Default – Above Header Ads

Bitcoin : Matawang, Komoditi, Sekuriti atau Identiti Baru? Satu Perbincangan Minda Syariah (Bahagian III)

Kita telah melihat evolusi matawang sehingga ke hari ini. Rata-rata dalam dunia moden, matawang fiat adalah matawang pendasar, sama ada untuk transaksi tunai atau transaksi kad kredit atau remittance (iaitu pemindahan wang ke luar negara) atau pun untuk kad pintar seperti Touch & Go atau e-wallet atau pun sebagai alat pembayaran kepada pembelian melalui e-commerce. Semuanya masih mendasari matawang fiat atau matawang negara tertentu dan proses ini akan berterusan – sebagai wang – sehingga tamat satu kitaran transaksi.

Sepertimana yang diketahui umum, matawang fiat tidak ada apa-apa aset atau nilai pendasar tetapi amat dipercayai oleh semua pengguna sebagai matawang yang ada nilai dan sah dilakukan. Ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa matawang fiat ini adalah satu ‘legal tender’ iaitu satu ‘hak kewangan’ yang sah diperakukan atau mendapat pengiktirafan negara.

Dalam kitab fiqh klasik, bila ada persengketaan, apakah matawang yang sepatutnya menjadi asas dalam sesuatu transaksi, anggapan perundangan adalah matawang yang sedang diperakukan di negara di mana kontrak itu dimeterai. Dalam masa yang sama, semua orang mengetahui bahawa pihak berkuasa boleh mencetak wang untuk mendapat unit wang yang lebih banyak dalam pasaran (atau untuk membayar hutang negara seperti yang berlaku di sesetengah negara akibat krisis kewangan).

Matawang digital yang timbul di tahun 2009 buat kali pertama mempunyai persamaan dan juga perbezaan dengan matawang fiat. Apakah persamaan dan perbezaan ini? Aspek persamaan adalah matawang digital secara literal dan faktanya tidak mempunyai sebarang nilai dan aset pendasar (melainkan sekiranya dikeluarkan sebagai token kepada saham dalam skim Initial Coin Offering iaitu ICO). Saya akan ulas ICO nanti.

Coin ini hanya mengambarkan satu kod yang terdiri dari hash value yang terbina daripada teknologi blockchain dan juga kriptografi. Setiap satu unit matawang digital mempunyai nilai hash yang telah dilombong oleh beberapa ‘pelombong’ kepada kod hash value ini. Hash value ini boleh diumpamakan sebagai mengantikan no siri matawang fiat. Untuk memperkukuhkan lagi jaminan keselamatan kod ini, setiap hash value ini akan dirantaikan dalam satu rantaian blok supaya data tentang satu unit matawang digital ini tidak dapat dipinda kerana ia sekarang berada dalam lajer yang bertaburan (distributed ledgers).

Contohnya, buku catatan hutang di zaman dahulu yang disebut sebagai buku 3×5 amat mudah ditipu oleh samada penjual (yang memberi kredit) atau pembeli (yang berhutang) kerana hanya ada satu buku hutang sahaja. Bayangkan kalau buku hutang ini telah disalin dalam pelbagai buku yang lain atau lejar yang lain yang terdapat di merata tempat, sudah tentu mana-mana pihak penjual atau pembeli tidak dapat meminda apa-apa dengan mudah. Inilah perumpamaan yang diilhamkan oleh Profesor Dato’ Norbik Idris, seorang pakar dalam IT dan kriptografi di tanah air, untuk mendekatkan kefahaman kita kepada lejer yang bertaburan.

Inilah konsep hash value dan rantain blok yang menjadikan matawang digital kukuh dan tidak boleh digodam (unhackable). Mana-mana coin digital yang ingin menjadi matawang digital mestilah menunjukkan bukti yang kukuh tentang elemen kriptografi dan rantain blok. Ini adalah keperluan teknikal yang mesti dipenuhi pada pengamal industri (tetapi tidak semestinya satu keperluan Syariah kerana asas kematawangan dalam Islam boleh menjadi apa sahaja yang boleh diterima dan diyakini oleh masyarakat setempat).

Apakah contoh terdekat kepada rantaian blok dalam agama kita? Al-Quran adalah satu kitab yang telah dihafal dan juga dicatit sejak beberapa kurun oleh terlalu ramai huffaz dan pencatit sehingga agak mustahil untuk meminda mana-mana ayat malah satu huruf pun. Masih ingatkan anda kepada catatan atau lejar yang bertaburan dalam teknologi rantaian blok? Inilah kehebatan bagaimana al-Quran terpelihara sebelum timbulnya rantaian blok di zaman sekarang (ambil maklum bahawa ayat-ayat al-Quran bukanlah berbentuk hash value dan inkripsi walaupun ada rantaian blok). Contoh kedua yang agak dekat ialah cara periwayatan hadith yang berdasarkan rantaian sanad di mana kekuatan sesuatu hadith adalah berdasarkan kualiti rantaian sanad atau rantaian blok perawi hadith.

Aspek perbezaan utama adalah matawang digital tidak mempunyai ‘legal tender’ melainkan dalam beberapa negara yang memperakui matawang digital tertentu sebagai matawang yang sah diperakukan dalam negara di samping matawang fiat. Perbezaan yang kedua ialah matawang digital adalah terhad unit yang akan dikeluarkan seperti 21 juta untuk Bitcoin. Ini berbeza dengan matawang fiat yang tidak ada had tertentu.

Perbezaan seterusnya ialah perpindahan coin dari satu pihak kepada pihak yang lain amat pantas seperti dalam tempoh 5 saat, berbeza dengan pertukaran matawang tempatan dan antarabangsa yang memakan masa dalam tempuh 2 hari atau lebih. Perbezaan yang menarik – kepada setengah orang – ialah coin ini boleh berubah nilainya dalam masa yang singkat berdasarkan keadaan permintaan dan tawaran. Dalam konteks ini, ia juga boleh menjadi alat pelaburan di samping alat pertukaran atau matawang. Ramai orang tertarik dengan sifat dan perwatakan begini, di mana mereka menginginkan pertambahan nilai kepada coin yang ada dalam wallet mereka. Mungin sewaktu mereka membeli atau mendapat bayaran satu coin (jika mereka penjual sesuatu barang atau perkhidmatan), ianya menyamai RM100 tetapi ia mungkin akan naik kepada RM150 (atau pun mungkin turun kurang daripada RM100).

Dalam dimensi akhir ini, matawang digital seolah-olah menjadi satu komoditi atau instrumen pelaburan seperti saham (dan juga emas). Adakah sifat ini boleh menukarkan sifat dan perwatakan coin digital menjadi barang dan komoditi? Ada juga yang memasarkan coin digital mereka sebagai komoditi atau barang pelaburan dan bukan matawang. Menarik sekali pendekatan mereka. Bagaimana Syariah melihat isu ini? Ikuti sambungannya dalam artikel di minggu hadapan.

Datuk Dr Mohd Daud Bakar

Pandangan dalam artikel ini tidak semestinya mengambarkan pandangan mana-mana institusi dan organisasi yang mungkin penulis terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.