perak: satu keping emas bersamaan dengan dua setengah keping perak. Ini adalah rekod pertama menunjukkan nilai perak lebih rendah daripada emas.

Namun begitu, walaupun orang Mesir Purba merasa tertarik dengan kecantikan dan keunikan emas, ia masih tidak digunakan sebagai alat dalam sistem barter mereka. Emas kekal sebagai barang hiasan dan barang kemas yang menandakan kekayaan orang-orang Mesir Purba.

Penggunaan emas sebagai matawang berlaku pada 700 BC, hampir 2500 tahun kemudian, apabila wang syiling dicipta daripada emas. Ketika itu, 63% emas dan 27% digabungkan, dan kombinasi itu dinamakan ‘electrum’. ‘Electrum’ ini digunakan oleh saudagar dari kerajaan Lydia di Laut Mediterranean. Penggunaan emas oleh Lydia telah menjadikan kerajaan itu antara yang terkaya pada zaman pemerintahan Croesus of Mermnadae, raja terakhir kerajaan Lydia. Dan sehingga kini dalam budaya Barat, golongan yang sangat kaya digelar ‘kaya seperti Croesus’.

Bayangkan, 2500 tahun sebelum emas mula digunakan sebagai medium pertukaran walaupun emas sudah lama wujud. Antara faktor utama ia mengambil masa yang lama adalah penerimaan penduduk zaman itu yang sudah biasa dengan sistem barter. Seperti dalam video, penjual adalah antara yang paling sukar untuk menerima medium baru untuk barangan yang dijual. Ini adalah kerana ia boleh menjadi satu liabiliti buat mereka, terutama jika hanya mereka yang menerimanya sebagai pembayaran. Bagi pemilik emas pula, mereka lebih suka untuk menyimpan emas daripada menggunakannya kerana mereka ia menganggap nilainya akan meningkat.

Nampak tak perbandingan selari antara emas zaman dahulu dan Bitcoin zaman ini? Boleh dikatakan penerimaan terhadap Bitcoin lebih cepat kerana generasi zaman ini berfikiran lebih terbuka dan keyakinan yang semakin berkurang terhadap kuasa kerajaan. Tetapi sesuatu yang penting untuk dipertimbangkan adalah permulaan emas sebagai matawang disebabkan pemerintah zaman itu yang memerintahkan penggunaannya. Apabila keluar satu standard untuk emas dan perak seperti di Amerika Syarikat yang menetapkan harga kedua-duanya, barulah emas mula digunakan sebagai matawang di negara itu.

Jadi, persoalannya di sini adakah perkara yang sama perlu dilakukan untuk objektif asal Bitcoin untuk menjadi medium pembayaran dipenuhi? Tetapi sistem Bitcoin lebih kompleks daripada emas kerana emas boleh dikuasai satu pihak, namun Bitcoin dikuasai oleh semua dalam rangkaian. Bitcoin mungkin dicipta untuk menjadi medium pembayaran, tetapi melihat kepada apa yang sedang berlaku kini, Bitcoin masih lagi di tahap emas sebelum penggunaannya sebagai matawang. Mungkin Bitcoin memerlukan berpuluh tahun lagi sebelum menjadi matawang, tiada siapa yang tahu.