Default – Above Header Ads

Mengapa Bank Lebih Gemar Istilah DLT daripada Blockchain?

Kemajuan dalam bidang teknologi telah membawa kita ke era teknologi Blockchain. Ada yang berpendapat teknologi Blockchain adalah disruptive bermakna ia mempunyai potensi untuk mencabar syarikat besar yang sudah lama ditubuhkan atau mencipta satu sektor pasaran yang baru. Ada juga yang berpendapat ianya foundational technology, di mana ia mampu mencipta asas baru bagi sistem atau struktur ekonomi sedia ada. Apapun, tidak dapat dinafikan bahawa teknologi Blockchain telah membawa banyak perubahan kepada sistem yang sedia ada dalam pelbagai sektor.

Boleh dikatakan teknologi Blockchain telah memberi impak yang besar dalam sektor kewangan, bermula dengan kewujudan Bitcoin. Bitcoin sebagai satu sistem transaksi yang pantas, murah dan selamat telah menarik perhatian bukan sahaja pengguna tetapi juga institusi besar yang ingin membaik pulih sistem pembayaran sedia ada kepada yang lebih cekap.

Namun begitu, sesuatu yang agak menarik adalah kebanyakan bank dan institusi kewangan tidak begitu yakin dengan potensi teknologi Blockchain untuk diimplementasi. Dalam laman berita atau media sosial, bank akan sering dikaitkan dengan DLT, atau distributed ledger technology. Jarang sekali kita mendengar bank atau institusi kewangan menggunakan istilah teknologi Blockchain apabila bercakap tentang perkembangan infrastruktur mereka. Adakah DLT berbeza dengan teknologi Blockchain, dan jika ya, adakah ianya lebih hebat?

DLT dan teknologi Blockchain; sama atau tidak?

Ingat tak dahulu sewaktu zaman persekolahan, kita belajar tentang Venn diagram dalam subjek matematik? Paling mudah untuk memahami DLT adalah menggunakan Venn diagram.

sumber: mangoresearch.co

Jelas, bukan? Blockchain adalah satu jenis DLT. Tetapi DLT tidak semestinya hanya ada Blockchain. Sama seperti kita lebih mengenali jenama daripada produk, walaupun produk tersebut mempunyai beberapa jenama lain. Contohnya Maggi untuk produk mi segera, Panadol untuk ubat tahan sakit (Paracetamol) atau Pampers untuk produk lampin bayi. Begitu juga dengan Blockchain. Kita diperkenalkan kepada teknologi Blockchain buat pertama kali sehingga ia menjadi satu istilah umum.

Tambahan lagi, Blockchain bukanlah satu-satunya jenis DLT, memandangkan sesuatu teknologi pasti akan lebih maju dan produk-produk baru akan wujud berdasarkan teknologi yang sama. Kita semua sedia tahu bahawa kebanyakan matawang kripto dicipta berdasarkan teknologi Blockchain. Tetapi sebenarnya terdapat matawang kripto yang dicipta berdasarkan implementasi DLT yang lain.

sumber: mangoresearch.co

Seperti dalam gambar di atas, dua lagi jenis DLT adalah Tempo dan DAG (directed acyclic graph). Beza ketiga-tiga produk DLT ini adalah dari segi infrastruktur dan protokol konsensus. Secara ringkas, Blockchain adalah turutan rantaian blok yang bersifat vertikal, DAG adalah sejumlah rantaian blok yang melintang dan Tempo mempunyai infrastuktur sama seperti Blockchain tetapi berbeza dari segi protokol konsensus, menggunakan sharding dan logical clocks untuk mencapai konsensus.

Definisi DLT

Jika kita lihat daripada penjelasan di atas, sangat mudah untuk memahami apa itu DLT. DLT atau distributed ledger technology adalah satu database atau lejar yang wujud dalam beberapa lokasi atau dalam kalangan beberapa pengguna teknologi tersebut. Lejar ini bersifat desentralisasi dan membuang keperluan satu pihak untuk menguasai keseluruhan lejar tersebut.

Bank dan institusi kewangan menggunakan DLT untuk mengurangkan kos transaksi dan percanggahan dalam data, mejadikan pengurusan dokumen lebih cekap dan juga menjadikan mekanisme untuk sistem pematuhan yang manual kepada otomatik. Dan sebab utama istilah DLT digunakan adalah kerana berbeza dengan Blockchain yang bersifat lebih terbuka dan untuk penggunaan umum, bank menggunakan rangkaian tertutup, di mana peserta rangkaian tersebut perlu mendapat keizinan untuk menyertainya.

Kesimpulan

Teknologi Blockchain mungkin lebih dikenali di serata dunia, tetapi jika kita bercakap tentang kemajuan teknologi, ia adalah dalam skop yang lebih besar iaitu DLT. Di masa akan datang, lebih banyak produk DLT yang akan dicipta, bersesuaian dengan permintaan setiap industri.