Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

10 Anekdot Tentang Bitcoin

10 tahun sejak kewujudan Bitcoin, sudah pasti banyak kisah menarik yang berlaku. Ramai pemilik Bitcoin yang berkongsi cerita peribadi mereka tentang Bitcoin di media sodial seperti Twitter, Reddit, Bitcointalk dan sebagainya.

Di sini, penulis ingin berkongsi 10 anekdot tentang Bitcoin yang berjaya mencuri hati penulis. Ada yang kelakar, ada yang sedih dan ada juga yang menusuk kalbu. Jom kita nikmati cerita-cerita tentang Bitcoin ni.

1. Pizza Berharga 10,000 BTC

Siapa tidak boleh lupakan kisah Bitcoin digunakan untuk membeli pizza?

Pada 22 Mei 2010, ketika Bitcoin masih lagi berharga kurang daripada satu sen, seorang lelaki bernama Laszlo Hanyecz telah mengeluarkan post di forum Bitcoin Talk bahawa dia akan memberi 10,000 BTC untuk dua pizza dari Papa John. Seorang pengguna dari England telah menerima tawarannya dan berjaya memperoleh jumlah itu.

Sewaktu itu, 10,000 BTC bernilai USD$40. Pizza Hanyencz telah menjadi semakin mahal sejak kewujudan Bitcoin, dan sembilan bulan selepas pembelian pizza itu, harga Bitcoin mencecah USD$1, menjadikan kedua-dua pizza itu bernilai USD$10,000. Pada ulang tahun ke-10 peristiwa yang dipanggil “Bitcoin Pizza Day” itu, harga Bitcoin itu telah mencecah USD$78 juta. Agak-agak di mana 10,000 Bitcoin tu ya?

2. Harta Kekayaan Yang Hilang Bersama USB

Cerita ini sangat popular dalam kalangan peminat Bitcoin. Ia menjadi sensasi beberapa tahun lalu, ketika harga Bitcoin sedang meningkat naik.

Seorang warganegara Australia yang tidak diketahui identitinya bukan kerana kejayaannya dalam Bitcoin, tetapi kerana dia takut isterinya akan mengetahui tentang berapa banyak wang yang dia telah hilangkan.

Pada tahun 2009, sewaktu awal kemunculan Bitcoin, nilai Bitcoin lebih mendekati kosong dan hanya wujud dalam komuniti programmer sahaja. Seorang pembangun permainan Australia telah memasang rig untuk melombong beberapa Bitcoin dalam sehari. Selepas melombong “beberapa juta” Bitcoin, dia kemudiannya memutuskan untuk menyimpan jumlah itu dalam USB, mana tahu jika komputernya rosak suatu hari nanti.

Macam biasa, memori dimasukkan ke dalam bahagian ingatan jangka masa panjang dan dilupakan.

Namun begitu, apabila Bitcoin mencecah hampir USD$1,000 pada tahun 2013, dia teringat kembali kepada pelaburannya dan cuba untuk akses USB miliknya itu. Malangnya, USB yang digunakan adalah murah dan dibuat dari China, dan kerana itu, harta kekayaannya hilang begitu sahaja bersama-sama USB itu.

3. Mencari Cakera Keras di Tanah Pelupusan Sampah

Cerita ni lebih kurang sama dengan cerita di atas. Seorang lelaki bernama James Howells telah melombong Bitcoin pada tahun 2009 dan berjaya mengumpul sebanyak 7,500 Bitcoin. Dia menyimpan jumlah itu dalam cakera keras atau hard drive. Seperti biasa, memori tentang Bitcoin yang disimpan itu dilupakan sehinggalah beberapa tahun kemudian.

Semasa membersihkan tempat kerjanya dia menemui kembali hard drive itu, dan membuangnya tanpa mengingati tentang Bitcoin yang disimpan. Kalau setakat buang di tong sampah mungkin masih boleh dicar kembali. Malangnya, dia telah menghantar hard drive itu dan sampah lain terus ke tempat pelupusan sampah.

Bayangkan, sewaktu ia dibuang, jumlah Bitcoin itu bernilai $600,000. Tetapi jika kita lihat pada harga hari ini, James Howells sudah boleh bergelar jutawan. Sedihnya.

4. Jutawan Sebelum Umur 18 Tahun

Erik Fineman mula melabur dalam Bitcoin pada tahun 2011 ketika dia berumur hanya 11 tahun. Selepas neneknya memberikannya $1,000 dan abangnya memberi tip apa yang boleh dibuat dengan wang itu, dia mula membeli Bitcoin. Pada waktu itu Bitcoin hanya berharga $12.

Kalau anda mempunyai $1,000 adakah anda akan membeli Bitcoin sewaktu berumur 11 tahun? Malah kalau anda sudah berumur 20 tahun ke atas waktu itupun belum tentu anda akan membeli Bitcoin, betul tak?

Sewaktu Erik Fineman menjual Bitcoin pada penghujung tahun 2013, setiap satu Bitcoin berharga $1,200. Erik telah berjaya menukarkan pelaburan bermodal hanya $1,000 kepada $100,000. Hebat betul. Dengan wang itu dia telah menubuhkan satu syarikat pendidikan atas talian pada tahun 2014.

Pada tahun 2015, Erik menjual syarikatnya dan diberi pilihan sama ada menerima $100,000 ataupun 300 Bitcoin. Anda rasa dia pilih yang mana? Walaupun pada tahun 2015 harga Bitcoin jatuh, Erik tetap mengambil risiko menerima Bitcoin. Ketika itu dia berumur 15 tahun. Jika dia masih menyimpannya sehingga hari ini, dia sudahpun bergelar jutawan.

5. Menyesal Jual Awal

Seorang pengguna Reddit, SuperDuperDerp, berkongsi bagaimana pembelian dan seterusnya penjualan Bitcoin menjadi sesuatu yang dikesali sehingga sekarang. Dalam post yang dikongsi di Reddit, dia berkata:

“Saya mula mengenali Bitcoin pada tahun 2012. Sewaktu itu harga Bitcoin adalah USD$4. Saya tersangkut serta-merta dan yakin Bitcoin akan meletup suatu hari nanti. Malangnya, ketika itu saya tidak mempunyai wang yang banyak, dan saya hanya mampu membeli 100 BTC bernilai USD$400. Harga Bitcoin ketika itu tidak bergerak banyak, jadi saya berhenti memeriksanya selepas itu.

Sebulan kemudian, saya kembali untuk melihat apa yang berlaku, dan harga Bitcoin telah naik dua kali ganda kepada USD$8 setiap Bitcoin! Melihat kenaikan itu dan berfikir ia terlalu awal untuk Bitcoin naik lebih tinggi, saya menjual kesemua 100 BTC itu pada harga USD$800 dengan harapan untuk membelinya sekali lagi apabila harga jatuh.

Harganya tidak lagi jatuh dan saya lihat harganya naik sedikit demi sedikit sehingga saya membuat keputusan untuk membelinya pada harga USD$100 setiap Bitcoin dan hanya membeli 8 BTC pada harga USD$800. Saya telah membiarkan emosi menguasai diri dan jual secara panik. Saya ingin percaya jika saya mempunyai kestabilan kewangan ketika itu, saya akan membeli lebih banyak Bitcoin untuk jangka masa panjang dan tidak akan begitu cepat menjualnya. Tetapi siapa tahu bukan? Ia memerlukan duit untuk membuat duit!”

6. Tidak Sengaja Memperoleh USD$1.3 juta Kerana Ingin Membeli Rumah

Dalam temubual bersama Bloomberg, CCO BitPay Sonny Singh menceritakan bagaimana syarikat itu telah membantu seorang lelaki untuk memperoleh keuntungan sebanyak USD$1.3 juta tanpa sengaja melalui pembelian rumah.

Menurut Sonny, mereka bertemu dengan pembangun hartanah itu kerana seorang pembeli ingin membeli rumah dengan Bitcoin. Harga rumah yang ingin dibeli adalah USD$4 juta. Sewaktu transaksi pembelian itu dimulakan, harga Bitcoin adalah USD$750. Namun begitu, semasa penyelesaian transaksi itu, harga Bitcoin telah melonjak naik ke USD$1,000. Oleh sebab itu, pembeli itu berjaya mendapat keuntungan USD$1.3 juta daripada kadar pertukaran BTC-USD.

Dengan wang itu, pembeli itu kemudiannya membeli Lamborghini di penjual yang juga menerima Bitcoin dengan BitPay. Untung betul pembeli itu, boleh dapat rumah dengan diskaun 25 peratus dan juga satu kereta Lamborghini percuma.

7. Ingin Menjual Bitcoin, tetapi Dirompak Pula

Pada tahun 2015, sebuah laman berita di New York, DNAInfo melaporkan bahawa seorang pemuda berumur 28 tahun telah membuat perjanjian melalui Craiglist untuk menjual Bitcoin kepada seseorang di kawasan berdekatan. Craiglist digunakan untuk jual beli antara orang yang menetap di kawasan yang sama kerana ingin mengelak daripada dikenakan caj transaksi.

Menurut pemuda itu, apabila dia sampai di selekoh itu, orang tidak dikenali itu membawanya kepada satu kereta Honda di mana dia berkata dia akan menyelesaikan perjanjian itu. Namun begitu, apabila dia masuk ke dalam kereta itu, seorang lagi lelaki mengeluarkan mengeluarkan pistol dan mengancam pemuda itu tadi untuk menyerahkan Bitcoin yang ingin dijual tadi kepada kedua-dua perompak itu.

Mangsa itu memberitahu polis dia kehilangan USD$1,100. Semasa kecurian itu, harga Bitcoin adalah dalam $237. Pada hari ini, jika perompak itu masih lagi menyimpan Bitcoin yang dicuri itu (dalam 4.64 BTC) mereka akan mempunyai USD$39,000.

8. Lebih 10K Bitcoin Dalam Wallet Offline

10,000 BTC bukan USD$10,000. Seorang pengguna yang tidak diketahui telah menceritakan dalam post di Steemit bagaimana dia berjaya mengumpul sehingga 12,000 BTC pada suatu ketika dan sehingga hari ini masih menyimpan lebih 10,000 BTC dalam wallet offline.

Menurutnya, dia mula melombong pada bulan Julai 2010, ketika harga Bitcoin masih di bawah 1 sen. Pada awalnya dia melombong dalam 100 Bitcoin setiap hari, dan menjelang tahun 2012 dia telah berjaya mengumpul sebanyak 12,000 BTC. Selepas itu, pengguna itu telah berhenti daripada aktivitinya selama setahun, dan apabila dia memeriksa harga Bitcoin pada bulan April 2013, harga Bitcoin sudah melebihi USD$100, dan dia sudah bergelar jutawan.

Walaupun dia sudah bergelar jutawan, dia tidak gopoh mencairkan Bitcoinnya. Dia menjual Bitcoin dalam kuantiti yang kecil. Dia juga tidak berhenti daripada aktiviti melombong, dan telahpun menyertai mining pool untuk terus melabur dalam Bitcoin dan memastikan dananya tidak kering.

9. Naik Taraf RAM yang Menghancurkan Bursa Pertukaran Kripto

Cerita ini agak menyedihkan kerana kesilapan yang sangat kecil dan semudah melakukan naik taraf. Semasa Bitcoin semakin popular pada tahun 2011, bursa pertukaran kripto Poland pertama, “Bitomat” dilancarkan. Dalam masa yang singkat, ia berjaya menjadi bursa pertukaran kripto ketiga terbesar di dunia ketika itu.

Ia di host di cloud server Amazon Web Service yang dijalankan secara berkala untuk membekalkan kuasa komputer yang besar berbanding dengan penyimpanan. Pada suatu ketika, pemilik bursa pertukaran kripto itu menambah RAM ke dalam server itu dia tidak sedar bahawa ia akan restart semula pada masa sama membuang semua data dengannya.

Setiap wallet pengguna dalam bursa pertukaran itu dan fail data wallet dipadamkan sewaktu restart. Tambahan lagi, tiada backup yang dibuat untuk data itu. Hasilnya, sebanyak 17,000 Bitcoin telah hilang, bersamaan USD$145 juta pada hari ini.

10. Membayar Fi Transaksi 0.001BTC dengan 291.241 BTC

Dan akhir sekali, cerita yang paling menyayat hati adalah apabila tersilap semasa membuat transaksi. Penulis yakin ramai boleh memahami perasan dia bila kita tersilap masukkan jumlah untuk transaksi ataupun tersalah masukkan nombor akaun dlam membuat pemindahan wang secara online, betul tak?

Pada tahun 2016, seorang pengguna Twitter mengeluarkan satu tweet mengatakan seseorang telah tersilap menghantar 0.001 BTC dengan yuran transaksi sebanyak 291.241 BTC, dan bukannya sebaliknya.

https://lh4.googleusercontent.com/M775Q1jsD6MNnIduthn_QeXLRArlVsOFqJBf1YRE_yTzoUmpaAQqgANlyXZ1iNkkcXAsFWlJrM2b8tl8G2gb6Pa2rjf6-BA8kt3Esr-fG4kJhJDzMR3VH8X626UBBoIlJi7wY9t4

Pelombong yang memproses transaksi itu sangatlah beruntung tetapi penghantar itu sudah pasti menangis tak berlagu. Teringat baru-baru ini tentang peristiwa yang lebih kurang sama tetapi di blockchain Ether, di mana penghantar membayar 2,100 ETH sebagai yuran gas. Akhirnya, Sparkpool yang memproses transaksi itu bersetuju memulangkan separuh daripada jumlah yang dihantar itu. Sekurang-kurangnya penghantar mendapat kembali separuh daripada dananya, daripada tidak mendapat apa-apa, betul tak?

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads