Default – Above Header Ads

Bolehkah Teknologi Blockchain ‘BERSIHkan’ Pilihan Raya?

Dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia, pilihan raya adalah mekanisme untuk memberi rakyat peluang bersuara melalui pengundian. Sistem demokrasi moden yang efektif adalah di mana semua ahli dalam insitusi, organisasi atau negara mempunyai kuasa sama rata untuk membuat keputusan dan sebuah sistem pilihan raya memastikan proses pemilihan ketua dalam sesebuah negara melalui pengundian itu telus dan adil.

Masalah sistem pilihan raya

Namun begitu, sistem pilihan raya yang bebas daripada manipulasi dan penipuan sukar dicapai, tidak kiralah dalam negara maju seperti Amerika Syarikat atau negara yang masih belum membangun seperti Burma. Dalam banyak negara yang mempunyai prinsip perundangan (rule of law) yang lemah, antara faktor utama sistem pilihan raya yang adil dan bersih sukar dicapai adalah kerana ketidakseimbangan kuasa dan antara kerajaan pemerintah dan parti-parti pembangkang, dan juga kelebihan tidak adil (unfair advantage) kepada kerajaan pemerintah.

Masalah yang selalu dihadapi dalam sistem pilihan raya adalah election rigging, atau manipulasi yang haram (illegal) dalam proses pengundian, sama ada dengan menambah undi seseorang calon dan mengurangkan undi calon lain, atau kedua-duanya. Ia boleh juga berlaku dalam kapasiti yang sah (legal) seperti manipulasi demografi, iaitu memindahkan sejumlah besar undi ke daerah yang lain atau memberi kerakyatan kepada pendatang dari negara jiran.

Adakah pengundian elektronik jalan penyelesaian?

Dunia sedang bergerak maju ke arah digitalisasi, hampir semua aktiviti harian boleh dilakukan secara elektronik. Jadi, tidak hairanlah jika proses pengundian juga akan menjadi elektronik suatu hari nanti. Malah, beberapa negara sudahpun implementasi gabungan e-voting atau online voting dan undian manual, termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Belgium, Brazil dan banyak lagi.

Antara kelebihan sistem e-voting adalah kelajuan keputusan pilihan raya boleh dikeluarkan. Ini adalah kerana undi dikira secara otomatik dalam sistem, dan proses pengiraan undi yang mengambil masa beberapa jam boleh boleh dipendekkan. Tambahan lagi, ia akan menarik lebih ramai pengundi kerana kemudahan untuk mengundi di mana-mana sahaja. Kerajaan tidak perlu lagi mengumumkan cuti peristiwa dan pengundi tidak perlu menambah kos pengangkutan ke pusat mengundi. Dan yang paling penting, sistem e-voting akan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang. Contohnya, kos pekerja, dan infrastruktur.

Namun begitu, sistem pengundian secara elektronik juga datang dengan risikonya tersendiri, yang paling besar serangan siber. Tambahan lagi, tanpa undi fizikal, kerosakan di main server boleh menyebabkan undi hilang begitu sahaja. Manipulasi undi boleh berlaku dengan lebih mudah melalui sistem elektronik berbanding sistem manual, dan bukan sahaja satu dua ratus undi boleh dimanipulasi, tetapi berjuta undi boleh terjejas dalam sekelip mata.

Selain daripada itu, penipuan pendaftaran juga boleh berlaku dengan mudah. Pemeriksaan manual yang ada kini boleh memastikan tiada penipuan berlaku, tetapi secara elektronik pengesahan lain perlu dilakukan dan maklumat pengesahan itu boleh dicuri dengan mudah.

Bagaimana pula dengan Blockchain?

Kewujudan Bitcoin dan dengannya teknologi Blockchain telah menjana suatu fenomena baru dalam dunia, iaitu desentralisasi. Dan kuasa yang diberikan teknologi bersifat decentralized ini mampu untuk mempengaruhi sistem sedia ada di dunia sekarang, termasuk sistem politik. Blockchain mempunyai potensi untuk mengubah sistem pilihan raya sedia ada menjadi lebih adil dan telus kepada pengundi.

Teknologi Blockchain mempunyai banyak elemen penting yang boleh membentuk sesuatu sistem demokrasi yang hampir sempurna. Melalui sistem berdasarkan teknologi Blockchain,  setiap nod mempunyai akses untuk melihat semua rekod dalam sistem, dan rekod itu hampir mustahil untuk digodam dan diubah dan yang paling penting, setiap undi boleh dijejaki kepada satu alamat unik tanpa perlu mendedahkan identiti pengundi. Proses pengesahan boleh memastikan setiap undi yang masuk adalah sah dan pengundi juga boleh menjejaki undi mereka dengan mudah dari awal hingga akhir.

Isu-isu yang dihadapi dalam sistem pilihan raya yang sedia ada termasuk ketelusan, kemudahan untuk mengundi, keselamatan dan yang paling penting auditability dalam pengiraan undi. Sangat sukar untuk memastikan ketelusan sesebuah sistem, lebih-lebih lagi dalam sistem yang dijaga oleh manusia, dimana kesilapan boleh berlaku dan terdapat unsur-unsur bias dalam sistem pengundian. Penggunaan sistem yang neutral seperti secara elektronik yang tidak dikawal oleh satu pihak mempunyai potensi untuk menyelesaikan isu-isu tersebut.

Malaysia masih ketinggalan

Dalam hal ini, Malaysia masih lagi ketinggalan. Kita masih lagi menggunakan sistem manual di mana orang awam perlu hadir ke pusat-pusat mengundi untuk membuat undian. Malah, segala proses dari pendaftaran pengundi sehinggalah kepada pengiraan undi adalah manual. Tidak hairanlah jika manipulasi atau kesilapan manusia berlaku dan pengiraan semula perlu diulang beberapa kali untuk mendapatkan kepastian.

Tidak dinafikan undian elektronik juga datang dengan pelbagai risiko dan masalah lain tetapi itu adalah sebahagian daripada proses penambah baikan. Pada awalnya mungkin akan berlaku masalah pada sistem dan kos pemasangannya mungkin tinggi, tetapi jika ia dapat diimplementasi dan diuruskan dengan baik, kebaikannya akan memperbaiki hampir semua kelemahan sistem undian manual.

Projek-projek yang implementasi Blockchain dalam sistem pengundian

Implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur besar seperti sistem politik sesebuah negara mungkin masih lagi jauh memandangkan teknologi Blockchain masih lagi baru, tetapi sudah ada beberapa projek yang sudah mula implementasi teknologi ini dalam skala yang kecil.

Salah satu projek itu, Boardroom, adalah contoh aplikasi yang membolehkan sistem pengundian berdasarkan teknologi Blockchain diimplementasi dalam organisasi, sama ada dalam mesyuarat pemegang saham mahupun pengurusan projek. Followmyvote dan Democracy Earth adalah dua lagi projek yang menyediakan platform untuk mengundi secara online.

Negara-negara seperti Rusia, Estonia dan Itali sudahpun implementasi atau menguji sistem e-voting berdasarkan blockchain untuk menambah baik ketelusan dan melancarkan proses pengiraan undi.

Kesimpulan

Teknologi Blockchain adalah teknologi yang akan mengubah dunia. Itu adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Daripada projek persendirian seperti Bitcoin, kini syarikat-syarikat besar sudah mula implementasi teknologi Blockchain dalam infrastruktur organisasi mereka. Tidak mustahil suatu hari nanti infrastruktur sesebuah negara akan mempunyai elemen-elemen teknologi Blockchain. Jadi, sangat penting untuk kita membuka mata dan menambah ilmu tentang teknologi ini, sebelum kita ketinggalan ke belakang.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

 

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.