Mengapa Kerajaan Takut kepada Matawang Kripto?
Bitcoin mungkin telah meletakkan dunia matawang kripto ke persada dunia, dan menarik perhatian orang ramai untuk mula cakna tentang matawang kripto. Pada masa yang sama kerajaan juga sudah mula menumpukan lebih perhatian, khususnya dalam usaha untuk mengawal selia pergerakan dalam dunia matawang kripto.
Kita semua sedia tahu Bitcon dicipta berdasarkan prinsip desentralisasi, di mana ia adalah rangkaian pembayaran peer-to-peer yang bebas dari kuasa yang berpusat, ataupun campur tangan perantara (pihak ketiga). Dan inilah sebab utama mengapa kerajaan takut kepada Bitcoin dan matawang kripto lain. Dalam post kali ini penulis ingin merungkai lebih dalam apa impak prinsip yang dibawa matawang kripto kepada kerajaan.
Sistem yang wujud sekarang
Pernah baca siri tentang asal usul bank di coin.my? Dalam siri itu penulis ada menceritakan tentang bagaimana kerajaan melalui institusi kewangan mengawal kadar inflasi dengan memanipulasi bekalan matawang fiat dalam sesebuah negara. Itu adalah sistem kewangan yang sudah wujud sejak dahulu lagi, selepas era menggunakan emas sebagai medium pembayaran berakhir.
Dari mana matawang fiat mendapat nilai? Zaman dahulu wang kertas adalah nota kredit untuk simpanan emas. Bagaimana pula dengan masa kini? Matawang fiat mempunyai nilai kerana kerajaan yang menetapkan nilainya. Sekeping wang kertas bernilai RM50 di tangan anda mempunyai nilai itu kerana kerajaan mengatakan itulah nilainya, tanpa bersandarkan dengan apa-apa aset lain.
Mengapa pengawalan penting untuk kerajaan?
Seperti penulis sudah nyatakan di atas, kerajaan mengawal matawang fiat dengan menggunakan bank pusat untuk mengeluarkan atau menghapuskan wang berdasarkan polisi kewangan sesebuah negara. Selain itu, kerajaan menetapkan dan mengawasi bagaimana transaksi berlaku, meletakkan batasan penggunaan atau pengeluaran wang, mengenakan cukai ke atasnya dan juga menjejak aktiviti jenayah melaluinya.
Ini adalah kepentingan kuasa ke atas sesuatu matawang kepada kerajaan. Dan kehilangan kuasa ini bukan sahaja menjejaskan pengawalan secara langsung tetapi juga memberi impak kepada masyarakat termasuk polisi kewangan, dunia perniagaan, dan jenayah. Sentimen orang ramai yang hilang kepercayaan kepada bank telah melahirkan Bitcoin, dan sentimen yang berkekalan sehingga ke hari ini menyebabkan matawang kripto semakin popular, lebih-lebih lagi kerana tiada kuasa yang membataskan pergerakan transaksi matawang kripto.
Faktor jenayah
Kerajaan sebagai gatekeeper masih lagi menjadi penghalang penggunaan matawang kripto seperti matawang fiat. Malah, disebabkan tiada kawal selia kerajaan mahupun pengiktirafan sebagai matawang yang sah, kegiatan jenayah underground dan juga black market semakin berleluasa. Dan disebabkan tiada rangka undang-undang yang mengawal selia matawang kripto, penjenayah menjadi lebih berani untuk berurusan menggunakan matawang kripto.
Tambahan lagi, sifat matawang kripto yang pseudonymous menyebabkan identiti penjenayah sukar untuk dijejaki. Penipuan atau scam, pengubahan wang haram, pengedaran dadah, pelacuran, pemerdagangan hamba dan macam-macam lagi boleh berlaku tanpa kerajaan mampu berbuat apa-apa. Bacalah tentang kes Silk Road.
Faktor perniagaan
Jika matawang kripto menggantikan matawang fiat, institusi kewangan kemungkinan besar tidak akan diperlukan lagi. Untuk pembayaran mudah secara langsung kepada peniaga, ini bukan satu masalah yang besar, malah memastikan pembayaran lebih efisien dan murah. Tetapi bagaimana pula dengan pinjaman atau dividen bulanan?
Operasi bank banyak bergantung kepada deposit orang ramai, dimana wang yang disimpan akan diguna pakai sebagai pinjaman kepada orang lain ataupun pelaburan. Jika semua orang mempunyai wallet masing-masing, bank sudah tiada dana untuk digunakan dalam aktiviti lain. Perkhidmatan pinjaman akan diambil alih oleh syarikat persendirian.
Namun begitu, banyak bank yang sudah mula mencari peluang untuk implementasi teknologi Blockchain dalam sistem mereka. Mereka mungkin tidak akan menerima matawang kripto sehingga kerajaan mengiktiraf penggunaan matawang kripto, tetapi teknologi Blockchain itu sendiri boleh diubah suai untuk menjadikan sistem perbankan lebih efisien.
Faktor polisi kewangan
Ini adalah persoalan paling penting. Dalam setiap negara, polisi kewangan sangat penting untuk memastikan keadaan ekonomi negara itu kekal sihat dan tidak terjejas dengan krisis ekonomi. Adakah penggunaan matawang kripto boleh dikawal tanpa polisi kewangan ataupun polisi fiskal? Mekanisme matawang kripto kini yang bergantung sepenuhnya kepada demand and supply tidak sesuai untuk diimplementasi dalam negara, kerana sistem kewangan negara lebih kompleks dari itu. Polisi kewangan yang diimplementasi kerajaan adalah untuk menjana pelaburan atau perbelanjaan, pekerjaan, mengawal kadar inflasi dan kemelesetan. Bagaimana untuk menggabungkan polisi kewangan dan mekanisme matawang kripto supaya kedua-dua prinsip kekal?
Apa yang kita lihat kini dalam dunia matawang kripto adalah pasaran bebas tanpa sekatan, baik untuk pengguna biasa mahupun golongan penjenayah. Jadi tidak hairanlah mengapa kerajaan masih lagi ragu-ragu untuk mengiktiraf matawang kripto tanpa rangka undang-undang yang kuat. Malah dalam pasaran matawang kripto telah banyak berlaku manipulasi daripada pihak-pihak yang mempunyai monopoli ke atas matawang kripto, yang kita tidak dapat lihat tanpa penyelidikan mendalam.
Lihat sahaja kes Tether, yang kononnya adalah stable coin kerana ia bersandarkan simpanan US Dollar syarikat yang mengeluarkan Tether. Namun begitu, kuasa pengeluaran Tether adalah di tangan syarikat tersebut, dan terdapat kemungkinan manipulasi pasaran matawang berlaku kerana syarikat ini. Isu ini juga mencerminkan sistem kewangan masa kini, di mana bank boleh mencetak wang baru mengikut polisi yang ditetapkan kerajaan. Anda rasa yang mana satu lebih memberatkan best interest of the people? Kerajaan atau sebuah syarikat?
Kesimpulan
Kerajaan mungkin merasa takut dengan ancaman Bitcoin yang semakin menjadi pilihan orang ramai, tidak kira untuk menyimpan, membelanjakan ataupun menggunakannya untuk tujuan jenayah. Dan disebabkan ancaman itulah banyak negara-negara sudah mula mengorak langkah untuk mengawal selia matawang kripto, terutama negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah. Malah kita sudah dapat melihat tindakan kerajaan-kerajaan di Asia seperti Jepun, China, Korea Selatan dan India dalam usaha mengawal selia jual beli matawang kripto di negara masing-masing.
Bak kata Mat Salleh, regulation is inevitable. The only matter is when. Persoalannya, apakah strategi-strategi pihak kerajaan untuk mengawal selia matawang kripto ini dan apakah kesannya terhadap kita?