Blockchain : Lombong emas zaman ini!
Blockchain : Lombong emas zaman ini!
100 tahun dahulu, sesiapa yang memiliki lombong emas, perak, gangsa, timah atau apa-apa bijih akan menjadi kaya-raya. Lihat sahaja Long Jaafar dan Ngah Ibrahim, mereka dikatakan pernah menjadi orang terkaya di Asia Tenggara atau mungkin Asia.
Mereka yang terlibat dengan industri tersebut juga akan mendapat sedikit tempias dari kekayaan tersebut seperti puak-puak kongsi gelap Hai San dan kaum kerabat mereka. Sehinggalah harga komoditi lombong mereka jatuh teruk, pelombong tidak menjadi kaya seperti sebelum ini.
Setelah lombong-lombong habis dikorek. Zaman melombong bijih mula berakhir. Zaman pemilikan aset tanah untuk ladang tanaman seperti getah, koko, kopi dan tembakau pula berganti. Pemilik tanah dan ladang mendapat laba dek kerana permintaan terhadap komoditi-komoditi tersebut melonjak naik.
Industri perladangan dan pertanian diperlahankan pada era Dr. Mahathir. Beliau membawa Malaysia menjadi negara industri berat dan teknologi. Kilang-kilang besar dibina, banyak agensi dan sektor kerajaan dikorporatkan dan diswastakan seperti LLM kepada TNB. Mereka yang terlibat awal dengan perubahan ini menjadi kaya raya di bawah polisi Dr. Mahathir ini.
Selepas itu, era minyak dan gas mula menguasai kekayaan bumi bertuah ini. Mereka yang terlibat awal dengan industri tersebut menjadi warga elitis dan kelas atasan. Mereka yang bekerja dalam sektor ini dianggap bertuah dan ada-ada. Tetapi, hidup ini ibarat roda. Kini sampai giliran era minyak dan gas berakhir. Graduan kelas pertama ijazah kejuruteraan petroleum juga tiada pekerjaan hari ini.
Selain itu, geran-geran kerajaan yang dibolot oleh orang terdahulu yang menjadikan mereka kaya-raya dengan bantuan kerajaan tersebut. Tetapi kini, geran-geran yang dulu menjadi jalan mudah atau bantuan modal untuk usahawan di Melaysia untuk maju dalam perniagaan sudah makin berkurang, bahkan makin ketat dan makin payah.
Jadi, apa yang tinggal untuk generasi kita hari ini?
Kita tiada peluang untuk melombong. Kita tiada tanah jika tidak diwarisi dari tok wan kita. Kita tiada ruang untuk menyelit mendapatkan dana kerajaan yang makin ketandusan dan ketat. Jika ada sekalipun, hampir kering dibolot para politikus dan kroni.
Adakah tuhan tidak adil?
Jawapannya, tuhan tetap adil. Tuhan yang mengkayakan manusia 80 tahun dahulu adalah tuhan yang sama dengan tuhan kita hari ini. Tuhan yang dahulu menabur rezeki, tuhan yang sama juga terus menerus melimpahkan rezeki kepada kita. Terpulang kepada kita untuk mengutipnya atau tidak.
Awal tahun 90an, dunia digegarkan dengan industri komputer yang dipacu gema gelombangnya oleh Microsoft. Menjadikan Bill Gates manusia terkaya di dunia. Kemudian, internet hadir dalam industri ini, lahirlah pula jutawan-jutawan muda dalam industri ini semisal pemilik Facebook, Instragram dan lain-lain.
Penulis membuat kesimpulan, lombong untuk generasi hari ini adalah internet. Tuhan menjadikan internet sebagai lubuk untuk mereka yang mahu mengutip kekayaan. Lihat sahaja Jack Ma, pemilik Ali Baba yang begitu optimis dengan internet telah berjaya pada hari ini.
Dalam lombong-lombong internet yang ada, teknologi Blockchain adalah lombong emas terbaru. Teknologi Blockchain adalah ciptaan “magnus opus” seorang yang genius. Produk teknologi Blockchain yang paling popular adalah Bitcoin. Bitcoin telah menyebabkan ramai generasi muda menjadi jutawan segera dek kerana mereka percaya dan optimis dengan produk teknologi Blockcain tersebut. Sama ada ia secara halal mahupun haram.
Penulis telah menjalankan kajian terhadap teknologi Blockchain bermula dengan membuat “trading”, melakukan “mining” dan membuat “coin” sendiri. Penulis telah cuba mengubah teknologi Blockchain yang penulis sendiri buat setelah ia dilancarkan. Tetapi teknologi tersebut kebal dari sebarang perubahan dan gangguan setelah ia dilancarkan.
Masih banyak idea, ruang dan peluang untuk kita “utilize” teknologi Blockchain dengan baik. Belajar dan kajilah kehebatan Blockchain. Jangan lepaskan peluang untuk menerokai teknologi ini. Tiada guna penyesalan di kemudian hari sebagaimana datuk dan nenek kita menyesal melepaskan lombong-lombong bijih kepada pendatang asing.
Ini zaman kita, era kita, dan ini lombong emas kita!