Default – Above Header Ads

Millennials dan Matawang Kripto

Apa itu Millennials

Millennials. Seperti teknologi Blockchain, Bitcoin, altcoin dan sebagainya, millennials adalah buzzword yang membentuk sistem sosial dunia abad ke-21 ini. Tidak hairanlah, memandangkan generasi ini meliputi majoriti populasi di seluruh dunia.

Millennials, juga dikenali sebagai Generasi Y atau Gen Y, adalah mereka yang lahir antara tahun 1981-1996 dan juga dikenali sebagai generasi pertama yang matang (come of age) dalam milenium baru.

Sebenarnya, hubungan antara teknologi dan generasi millennials adalah sesuatu yang mudah difahami, kerana generasi ini adalah generasi pertama yang membesar dengan komputer. Hasilnya, generasi ini sudah menjadi biasa bekerja dengan peralatan digital dan hubungan virtual, dan juga kehidupan yang berlalu dengan pantas.

Memandangkan teknologi sudah menjadi teras dalam kehidupan seseorang dalam generasi millenial, inovasi dalam teknologi menjadi sesuatu yang mudah untuk mereka fahami dan praktikkan. Generasi ini jugalah yang mengetuai perjalanan ke masa depan digital, mengubah institusi dan infrastruktur tradisional dan membuka jalan untuk revolusi industri digital.

Sentimen terhadap Millennials

Golongan Millennials adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 23 sehingga 39 tahun. Jadi, hampir semua sepatutnya terdiri daripada profesional, atau mereka yang sudah bekerja. Disebabkan itu, golongan ini seringkali menjadi highlight atau ditonjolkan ke hadapan kerana generasi ini sedikit sebanyak telah mengubah ekosistem pekerjaan di seluruh dunia.

Generasi Y ini selalu didefinisikan dengan ciri-ciri yang agak negatif oleh dunia berdasarkan gaya hidup dan juga budaya mereka dari sewaktu mereka dibesarkan sehinggalah sekarang. Golongan millenials ini dikatakan manja dan malas, dan ingin perhatian. Mereka mempunyai jangkaan yang tinggi dalam hidup dan ini dicerminkan dalam trend golongan ini melompat kerja.

Namun begitu, millennials juga mempunyai ciri-ciri positif yang menjadikan mereka lebih berjaya dalam hidup berbanding generasi lain sewaktu mereka dalam lingkungan umur yang sama. Salah satunya adalah mereka mementingkan pencapaian yang tinggi, dan akan berterusan mencabar diri mereka dan majikan mereka di tempat kerja. Golongan ini kebiasaannya akan mencari cabaran baru dalam pekerjaan dan akan merasa tidak selesa dengan kerja rutin, menyebabkan mereka mencari inisiatif baru dan sentiasa melakukan inovasi.

Millennials dalam Era Revolusi Teknologi

Dan beberapa penganalisa dan pakar ekonomi menyatakan bahawa ciri-ciri yang ada pada millennials yang menyebabkan mereka mudah mengikuti perubahan teknologi yang berkembang dengan pantas. Ternyata dari segi inovasi teknologi, millennials berada di hadapan generasi lain kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran yang dikelilingi teknologi.

Malah beberapa kajian telah menunjukkan bahawa lebih 80% daripada generasi millenials menganggap teknologi adalah sangat penting bukan hanya dari segi hiburan dan hubungan sosial, tetapi juga untuk pendidikan dan penyelidikan. Jadi tidak hairanlah jika golongan ini akan menerima teknologi blockchain dan matawang kripto dengan lebih mudah dan positif berbanding generasi lain.

Satu kajian yang dijalankan oleh firma pemasaran dan komunikasi Edelman telah menemui bahawa 25% daripada 1,000 individu generasi millennials sudah mempunyai matawang kripto dan/atau menggunakannya. Dan data daripada coin.dance pula menunjukkan golongan ini mendominasi ruangan matawang kripto dengan hampir 50 peratus daripada pengguna kripto adalah millennials.

Apa antara faktor yang menjadikan millennials suka pada matawang kripto dan teknologi blockchain? Takkan kerana dibesarkan dalam persekitaran penuh peralatan teknologi, betul tak?

Conscious Capitalists

Salah satu faktor terbesar adalah generasi millennials mempunyai sifat kesedaran yang lebih tinggi berbanding generasi lain. Sifat kesedaran ini tidak kira dari segi kesihatan, sosial, sosioekonomi, isu alam sekitar mahupun politik. Millennials sering digelar sebagai conscious capitalist atau kapital yang mempunyai kesedaran yang bermakna mereka memandang tinggi perniagaan yang menjaga kepentingan semua orang – pelanggan, pekerja, pelabur, komuniti, pembekal dan juga alam sekitar.

Jadi, disebabkan kesedaran ini, generasi millennials lebih lantang bersuara jika mereka tidak puas hati dengan sesuatu perkhidmatan atau produk. Dan sedikit sebanyak ini memupuk pendirian anarki di mana golongan millennials akan sentiasa mempersoalkan golongan yang berkuasa tidak kira kerajaan ataupun korporat dan syarikat besar.

Institusi tradisional seperti bank dan syarikat besar dikenali dengan taktik dan strategi yang bertentangan dengan kepentingan majoriti, menyebabkan millennials mencari alternatif lain untuk tidak tunduk kepada institusi-institusi ini. Dengan kemunculan Bitcoin pada tahun 2008, alternatif itu menjadi realiti, dan ciri-cirinya yang desentralisasi serta membuang keperluan perantara seperti bank berjaya menarik perhatian generasi millennials ini.

Disruptive Entrepreneurs

Perkembangan teknologi telah membuka jalan kepada golongan millennials untuk mengambil cabaran baru dan ini dapat dilihat dalam kerjaya usahawan. Dengan teknologi, model perniagaan tradisional telah melalui transformasi dan dari situlah bermulanya perkembangan startup, iaitu syarikat yang diasaskan oleh individu atau usahawan yang cenderung menggunakan teknologi untuk mencari model perniagaan yang boleh diskalakan.

Kini, ramai millennials yang mula meneroka teknologi baru seperti blockchain, AI, nano, quantum computing dan sebagainya untuk mula membawa infrastruktur tradisional ke alaf baru. Kebanyakan usaha ini dianggap sebagai disruptor kepada perniagaan sedia ada.

Kesimpulan

Buat millennials dan matawang kripto, hubungan antara kedua-duanya adalah sesuatu yang semula jadi. Suatu kepastian, di mana generasi millennials akan mendahului generasi lain dalam membawa teknologi blockchain dan matawang kripto kepada penggunaan yang lebih luas.

Dengan lebih rama millenials dan pelabur muda menyertai pasaran kripto, institusi kewangan tradisional perlu berubah untuk memenuhi keperluan generasi ini. Dan kemasukan pemain institusi dalam pasaran kripto adalah isyarat besar industri ini boleh bertambah baik.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads