Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Adakah Harga Bitcoin Mempengaruhi Harga Matawang Kripto?

Tahun 2018 boleh dikatakan tahun yang penuh pancaroba dalam sejarah pasaran matawang kripto, dengan jumlah modal pasaran dari setinggi USD$830 bilion jatuh lebih 60 peratus ke USD$264 bilion pada suku tahun pertama 2018, dan sehingga kini pasaran matawang kripto masih lagi dalam keadaan menurun. Bitcoin jatuh dari setinggi USD$19,000 dan matawang kripto lain juga turut sama jatuh. Nampaknya penghujung 2018 juga masih belum lagi dapat memulihkan keseluruhan pasaran dari trend bearish market yang dihadapi.

Datang tahun 2019 sebagai sinaran baru kepada pasaran kripto. Larian yang dikatakan bullish bermula April 2019 telah melonjakkan harga Bitcoin dari sekitar USD$5,000 melepasi tahap rintangan di USD$6,000 dan mencecah USD$8,000. Ramai penganalisa sudahpun menjangka pasaran bear sudahpun berakhir dan pasaran bull sudah bermula.

Jika kita ulit sejarah, kejatuhan harga pasaran matawang kripto biasanya berlaku kerana pelbagai faktor, tetapi ramai yang bersetuju antara faktor utama yang memulakan penurunan harga matawang kripto adalah peraturan yang semakin ketat dan langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal perdagangan Bitcoin dan matawang kripto. Yang palling signifikan adalah tindakan kerajaan Korea Selatan pada awal tahun 2018 menghalang operasi platform pertukaran Bitcoin dan kejatuhan harga pasaran Bitcoin di Korea Selatan yang dikenali sebagai “Kimchi Premium” kerana penjualan Bitcoin dengan harga yang tinggi di negara itu.

Kini banyak negara semakin mengambil berat tentang teknologi Blockchain dan juga matawang kripto, dan kebanyakkannya bersikap positif terhadap perkembangan teknologi ini. Penerimaan kerajaan sedikit sebanyak memberi impak (negatif dan positif) kepada harga matawang kripto di pasaran. Ditambah lagi dengan kemasukan pemain institusi, tidak hairanlah jika pasaran kripto dilihat sudah memulakan trend menaik pada masa kini.

Jika anda sering membaca berita tentang matawang kripto, anda pasti akan membaca lebih banyak berita tentang Bitcoin daripada matawang kripto lain. Ini tidak menghairankan, kerana Bitcoin adalah perkataan pertama yang difikirkan apabila bercakap tentang matawang kripto mahupun teknologi Blockchain. Ia adalah buzzword yang digembar-gemburkan oleh sesiapa sahaja, sama ada mereka yang pro-kripto dan juga golongan anti-kripto.

Apa yang lebih menarik adalah naik turun Bitcoin mempunyai impak yang besar kepada matawang kripto. Jika Bitcoin jatuh, harga matawang kripto lain pasti jatuh. Dan jika harga Bitcoin naik, kita akan melihat kenaikan dalam kebanyakan matawang kripto lain juga. Mengapa ini berlaku? Dalam artikel kali ini, penulis akan cuba merungkai impak harga Bitcoin terhadap matawang kripto lain.

Bagaimana USD menjadi matawang dunia

Sedikit tentang sejarah mengapa USD dianggap sebagai matawang simpanan untuk dunia. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara yang tidak menghadapi kerosakan dari segi infrastruktur atau negara itu sendiri. Negara-negara lain terpaksa meminta bantuan dan berhutang dengan Amerika Syarikat untuk memulihkan negara masing-masing. Pada asalnya terdapat cadangan untuk satu matawang global alternatif, iaitu bancor, tetapi akhirnya USD yang dipilih pada tahun 1944 yang boleh ditukar dengan emas dengan harga USD$35 setiap 1 oz.

USD kekal sebagai matawang paling stabil untuk beberapa tahun kemudiannya, dan matawang negara lain dibiarkan terapung sesama sendiri. Sehingga kini, USD adalah matawang yang sangat penting dalam pertukaran matawang asing dan menjadi base currency bagi hampir semua matawang dunia yang didagangkan.

Bitcoin adalah matawang kripto utama dalam pasaran matawang kripto

Bitcoin mungkin tidak mempunyai sejarah yang sama dengan USD, tetapi ia mempunyai kelebihan sebagai perintis kepada matawang kripto. Dan seperti USD yang digunakan sebagai matawang simpanan dalam bursa pertukaran matawang asing, Bitcoin adalah matawang kripto yang digunakan sebagai medium pertukaran antara matawang kripto lain. Jika anda lihat dalam kebanyakan platform pertukaran, matawang kripto lain semuanya dipasangkan dengan BTC dan BTC pula selalu dipasangkan kepada USD.

Dan seperti matawang negara-negara lain yang dinilaikan secara relatif kepada USD, setiap matawang kripto dinilaikan secara relatif kepada Bitcoin. Jadi tidak hairanlah jika setiap perubahan harga Bitcoin akan memberi kesan negatif atau positif kepada harga matawang kripto lain.

Bitcoin lebih mudah dicairkan berbanding matawang kripto lain

Setakat ini, Bitcoin adalah matawang kripto yang paling mudah dicairkan dalam kebanyakan bursa pertukaran matawang kripto. Dan pedagang harian matawang kripto sudah pasti akan mahu memastikan mereka boleh mendapatkan matawang fiat dengan mudah daripada pelaburan mereka. Apabila harga Bitcoin meningkat, lebih ramai pelabur akan menukarkan simpanan altcoin mereka kepada Bitcoin untuk menambah simpanan mereka.

Penerimaan terhadap Bitcoin membawa sentimen positif kepada matawang kripto lain

Boleh dikatakan pasaran matawang kripto tidak akan wujud dan berkembang jika tiada penerimaan terhadap Bitcoin. Memandangkan harga Bitcoin yang meningkat, banyak pelabur baru yang menyertai dunia matawang kripto akan cuba mencari alternatif yang lebih murah berbanding Bitcoin. Keyakinan terhadap potensi Bitcoin untuk menjana keuntungan juga membawa kesan positif terhadap matawang kripto lain.

Begitu juga sebaliknya. Jika kita lihat keadaan sekarang, peraturan mengenai matawang kripto yang semakin ketat dan tindakan sesetengah negara dalam menghentikan operasi bursa pertukaran atau mengharamkan perdagangan Bitcoin telah menyebabkan pasaran matawang kripto jatuh begitu teruk. Kes-kes kecurian Bitcoin daripada bursa pertukaran yang berjumlah beratus ribu USD juga sedikit sebanyak mempengaruhi harga matawang kripto lain.

Korelasi altcoin dan Bitcoin

Sebab-sebab di atas adalah mengapa ramai menganggap korelasi antara altcoin dan Bitcoin adalah tinggi. Altcoin masih lagi mengikut trend Bitcoin. Untuk melihat analisa korelasi dengan lebih lanjut, anda boleh melawat laman web https://coinpredictor.io/altcoins dan mencari korelasi antara Bitcoin dan altcoin anda.

Kesimpulan

Buat masa ini pasaran matawang kripto masih lagi bergantung kepada Bitcoin sebagai base currency kerana ia mendominasi pasaran dari segi jumlah modal pasaran dan juga trading volume. Dan ia akan kekal sebagai matawang kripto utama untuk jangka masa panjang kerana faktor-faktor di atas.

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.