Default – Above Header Ads

Stablecoin, Pengganti Fiat dalam Pasaran Kripto

Sebelum ini penulis pernah mengulas tentang penggunaan Bitcoin yang tidak begitu meluas kerana pemilik Bitcoin lebih gemar HODL, atau hold on for dear life. Jika anda belum lagi membaca artikel itu, boleh baca di sini: HODL Bitcoin menjadi penghalang Penggunaan Meluas?

Hakikatnya, walaupun rangkaian Bitcoin cukup bagus untuk menghantar transaksi dengan cepat dan lebih murah terutama transaksi antarabangsa, harga Bitcoin yang terlalu tidak stabil menjadikannya ia tidak sesuai sebagai medium pertukaran. Baik bagi pembeli mahupun penjual. Jika anda rajin melihat perubahan harga Bitcoin di coinmarketcap, anda pasti akan dapat melihat bahawa harga Bitcoin boleh naik turun dalam masa beberapa jam sahaja, malah boleh berubah lebih 30 peratus setiap minggu. Ketidak stabilan harga adalah satu tema yang paling sesuai untuk menggambarkan pasaran matawang kripto.

Persoalannya, adakah ia mustahil untuk mencipta satu matawang kripto yang stabil, yang boleh berfungsi bukan sahaja sebagai tempat menyimpan nilai, tetapi juga medium pertukaran yang boleh digunakan oleh orang ramai, sama seperti matawang fiat? Selain daripada matawang fiat, contoh yang lebih baik adalah emas yang mempunyai nilai yang tidak dipengaruhi pasaran saham atau ekuiti. Harganya juga tidak boleh dimanipulasi dengan menetapkan interst rate.

Jawapannya tidak. Kini sudah terdapat beberapa matawang digital yang disandarkan pada matawang fiat di pasaran: stablecoin.

Stablecoin adalah istilah yang digunakan untuk matawang kripto yang bertujuan untuk mengekalkan nilai yang stabil. Stablecoin ni selalunya bersandarkan matawang fiat. Contohnya, Tether yang bersandarkan nilai USD, Dai yang bersandarkan ETH dan juga DGX yang bersandarkan emas.

Matlamat utama stablecoin adalah untuk mengurangkan risiko pelabur dalam pasaran kripto yang volatile atau tidak stabil. Setiap stablecoin mempunyai ciri-ciri atau mekanisme tersendiri yang unik, tetapi kebanyakkannya berfungsi dengan cara yang sama: syarikat disebalik stablecoin itu akan memegang kolateral dan menguruskan bekalan stablecoin ke pasaran supaya nilai stablecoin itu tidak didagangkan lebih atau kurang daripada $1.

Visi di sebalik stablecoin adalah untuk mencipta matawang digital yang paling optimum yang mempunyai ciri-ciri ini: kestabilan nilai, skalabiliti, privasi dan desentralisasi. Selain daripada membekalkan pasaran dengan matawang digital yang mempunyai harga yang stabil, ia adalah pengganti kepada US Dollar, memandangkan ia sukar untuk menggunakan US Dollar kerana peraturan dan kawal selia yang ketat. Bagi bursa pertukaran yang tidak boleh menggunakan US Dollar, stablecoin adalah pengganti yang ideal.

Buat pedagang, ia adalah cara paling senang untuk stop loss atau memastikan mereka tidak kehilangan nilai pelaburan mereka kerana harga yang jatuh. Ia adalah cara terbaik untuk menukarkan Bitcoin atau matawang kripto lain kepada nilai dollar dan menukarnya kembali dengan cepat dan mudah apabila perlu.

Namun begitu, masih lagi terdapat beberapa isu tentang stablecoin buat masa ini. Masalah utama matawang kripto yang nilainya bersandarkan matawang fiat adalah ia masih lagi boleh terjejas dengan inflasi atau krisis ekonomi.

Vitalik Buterin, pencipta Ethereum, juga pernah mengulas tentang isu ini di dalam blog Ethereum. Dalam penulisannya, beliau mengutarakan dua persoalan yang perlu dijawab untuk mula menyelesaikan isu matawang kripto yang stabil, iaitu:

  1. Bagaimana kita ingin menetapkan harga sesuatu matawang (selain pasaran bebas) dengan cara yang desentralisasi?
  2. Jika pelarasan bekalan dibuat untuk menetapkan harga, kepada siapa matawang itu akan diberikan dan bagaimana untuk menarik balik unit matawang tersebut?

Vitalik menjelaskan secara terperinci penyelesaian berbentuk exogenous (luaran) dan endongenous (dalaman) untuk memastikan harga matawang kripto stabil. Penulisannya agak teknikal terutama bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi dan sains komputer, tetapi jika anda berminat, anda boleh membaca tentangnya di sini: The Search for a Stable Cryptocurrency.

Vitalik banyak menerangkan tentang mekanisme yang terlibat dalam mencapai kestabilan harga matawang kripto, pada masa sama mengekalkan prinsip desentralisasi. Mekanisme tersebut akan menganggar harga matawang kripto di masa akan datang, dan mengambil kira elemen-elemen dalam matawang kripto tersebut, seperti caj transaksi, tahap kesukaran miningjumlah transaksi dan lain-lain.

Namun begitu, Vitalik merumuskan bahawa kesemua strategi yang dijelaskan adalah teori yang masih belum dibuktikan, dan 4 tahun selepas penulisannya itu (penulisan Vitalik adalah dari tahun 2014), matawang kripto yang stabil masih belum lagi wujud. Ini kemungkinan besar kerana orang ramai yang memiliki matawang kripto, menyimpannya untuk tujuan pelaburan atau spekulasi. Malah, majoriti daripada matawang kripto yang ada di pasaran hanya bernilai di dunia sebenar apabila ditukar dengan matawang fiat.

Ini menunjukkan generasi pada waktu ini masih tidak lagi boleh menerima matawang kripto sebagai pengganti matawang fiat, hanya sebagai simpanan untuk menjamin mereka di masa akan datang. Mungkin kita perlu menunggu lagi 10 tahun sebelum matawang kripto menggantikan matawang fiat?

Baru-baru ini, majalah Forbes berbincang tentang pengaruh stablecoin dalam memberi keyakinan kepada pelabur Wall Street. Laporan itu menyatakan bahawa “stablecoin menawarkan jalan keluar masuk yang mudah dan boleh dipercayai kepada pelabur, memberi legitimasi yang dikaitkan secara langsung kepada matawang fiat, meningkatkan ketelusan, dan membuang keperluan untuk pemindahan antaraa fiat ke kripto yang mempunyai kos yang tinggi”.

Hakikatnya, pelabur pasaran kripto memerlukan matawang kripto yang stabil untuk digunakan dalam perdagangan jangka masa pendek. Disebabkan itulah semakin banyak projek stablecoin yang mula muncul untuk menawarkan stablecoin yang mempunyai mekanisme terbaik dalam pasaran.

Setakat ini terdapat 17 stablecoin di pasaran kripto dan anda boleh membaca tentang stablecoin ini dengan lebih lanjut di sini. Selain itu, walaupun stablecoin sepatutnya kekal pada harga yang stabil, kadang-kadang ada sahaja masa di mana harga stablecoin tidak stabil. StablecoinIndex adalah salah satu laman web yang anda boleh ikuti untuk kemas kini harga stablecoin.

Matawang Kripto Nasional vs Stablecoin

Banyak negara sudah memulakan penyelidikan untuk mencipta matawang kripto nasional. Contoh paling mudah adalah pelancaran Petro oleh kerajaan Venezuela. Inflasi yang begitu tinggi menyebabkan nilai matawang negara itu, Bolivar, jatuh dengan begitu teruk. Pada masa yang sama, sekatan ekonomi ke atas Venezuela telah mendesak Presiden Maduro untuk mencari jalan penyelesaian dengan cepat. Akhirnya kerajaan Venezuela berpaling ke arah matawang kripto sebagai penyelamat.

Apa yang berlaku kepada Venezuela telah membuka mata dunia kepada kerentanan sistem kewangan sesebuah negara dan betapa mudahnya krisis ekonomi berlaku jika polisi kewangan tidak kukuh. Jadi tidak hairanlah jika negara-negara lain kini mencari alternatif sebagai tambahan kepada sistem sedia ada, dan ini termasuklah matawang kripto.

India, Iran, Rusia, Switzerland dan banyak lagi sudah pun membina pusat penyelidikan Blockchain. Rusia akan mengedarkan CryptoRuble ke dalam pasaran antarabangsa manakala e-Krona milik Switzerland bakal dilancarkan. Tidak mustahil setiap negara akan mengeluarkan matawang kripto nasional di masa akan datang. Persoalannya, adakah ia akan mengurangkan risiko krisis ekonomi dalam sistem sedia ada?

Adakah ia boleh menggantikan stablecoin? Jika setiap negara mempunyai matawang kripto nasional sendiri yang disandarkan pada matawang fiat, dan jika matawang kripto nasional ini masuk ke dalam pasaran kripto, sudah tentu kita tidak memerlukan stablecoin. Namun begitu, penulis rasa masih jauh lagi untuk menjadikan ia realiti. Hakikatnya, pasaran kripto masih lagi kecil, penggunaannya masih belum meluas, dan ia masih lagi pasaran niche.

Dengan isu pada matawang kripto dan teknologi blockchain sedia ada, stablecoin adalah satu-satunya pilihan kita dalam matawang kripto yang stabil.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads