Cuba Teka Kerugian Kripto dalam Tahun 2018
Dalam dunia kripto, kehilangan berjuta-juta Dollar sudah menjadi lumrah kehidupan. Faktor terbesar adalah cirinya yang tertakluk di dunia digital. Pernahkah anda terfikir bahawa duit anda di bank lebih mudah dicuri daripada wang tunai dalam dompet anda? Tengoklah betapa banyaknya scam berleluasa di Malaysia kini.
Sebenarnya risiko untuk anda kehilangan duit melalui aset kripto sangat tinggi. Bukan setakat scam sahaja, malah anda boleh menghadapi kerugian melalui simpanan di wallet, atau urusniaga di bursa pertukaran kripto. Tahun ini sahaja hampir USD$1 bilion telah hilang daripada bursa pertukaran dan juga akibat penipuan.
Dalam artikel ini, penulis menyenaraikan 5 kes penipuan dan kecurian yang melibat kripto bernilai jutaan dollar.
1. Kerajaan Jepun menganggarkan kerugian sebanyak USD$540 juta oleh penggodam
Menurut laporan oleh berita harian The Asahi Shinbun Daily, Agensi Polis Nasional Jepun telah mengeluarkan data untuk 6 bulan pertama 2018 yang menunjukkan serangan siber ke atas wallet kripto yang telah menyebabkan kecurian sebanyak USD$540 juta.
Majoriti matawang kripto yang hilang adalah daripada kes godam bursa pertukaran kripto Coincheck pada bulan Januari 2018, dengan kecurian lebih USD$500 juta. Bayangkan, USD$500 juta hanya dari satu kes godaman? Berapa ramai agaknya mereka yang menyimpan semua matawang kripto yang telah di beli di bursa pertukaran kripto tersebut.
Antara matawang kripto yang telah dicuri adalah NEM daripada kes Coincheck tersebut, sebanyak USD$517 juta daripada 36 serangan. Selain itu, matawang kripto XRP yang bernilai USD$13.5 juta di curi dalam 42 serangan, dan Bitcoin bernilai USD$7.66 juta daripada 94 serangan.
2. Serangan Penggodam ke atas Bursa Pertukaran Kripto
Yang ini kita macam dah biasa dengar, betul tak? Dalam dunia kripto, risiko kecurian terbesar adalah dalam bursa pertukaran kripto. Memandangkan setiap bursa pertukaran kripto menerima deposit daripada beratus ribu pengguna dan jumlah perdagangan seharian boleh mencapai sehingga USD$1 bilion, maka tidak hairanlah jika mereka menjadi sasaran penggodam.
Mereka adalah umpama bank yang memerlukan tahap keselamatan siber yang sangat-sangat tinggi dan punca utama kecurian berlaku adalah kerana kepincangan dalam isu keselamatan mereka. Jepun mungkin melihat kerugian aset kripto melebihi USD$500 juta, namun ia bukanlah satu-satunya negara yang menghadapi masalah serangan siber.
Antara kes lain termasuk serangan ke atas BitGrail di Itali yang menyebabkan kehilangan USD$195 juta, Zaif di Jepun menyebabkan kerugian USD$60 juta, Coinrail di Korea Selatan (USD$40 juta) dan Bithumb (USD$30 juta). Banyak lagi serangan siber lain yang tidak dilaporkan laman berita yang telah menyebabkan kehilangan hampir USD$166 juta.
3. Pencuri mengguna wang palsu bernilai USD$2.3 juta untuk menipu jutawan Bitcoin
Kes yang ini semakin popular kini. Seorang jutawan Bitcoin yang berasal dari Korea Selatan telah ditipu dua orang Serbia, apabila jumlah wang yang diberi didapati adalah wang palsu. Rupa-rupanya setiap nota bernilai €500 itu dicipta menggunakan Photoshop. Sedihnya.
Nasib memang menyebelahi jutawan dari Korea itu kerana penipu Serbia tadi berjaya ditangkap di Cannes, sambil memakai jam tangan bernilai USD$110,000 dan memandu kereta sports mewah. Tetapi sama ada dia dapat kembali kesemua wang yang ditipu tadi masih lagi tidak diketahui, memandangkan rakan penipu itu tidak berjaya ditangkap.
Satu lagi kes yang lebih kurang sama adalah seorang jutawan berbangsa Finnish yang ditipu sebanyak USD$35 juta dalam bentuk Bitcoin. Penipu tersebut kononnya mengajak jutawan tersebut melabur dalam casino di Macao yang didapati tidak wujud.
4. Scam My Big Coin di Amerika Syarikat
Bukan sahaja wang palsu, namun pernah ada skim Bitcoin palsu! Hebat betul. Sebenarnya yang ini lagi senang kerana tidak perlu mereka wang palsu di Photoshop dan mencetaknya dengan banyak (bayangkan berapa helai kertas yang digunakan). Skim ini hanya perlu meyakinkan pembeli bahawa mereka membeli Bitcoin sebenar.
Bagaimana skim penipuan ini dijatuhkan?
Pada awal tahun 2018, My Big Coin yang beroperasi di Amerika Syarikat yang telah mengumpan pelabur untuk melabur lebih USD$6 juta akhirnya di saman oleh Commodity Futures Trading Commission di Amerika Syarikat. Antara tuduhan yang dilemparkan adalah My Big Coin telah menipu klien mereka melalui pemindahan wang di bank ke dalam akaun persendirian mereka sendiri, tanpa memberi apa-apa kepada pembeli. Wang itu kemudiannya digunakan untuk membeli barang mewah dan perbelanjaan persendirian.
Sewaktu My Big Coin beroperasi, ia menjanjikan keuntungan kepada klien mereka dengan cara melabur Bitcoin yang dibeli tadi di pelbagai platform. Ia juga menipu klien mereka dengan mengatakan bahawa mereka bekerjasama dengan syarikat kad kredit, Mastercard. Kononnya My Big Coin adalah platform pengurusan aset kripto bagi klien mereka.
5. Scam ICO – Bitcoin Savings and Trust dan Centra Tech
Seterusnya adalah penipuan melalui ICO. Kes-kes begini agak sukar dikesan kerana kebanyakan projek kripto memang tidak mempunyai MVP atau prototaip semasa ICO dijalankan. Projek-projek ini hanya menjual potensi dan pelabur-pelabur haruslah membuat keputusan dengan maklumat yang anda dan berdoa projek ini akan berjaya.
Dalam kes Centra Tech ni, bukan sahaja ia menjual idea namun ia membawa tahap marketing projeknya sehingga ke tahap selebriti. Projek ini mendapat sambutan hangat apabila banyak selebriti yang mempromosikan ICO projek ini, termasuklah DJ Khaled dan Floyd Mayweather Jr. Centra Tech berjaya mengutip USD$32 juta daripada ICO yang dijalankan.
Betapa mudah untuk projek membuat duit melalui ICO kan. Akhirnya, penipuan Centra Tech berjaya didedahkan apabila CEO syarikat itu, “Michael Edwards” ditemui adalah fiksyen semata-mata dan gambar yang digunakan diambil dari Internet. Centra Tech juga mendakwa ia bekerjasama dengan Visa Inc. untuk mengeluarkan kad debit kripto, dakwaan yang dinafikan Visa.
Selain daripada Centra Tech, Bitcoin Savings and Trust juga telah menipu pelabur untuk melabur lebih 720,000 Bitcoin dengan menjanjikan 7 peratus bunga setiap minggu – dan dana yang dikumpul itu digunakan untuk membayar kembali pelabur awal dan selebihnya untuk diri sendiri. Ini adalah contoh klasik skim Ponzi, jika anda nak tahu ye.
6. Scam wallet – Bitcoin Gold
Kita dah baca tentang scam duit palsu, scam Bitcoin palsu, scam ICO dan skim Ponzi. Yang terakhir dalam senarai ni adalah scam wallet. Ingat tak ketika hard fork Bitcoin Gold pada penghujung tahun 2017 dahulu? Pernah dengar tentang mybtgwallet.com?
Menurut CNN, wallet BTG ini telah berjaya menipu pelabur sehingga mereka kerugian sebanyak USD$3.2 juta dengan cara kononnya wallet itu membolehkan mereka menuntut Bitcoin Gold mereka. Laman web tersebut telah menggunakan link kepada laman web asal Bitcoin Gold untuk meyakinkan pelabur mendedahkan private key atau seeds mereka melalui scam ini.
Biar betul. Ingat lagi apa peraturan pertama dalam menyimpan kripto? Jangan sekali-kali mendedahkan private key/seeds anda kepada sesiapa pun. Baik isteri, anak, cucu, mak, bapak sekalipun. Itu kalau nak rahsiakan simpanan anda sampai mati la kan.
Tapi apa pun, private key/seeds adalah umpama nombor pin akaun kripto anda. Bezanya, duit di bank di curi mungkin (baca: 0.0000001%) boleh didapatkan kembali, tetapi jika aset kripto anda dicuri, selamat tinggal selamanya lah jawabnya.
Seperti kes ini. Sebelum scam itu didedahkan, penipu-penipu tersebut telah berjaya mencuri Bitcoin Gold bernilai USD$107,000, Litecoin bernilai USD$72,000, Ether bernilai USD$30,000 dan Bitcoin bernilai USD$3 juta.
Kesimpulan
Banyak lagi scam-scam dan serangan siber lain yang berlaku sepanjang tahun 2018. Ada yang kecil ada yang besar. Kerugian yang dilaporkan secara rasmi adalah USD$1 bilion, namun penulis rasa angka yang sebenar pasti lebih daripada itu. Setiap hari pasti ada yang kehilangan matawang kripto mereka – melalui scam, serangan siber tak pun terlupa private key mereka. Yang itu paling kesian.
Apa pun, penulis harap anda bukan golongan yang ditipu. Kalau anda termasuk dalam golongan ini, penulis rasa sebab tak baca habis artikel coin.my ni. Betul tak?
===
Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram.