Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Apa Klasifikasi Matawang Krypto: Matawang, Komoditi atau Sekuriti?

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang klasifikasi matawang krypto? Pengetahuan ini mungkin kurang menarik bagi pelabur pensendirian atau miner. Ia juga tida begitu signifikan dan tidak mendatangkan apa-apa kesan di negara yang tidak mengiktiraf Bitcoin atau matawang krypto. Tetapi ianya ilmu pengetahuan berguna jika anda berminat tentang cabaran pihak penguatkuasa dalam mengawal selia matawang krypto.

Jadi, bagaimana matawang krypto boleh diklasifikasikan? Setakat ini, terdapat 3 klasifikasi Bitcoin: matawang, komoditi dan aset/sekuriti. Selain daripada mempunyai definisi yang berbeza, ketiga-tiga klasifikasi ini menggunakan kaedah perakaunan yang berbeza. Penting untuk kita mengetahui perbezaan ini kerana ia juga berkaitan dengan kesan undang-undang ke atasnya.

1 Matawang Krypto sebagai komoditi

Komoditi adalah barangan fizikal yang mempunyai permintaan. Komoditi boleh wujud dalam pelbagai kategori berlainan, tetapi pada asasnya sama dan boleh dijual beli. Antara ciri utama sesuatu komoditi adalah fungibility, atau kesamaan komiditi itu dari segi harga dan kuantiti, tidak kira dalam apa jua bentuk. Contohnya, satu kilogram emas dalam bentuk serpihan, syiling, ingot atau jongkong masih lagi satu kilogram emas. Antara contoh komoditi lain termasuk minyak petroleum, tembaga, produk pertanian seperti gandum dan gula, dan produk tenaga seperti elektrik, arang dan gas.

Perbezaan komoditi dengan produk harian biasa ialah selain daripada nilai penggunaan (utility value), ia mempunyai nilai pertukaran (exchange value). Ini bermakna sebaik sahaja sesuatu barangan itu ada di platform pertukaran, ia akan dianggap sebagai satu komoditi.

Bitcoin boleh dianggap sebagai komoditi memandangkan ia dimiliki oleh berjuta-juta orang, ia boleh didapati melalui aktiviti mining dan ia juga adalah sumber yang terhad dan mempunyai ciri deflationary. Akhir sekali, permintaan terhadap Bitcoin semakin meningkat dan harga Bitcoin yang semakin meningkat mencerminkan keadaan ini. Matawang krypto juga banyak yang mempunyai kriteria sama dengan Bitcoin, memenuhi definisi komoditi

2 Matawang krypto sebagai matawang

Matawang seperti yang kita tahu kini adalah dalam bentuk wang kertas dan juga syiling. Matawang juga boleh didefinisikan sebagai sebuah sistem unit kewangan yang digunakan sesebuah negara. Matawang juga adalah suatu komoditi yang digunakan sebagai alat untuk menilai barangan yang berbeza. Oleh kerana nilai sesuatu matawang itu adalah universal dan diterima seluruh dunia, ia dianggap sebagai medium pertukaran.

Secara teknikal, matawang adalah peredaran komoditi kerana ia membolehkan suatu kuantiti komoditi ditukar dengan suatu kuantiti matawang yang bersamaan nilainya, dan matawang itu tadi pula akan digunakan untuk ditukar dengan suatu kuantiti komoditi lain. Dalam kes ini, matawang digunakan sebagai perantara yang menggantikan sistem barter secara langsung.

Matawang krypto, untuk berfungsi sebagai matawang, perlu mempunyai nilai yang stabil dan kadar perubahan (volatility) yang rendah. Ini adalah kerana situasi di mana nilai matawang krypto lebih rendah (atau tinggi) dalam masa sehari atau sejam mendatangkan risiko kepada perniagaan. Jika perniagaan tidak boleh menjamin matawang krypto yang mereka terima boleh digunakan untuk menambah stok mereka pada masa akan datang, mereka tidak akan mempunyai insentif yang tinggi untuk menerima Bitcoin.

Sama juga dengan mereka yang memperoleh pendapatan dalam bentuk matawang krypto. Nilai matawang krypto yang tidak stabil membuatkan kuantiti matawang krypto yang diterima tidak sekata (mengikut nilai semasa), dan jika tidak ditukarkan dengan matawang fiat serta-merta boleh mendatangkan risiko. Isu ini adalah antara faktor utama matawang krypto tidak boleh diklasifikasikan sebagai matawang yang berfungsi.

3 Matawang krypto sebagai aset atau sekuriti

Aset atau sekuriti adalah klasifikasi baru untuk matawang krypto oleh badan penguatkuasa. Sekuriti, seperti komoditi adalah alat kewangan (financial instrument) yang mempunyai nilai yang boleh berubah-ubah dan digunakan sebagai pelaburan. Ia boleh mewakili kedudukan ownership dalam syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham, pemilik bon kerajaan atau hak untuk ownership dalam bentuk option.

Antara negara yang mengklasifikasi matawang krypto sebagai sekuriti adalah Amerika Syarikat (Securities and Exchange Commission), Singapura (Monetary Authority Singapore) dan baru-baru ini, Kanada (Canadian Securities Administrators). Klasifikasi ini adalah langkah badan-badan penguatkuasa untuk mengawal selia penjualan token dalam ICO di negara-negara ini.

Setiap token akan melalui analisa oleh penguatkuasa untuk memastikan ianya boleh dikategorikan sebagai sekuriti. Antara kriteria yang perlu ada untuk menjadi sekuriti termasuk:

  1. Suatu pelaburan yang melibatkan matawang
  2. di dalam sebuah syarikat
  3. dengan jangkaan akan memperoleh keuntungan di masa akan datang
  4. dan diperoleh daripada usaha orang lain

Token-token yang memenuhi kriteria di atas perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum ditawarkan dalam ICO. Penjual token ini juga perlu menyediakan prospektus dan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan di bawah undang-undang berkaitan securities trading.

Kesimpulan

Matawang krypto termasuk Bitcoin boleh diklasifikasikan dalam ketiga-tiga kategori buat masa kini dan ini adalah isu utama yang dihadapi banyak negara dalam mengawal selia matawang krypto. Penyelidikan dalam teknologi Blockchain khususnya matawang krypto masih lagi diteruskan untuk meletakkan matawang krypto dalam kategori yang boleh dikawal selia kerajaan. Sama ada ini adalah tanda kerajaan ingin mengawal kesuluruhan pasaran matawang krypto, dan adakah mereka akan berjaya, hanya masa yang boleh menentukan.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads