Default – Above Header Ads

Teknologi Blockchain dalam Perusahaan Sosial

Dalam post sebelum ini penulis sudah memperkenalkan Hyperledger, satu inisiatif teknologi Blockchain untuk penggunaan dalam proses bisnes atau syarikat. Kali ini penulis ingin bercakap tentang aplikasi teknologi Blockchain dalam perusahaan sosial pula, atau social enterprise.

Apa itu Perusahaan Sosial (Social Enterprise)?

Sumber: https://socialenterprise.us/about/social-enterprise/

Perusahaan sosial melibatkan organisasi yang menggunakan teknik komersial atau perniagaan dengan tujuan menjaga dan menambahbaik kebajikan manusia dan alam sekitar. Ia adalah inovasi dan evolusi daripada aktiviti kebajikan (non-profit) tradisional, di mana organisasi tradisional bergantung sepenuhnya kepada derma orang ramai. Kini, organisasi kebajikan bersifat lebih usahawan, menjana keuntungan untuk menampung aktiviti kebajikan sebagai tambahan kepada sumbangan derma.

Pada masa yang sama, banyak perniagaan tradisional yang dilihat sudah mula mempertimbangkan tanggungjawab sosial dan juga kadar kemampanan (sustainability) yang lebih tinggi dalam model perniagaan mereka. Perkembangan dalam perusahaan sosial boleh dilihat sebagai penggabungan antara kedua-dua model tradisional ini, dimana impak sosial dan juga pulangan keuntungan boleh wujud dalam organisasi yang sama.

Istilah ini sering dikaitkan dengan corporate social responsibility (CSR). CSR adalah satu komponen dalam polisi sesebuah syarikat dimana polisi ini berfungsi sebagai mekanisme untuk memantau pematuhan syarikat terhadap peraturan berkaitan etika dan tanggungjawab moral. Syarikat-syarikat yang memberi sebahagian daripada keuntungan mereka untuk tujuan kebajikan kerana ia sebahagian daripada polisi CSR mereka tidak sama dengan perusahaan sosial.

Contoh perusahaan sosial

Bitcoin Exchange CEX.IO

CSR hanyalah satu polisi banyak perniagaan komersial mendakwa mereka mempunyai objektif yang memberi impak positif kepada masyarakat tetapi bagi sesuatu perusahaan sosial, prinsip asas pertubuhan adalah untuk tujuan kebajikan. Perusahaan kebajikan telah wujud sejak dahulu lagi dan contoh terbaik adalah Mohamed Yunus yang telah menubuhkan Grameen Bank pada tahun 1970-an untuk memberi pinjaman berbentuk mikro kepada perniagaan kecil dan pengusaha miskin di Bangladesh. Grameen Bank telah memberi pinjaman sebanyak $10 juta kepada lebih 10 juta penduduk Bangladesh dan telah menerima Nobel Peace Prize pada tahun 2006 di atas usaha kebajikan organisasi itu.

Teknologi Blockchain dalam perusahaan sosial

Sebagaimana teknologi blockchain boleh di aplikasi dalam pelbagai sektor dan industri yang memperoleh keuntungang, ia juga boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat sekeliling. Di bawah penulis ada menyenaraikan beberapa projek perusahaan sosial yang menggunakan teknologi Blockchain dalam model organisasi mereka.

Alice.si

Alice.si adalah suatu platform kutipan derma yang menggunakan smart contract untuk memastikan setiap penderma boleh menjejaki pergerakan derma mereka dalam sesebuah projek. Mungkin impak terbesar teknologi Blockchain adalah dalam sektor ini, di mana kekurangan kepercayaan adalah isu utama bagi ramai penderma. Banyak organisasi mendapatkan dana untuk digunakan di lokasi yang banyak cabaran termasuk peperangan dan kekurangan infrastruktur, menyebabkan maklumat tentang derma sukar untuk dijejaki.

Dengan menggunakan teknologi Blockchain, Alice.si cuba untuk menyelesaikan masalah ini dengan membolehkan penderma menjejak derma mereka dalam sesebuah projek, dan memeriksa sama ada ianya digunakan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Projek-projek yang terlibat dalam Alice.si akan menerima kutipan derma berdasarkan ketelusan projek tersebut yang akan disahkan oleh pihak ketiga.

Sun Exchange

Sun Exchange adalah suatu platform pelaburan yang membolehkan orang ramai melabur dalam pembinaan ladang solar di negara-negara yang sedang membangun, dan memperoleh pendapatan yang dijana daripada memajakkan ladang solar tersebut. Antara projek yang dijalankan Sun Exchange adalah pembinaan solar panel (17kW) di Centre for Rehabilitation of Wildlife (CROW), KwaZulu-Natal, Afrika Selatan dan pembinaan taman solar berkuasa 60kW di Knysna Elephant Park, Afrika Selatan yang sudah siap dibina.

Menurut Sun Exhange, setiap sel solar yang dibeli dan dipajakkan akan menjimatkan lebih 10 peratus daripada kos penjanaan elektrik di situ dan setiap pelabur akan memperoleh pendapatan sewa selama 20 tahun projek itu dijalankan. Crowd sale kedua-dua projek itu telah pun berakhir. Projek Sun Exchange yang masih lagi menerima pelabur adalah pembinaan micro-grid yang menggunakan kuasa solar untuk menjana elektrik di sebuah perkampungan terpencil di Mountain Kingdom of Lesotho.

United Nations’ World Food Program dan United Nations’ Development Programme

United Nations World Food Program juga telah memulakan inisiatif untuk menggunakan teknologi Blockchain untuk menguruskan kupon makanan di negara-negara miskin melalui pertukaran yang lebih cepat dan efektif. Manakala United Nations Development Programme menggunakan teknologi Blockchain untuk pengurusan penghantaran wang antarabangsa dan pemberian di lokasi bencana, dan juga pengurusan sumber dan aset United Nations.

Antara projek Blockchain yang dijalankan oleh UNDP adalah untuk membantu 75,000 orang yang berada di kem pelarian di Jordan. Sistem yang dibangunkan membolehkan pemindahan wang berlaku hanya menggunakan teknologi penyemak iris (iris scanner), yang membuang kebergantungan terhadap bank tempatan dan juga mengurangkan yuran transaksi.

Taqanu

Taqanu adalah sebuah organisasi yang menggunakan teknologi Blockchain untuk membolehkan sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada Internet, khususnya pelarian (refugee) dan orang yang tidak mempunyai tempat tinggal tetap untuk mendapatkan identiti digital. Identiti digital ini boleh digunakan untuk mendapat akses kepada perkhidmatan asas bank. Matlamat Taqanu adalah untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi badan-badan kerajaan atau organisasi lain dalam membantu pelarian dan orang yang kurang bernasib baik dari segi kewangan, khususnya kekurangan akses kepada perkhidmatan kewangan dan juga keperluan pihak ketiga sebagai perantara.

ID2020

Satu lagi projek non-profit yang melibatkan Blockchain ialah kerjasama ID2020 dengan syarikat-syarikat besar seperti Microsoft dan the Rockefeller Foundation. Projek ini mempunyai matlamat untuk menggabungkan teknologi Blockchain dan biometrik untuk mencipta identiti kekal menggantikan dokumen identiti pelarian yang kadang-kala terpaksa ditinggalkan ketika dalam pelarian.

Kesimpulan

Banyak lagi aplikasi teknologi Blockchain dalam sektor perusahaan sosial yang penulis tidak senaraikan dan banyak lagi yang tidak diketahui. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan sektor ini sangat penting dalam memastikan kebajikan masyarakat terjaga. Di masa akan datang penulis pasti lebih banyak lagi perusahaan sosial yang menggunakan teknologi Blockchain yang akan tampil ke hadapan untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi di seluruh dunia.

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.