Selalunya apabila harga Bitcoin naik atau turun secara mendadak, persoalan utama yang timbul adalah peristiwa besar yang berlaku menyebabkan harga Bitcoin berubah. Jadi, apakah peristiwa besar yang berlaku pada kali ini? Ramai yang membuat spekulasi bahawa berita yang tersebar sejak larangan ICO kerajaan China menyebabkan semakin banyak pihak yang mula mengambil perhatian terhadap Bitcoin dan matawang kripto lain.
Sentimen orang ramai pengaruh terbesar harga Bitcoin
Jika anda baca berita berkaitan Bitcoin terutama di Amerika Syarikat, anda pasti membaca berita tentang kenyataan CEO daripada institusi besar seperti Jamie Dimon (JPMorgan Chase), Lloyd Blankfein (Goldman Sachs), malah presiden Rusia, Vladimir Putin sendiri telah mengeluarkan kenyataan tentang Bitcoin baru-baru ini. Walaupun kenyataan-kenyataan mereka terhadap Bitcoin agak negatif ataupun neutral, hakikatnya Bitcoin sudah pun berada di mata dunia. Semakin banyak berita tentang Bitcoin yang tersebar di laman berita utama (mainstream news), Bitcoin akan semakin popular dan seperti yang kita tahu, harga Bitcoin berubah mengikut sentimen orang ramai terhadap Bitcoin itu.
Hard fork yang bakal berlaku menaikkan harga Bitcoin
Ada juga yang mengatakan bahawa dua hard fork yang bakal berlaku nanti menyebabkan harga Bitcoin naik. Hard fork yang berlaku pada bulan Ogos lepas melahirkan matawang kripto baru, Bitcoin Cash, yang diberi secara percuma kepada pemilik Bitcoin sebelum hard fork itu dan 25 Oktober nanti, matawang kripto baru, Bitcoin Gold bakal diberikan kepada pemilik Bitcoin, juga secara percuma. Dan pada masa yang sama, kebanyakan pelabur merasakan hard fork protokol Segwit2x juga akan membuahkan perkara yang sama, memandangkan komuniti Bitcoin masih lagi berbelah bagi dengan protokol Segiwit2x.
Dengan jangkaan mendapat token baru secara percuma, sudah pasti ramai yang ingin memiliki Bitcoin sebelum hard fork itu berlaku. Maka tidak hairanlah jika ramai yang berkejar ingin membeli Bitcoin sebanyak boleh, memandangkan keuntungan yang mereka peroleh akan naik berlipat kali ganda dengan matawang kripto yang baru dalam portfolio mereka. Tetapi adakah perkara sama akan berlaku? Dalam hard fork Bitcoin Cash, penciptanya menentang protokol Segwit dan berniat untuk mencipta matawang kripto yang mampu bersaing dengan Bitcoin. Namun begitu, harga Bitcoin Cash di pasaran masa kini masih lagi di paras USD$300, dan tidak dianggap sebagai pesaing Bitcoin.