Default – Above Header Ads

3 Halangan sebelum Matawang Kripto boleh Menggantikan Matawang Fiat

‘Matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat’ adalah satu tema yang sering dibahaskan, dan sehingga kini masih belum ada kesimpulan yang jelas tentang sama ada ia boleh berlaku atau tidak. Walaupun Bitcoin dan juga matawang kripto yang lain sudah menjadi popular di seluruh dunia, rata-rata menggunakan matawang kripto hanya sebagai alat pelaburan sahaja. Ia adalah tanda utama matawang kripto masih belum boleh menggantikan matawang fiat, memandangkan ia digunakan sebagai store of value, dan bukannya sebagai value exchange.

Pada masa yang sama, jumlah keseluruhan modal pasaran matawang kripto yang sudah mencecah USD$300 bilion memang besar dan mempunyai potensi untuk meningkat secara mendadak, namun ia masih lagi kecil jika dibandingkan dengan nilai matawang USD yang disimpan dalam Federal Reserve, iaitu lebih kurang USD$1.4 trilion. Jadi, secara umumnya, dunia masih lagi belum sampai ke tahap di mana matawang kripto mungkin boleh menggantikan matawang fiat.

Hakikatnya, terdapat banyak halangan untuk menjadikan matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat. Tetapi dunia sudahpun bergerak ke arah penerimaan matawang kripto dan tidak mustahil dalam beberapa tahun satu sistem matawang kripto yang diubah suai mengikut keperluan negara akan mula diterokai dan dibina. Sebelum itu, mari kita lihat 3 halangan terbesar yang perlu diselesaikan sebelum matawang kripto boleh menjadi pengganti matawang fiat.

1. Fungsi

Bitcoin mungkin dicipta dengan objektif untuk menjadi alternatif kepada sistem transaksi yang sedia ada, namun begitu fungsinya pada masa kini boleh dikatakan sangat berbeza dengan objektif asal Bitcoin. Majoriti transaksi Bitcoin adalah untuk pembelian pertama, dan selepas itu tiada lagi transaksi berlaku dari alamat yang sama.

Ironinya, penggunaan Bitcoin sebagai pembayaran adalah ketika operasi Silk Road, iaitu platform yang menyerupai pasaran gelap, aktif. Bitcoin adalah matawang yang diguna pakai untuk pembelian barangan haram seperti dadah, senjata, dan macam-macam lagi kerana ciri utamanya yang melindungi identiti pengguna dan tidak dikawal selia kerajaan. Dan buat seketika, sejumlah besar perniagaan mula menerima Bitcoin sebagai pembayaran.

Namun, apabila Bitcoin mula menjadi popular dan harganya melonjak naik, orang ramai mula merasa rugi untuk membelanjakan Bitcoin dan memilih untuk menyimpannya. Syarikat pelaburan dan bursa kewangan mula mengambil kesempatan mencipta produk kewangan menggunakan Bitcoin, seperti futures contract oleh CME. Platform pertukaran matawang kripto pula memberi kemudahan kepada pengguna untuk menukar kripto ke fiat atau kripto ke kripto dan sebaliknya.

Bitcoin Exchange CEX.IO

Kini, matawang kripto dibeli dan disimpan seperti saham, atau alat pelaburan yang lain. Rata-rata pengguna baru yang menyertai dunia matawang kripto adalah kerana ia pelaburan yang membawa untung (dan rugi), dan tidak begitu mengendahkan sama ada projek dibelakang matawang kripto itu mempunyai aplikasi dan potensi di dunia sebenar.

2. Kemudahan

Dari segi kemudahan penggunaan, kad kredit/debit dan sistem pembayaran online masih lagi sangat mudah bagi pengguna berbanding transaksi matawang kripto. Walaupun transaksi matawang kripto pada asasnya hanya memerlukan alamat penerima dan jumlah yang ingin dihantar, hakikatnya proses yang terlibat adalah lebih rumit dari itu.

Bagi pengguna yang tiada latar belakang dalam penggunaan teknologi atau kurang berpengalaman, langkah-langkah seperti log masuk, pengesahan 2FA untuk keselamatan, membuat pilihan arahan yang betul, menyalin (atau scan) alamat penerima dan mengira jumlah yuran transaksi sebelum membuat pembayaran adalah sangat leceh dan mengambil masa. Sehingga kini, banyak laman web dan aplikasi mempunyai isu dalam membina UI yang mesra pengguna.

Selain daripada itu, pergantungan terhadap matawang fiat juga adalah halangan yang sangat besar bagi matawang kripto. Untuk menggunakan matawang kripto, ia perlu dibeli dengan matawang fiat terdahulu. Ini adalah langkah tambahan yang boleh dielakkan dengan menggunakan kad kredit/debit secara langsung. Dari segi praktikal, penggunaan matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat adalah tidak logik, walaupun hakikatnya matawang kripto mempunyai lebih banyak kelebihan daripada matawang fiat.

3. Regulasi

Halangan paling besar bagi matawang kripto adalah regulasi. Bukan sahaja kerana regulasi adalah sesuatu yang bertentangan dengan tujuan matawang kripto, tetapi juga kerana terlalu banyak pertimbangan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk mengawal selia matawang kripto. Di kebanyakan negara di dunia, Bitcoin dan matawang kripto boleh digunakan secara sah (tidak sama dengan legal tender) sebagai pembayaran atau dalam transaksi. Syaratnya platform pertukaran dan syarikat yang mengeluarkan matawang kripto sebagai sekuriti perlu berdaftar dengan pihak berkuasa dan mengamalkan polisi KYC.

Namun ini hanyalah satu aspek untuk membendung jenayah menggunakan matawang kripto. Ia masih belum boleh menjadikan matawang kripto itu matawang yang boleh menggantikan fiat. Bagaimana pula dengan polisi kewangan atau fiskal sesebuah negara? Bagaimana untuk selaraskan bekalan matawang kripto dengan perbelanjaan negara? Bagaimana untuk mengawal kadar inflasi?

Dalam polisi kewangan sesebuah negara, bank pusat akan menambah atau mengurangkan jumlah bekalan matawang fiat untuk mengawal kadar inflasi. Oleh sebab itulah nilai sesuatu matawang fiat itu stabil. Bagi matawang kripto yang mempunyai bekalan yang terhad, ia tiada mekanisme untuk mengawal kadar inflasi. Ini membuatkan ianya sukar untuk menjalankan perniagaan menggunakan matawang kripto, kerana nilainya berubah-ubah setiap masa. Ini adalah salah satu sebab mengapa kebanyakan perniagaan tidak mahu menerima matawang kripto sebagai keadah pembayaran dan pada masa sama pengguna juga tidak mahu membelanjakan matawang kripto mereka.

Selain inflasi, satu lagi aspek yang sangat penting adalah kawalan. Matawang fiat dikawal oleh bank pusat dan transaksi yang berlaku semuanya diawasi. Dalam ekosistem matawang kripto, bolehkah pengawasan dijalankan secara efektif? Lebih-lebih lagi dalam sistem public Blockchain seperti Bitcoin. Ataupun ianya lebih bagus kerana setiap pengguna mengawasi sesama sendiri dan mempunyai akauntabiliti, dengan syarat identiti pengguna boleh dijejaki.

Pokoknya, isu regulasi ini adalah isu yang sangat kompleks dan merupakan halangan paling besar yang perlu dihadapi sebelum matawang kripto boleh mengantikan matawang fiat. Buat masa ini mungkin ianya lebih baik untuk menerima matawang kripto sebagai medium pertukaran yang sah di samping matawang fiat.