Siri Asal Usul Bank: Pengeluaran Duit Syiling Pertama
Dalam post yang lalu, kita sudah belajar serba sedikit tentang asal usul bank. Pada zaman itu, fungsi utama bank adalah untuk menyimpan harta kekayaan dalam bentuk emas. Pada masa yang sama, mereka yang menguasai bank ketika itu, termasuk paderi-paderi dan pembesar, boleh memberi pinjaman dan mengenakan faedah kepada saudagar dan peladang.
Apa yang menarik adalah bank ketika itu hanya menyimpan emas dan benih gandum (seperti di Mesir purba). Wang kertas masih lagi tidak wujud. Sewaktu pemerintahan Greek Ptolemies, granaries atau tempat simpanan benih gandum ini diubah menjadi satu rangkaian bank yang berpusat di Alexandria. Sistem bank berdasarkan benih gandum berkembang pesat apabila bekalan emas dan perak semakin berkurangan.
Sistem matawang Greek
Jika di zaman purba, transaksi menggunakan emas, perak dan benih gandum, sistem matawang berkembang secara rasmi di Greek pada zaman 640-630 BC. Duit syiling diperbuat daripada perak di Greek dikenali sebagai obol. Inflasi sudah mula menjadi masalah walaupun pada awal pembuatan syiling.
Pada tahun 407 BC, Sparta telah menakluki lombong perak bangsa Athenian di Laurion dan membebaskan 20,000 hamba. Akibatnya berlaku kekurangan duit syiling yang signifikan dan pada tahun 406 dan 405 BC, Athens mula mengeluarkan duit syiling diperbuat dari gangsa dengan sedikit plating perak. Kekurangan syiling perak bertambah teruk kerana orang ramai menyimpan duit syiling perak mereka dan hanya menggunakan duit syiling gangsa yang lebih rendah nilainya.
Keadaan ini yang membawa kepada teori ekonomi pertama dunia iaitu Gresham’s Law yang menyatakan bahawa “duit yang buruk (jahat) mengusir yang baik”. Akhirnya, pada tahun 393 BC, syiling gangsa telah dihilangkan nilainya dan tidak boleh digunakan lagi.
Pada zaman itu, untuk memastikan penggunaan matawang syiling adalah sekata, Greek banyak menggunakan taktik paksaan ke atas negara lain. Pada tahun 456 BC, Athens telah memaksa Aegina mengambil syiling Athenian dan memberhentikan pengeluaran syiling mereka sendiri. Selang beberapa tahun kemudian, Athens mengeluarkan arahan untuk menyerahkan semua syiling ‘asing’ kepada lombong Athenian dan semua negara di bawah naungan Athens harus akur dengan sistem matawang mereka, dikenali sebagai Attic.
Penjajahan Alexander the Great telah membawa sistem matawang mereka ke negara-negara taklukan di merata dunia. Philip, bapa kepada Alexander the Great pula telah mengedarkan duit syiling sebagai satu propaganda untuk menyambut kemenangannya dalam pertandingan chariot dalam sukan Olympic tahun 356 BC.
Duit syiling Greek adalah antara bukti terawal sistem perbankan berkembang pesat di negara itu. Selain daripada digunakan dalam pertukaran wang, penggunaan terpenting duit syiling Greek adalah untuk bottomry, atau sebagai pinjaman untuk membiaya pengangkutan kargo melalui kapal laut, aktiviti perlombongan dan juga infrastruktur awam.
Satu matawang sebagai perantara satu dunia
Tahukah anda sejak zaman dahulu lagi sudah ada satu matawang yang dijadikan perantara bukan sahaja di kawasan setempat tetapi satu dunia? Sejarah merekodkan silver drachma, wang syiling keluaran tamadun Athens di Greek sebagai matawang pertama dunia yang disebarkan ke luar kawasan tempatan tamadun tersebut, kemudia diikuti dengan gold aureus dan silver denarius coins yang dikeluarkan oleh kerajaan Rom. Kesemua matawang ini mempunyai nilai yang sudah ditetapkan kerajaan pada ketika itu dan selepas kejatuhan kerajaan Rom, matawang aureus yang kehilangan ‘nilai muka’ dinilai mengikut beratnya dan dijual sebagai komoditi.
Selepas itu, matawang solidus keluaran kerajaan Byzantium pula yang menjadi matawang dominan dalam perdagangan antarabangsa pada kurun ke-4 hingga kurun ke-6. Pada kurun ke-7, matawang Arab, iaitu dinar pula yang menjadi matawang utama walaupun solidus masih lagi diedarkan.
Seterusnya, seperti gambar rajah di atas matawang fiorino (Florence), gulden (Netherlands), real de a ocho (Sepanyol), pound (British) dan akhirnya kini dollar (USA) yang menjadi matawang dominan dalam semua perdagangan antarabangsa. Pada kurun ke-17, semasa matawang gulden digunakan sebagai perantara, nota kertas sudah mula diedarkan sebagai nota kredit walaupun tidak mendapat sandaran daripada kerajaan Netherlands ketika itu.
Bermula pada kurun ke-19, apabila insitusi kewangan dan bank mula menyimpan emas sebagai rizab, barulah penggunaan wang kertas mula menggantikan matawang syiling secara perlahan-perlahan. Dalam post seterusnya, penulis akan bercerita tentang pengeluaran wang kertas.
Satu perkara yang dapat dilihat dari sistem bank sejak zaman purba lagi adalah ianya dikuasai oleh mereka yang mempunyai kekayaan yang banyak ataupun kuasa yang besar. Ini adalah kerana golongan ini sahaja yang mampu memberi pinjaman kepada orang lain dan masih lagi memiliki saki-baki kekayaan untuk dibelanjakan.