Default – Above Header Ads

Bagaimana untuk Membuat Penilaian tentang sesuatu ICO?

Sejak kerajaan China bertindak melarang ICO di negara itu, topik tentang ICO menjadi bualan hangat di media sosial sekarang. Pelbagai variasi amaran tentang ICO telah dikeluarkan dalam negara masing-masing. Tidak kurang juga di laman Facebook coin.my sendiri yang menjadi medan pertempuran tentang topik hangat ini. Atas permintaan ramai, post kali ini penulis ingin membincangkan tentang perkara-perkara yang perlu kita analisa tentang ICO sebelum membuat keputusan untuk membeli token yang ditawarkan.

Bagi yang masih lagi kurang arif tentang ICO atau Initial Coin Offering, anda boleh rujuk post tentang ICO di sini: Apa itu Initial Coin Offering? Dah baca? Baiklah, sebagai permulaan, harus kita tahu bahawa tujuan ICO dijalankan adalah untuk mengumpul dana untuk sesuatu projek, pada masa yang sama menawarkan beberapa manfaat kepada pemegang token yang dibeli, khususnya pulangan pelaburan dan juga nilai token yang meningkat di masa akan datang.

Ini bermakna, secara asasnya sukar untuk kita menilai tanpa analisa mendalam, sama ada ICO itu hanya skim ponzi yang bersandarkan projek penipuan semata-mata. Malah, sejauh mana kita menganalisa sesuatu projek pun tidak akan menjanjikan projek itu akan berjaya pada masa akan datang. Setuju atau tidak? Jadi di sini, penuis akan cuba memberi panduan step-by-step bagaimana menilai ICO.

1 1. Lihat listing ICO atau lawat forum

Kebiasaannya laman web popular seperti coindesk atau cointelegraph akan mengumumkan tentang ICO baru di tag press release mereka. Pengumuman ini merupakan iklan berbayar dan tidak menunjukkan mereka menyokong ICO tersebut. Sama juga dengan coin.myreview kami tentang ICO yang sedang berjalan hanya bertujuan untuk memberi maklumat, dan tidak bermakna coin.my ada kepentingan dalam ICO tersebut.

Kini, terdapat banyak laman web yang menyenarai dan menilai ICO yang dilancarkan. Contohnya seperti tokenmarket atau coinschedule untuk mendapatkan senarai ICO terbaru termasuk maklumat yang berkaitan ICO tersebut. Laman web seperti icorating dan icobench pula membuat penilaian dan memberi rating kepada ICO. Selain itu, kebiasaannya ICO akan diumumkan di ANN thread di BitcoinTalk.org, dan di sini anda boleh membaca komen-komen orang ramai di post tersebut. Banyak persoalan yang mungkin timbul di dalam minda anda sudah di tanya oleh ahli lain, dan anda boleh mendapatkan jawapan anda di situ.

2 2. Lawat laman web ICO

Laman web adalah platform untuk mendapatkan semua maklumat tentang projek ICO tersebut. Di sini lah anda boleh mendapatkan maklumat tentang projek ICO tersebut dengan lebih terperinci, developers team di belakang projek itu, dan juga latar belakang syarikat itu sendiri. Ini adalah gambaran pertama anda untuk menilai sesuatu ICO. Jika laman web tersebut tidak mempunyai banyak maklumat atau seperti meniru kandungan laman web lain, ini adalah umpama red flag pertama tentang kesahihan projek ICO itu.

3 3. Kandungan Whitepaper

Dalam dunia matawang kripto yang penuh dengan ketidakpastian dan pada masa yang sama potensi yang tidak dapat dibayangkan, whitepaper menjadi kayu ukur sesebuah projek. Banyak whitepaper yang di sediakan sangat teknikal dan sukar difahami orang ramai, dan banyak juga whitepaper lebih kepada business plan. Tetapi tujuan whitepaper adalah sama: menerangkan tentang projek yang ingin dibiayai dan juga hala tuju projek tersebut. Antara perkara-perkara yang anda patut kaji dalam whitepaper adalah seperti di bawah:

Produk yang ditawarkan

Perkara pertama adalah melihat produk yang ditawarkan. Adakah ianya sebuah software untuk pengguna seperti Ethereum? Ataupun ia sebuah platform pengguna seperti LBRY atau Steemit?

Terdapat pelbagai jenis projek dalam pelbagai jenis sektor yang anda boleh bayangkan. Kewangan, pendidikan, media, hartanah, infrastruktur, kesihatan dan macam-macam lagi. Pilihlah projek yang anda sokong atau yang anda rasa mempunyai potensi besar dalam jangka masa panjang.

Token yang ditawarkan

Adakah token yang ditawarkan mempunyai kaitan dengan produk? Apakah fungsi token tersebut? Seperti Ether yang perlu untuk menggunakan platform Ethereum. Atau ia hanya by-product seperti Ripple, atau token itu sendiri adalah produk, seperti DOGECoin, Dash atau Litecoin.

Bagaimana pula dengan nilai token itu sendiri? Apa yang akan menyebabkan permintaan terhadap token itu meningkat (selain daripada ICO itu sendiri)? Adakah token itu boleh digunakan untuk membeli produk atau barangan lain, atau hanya boleh di jual beli dengan matawang krypto lain?

Bagaimana pula untuk mendapatkan token tersebut? Adakah hanya dengan membelinya atau boleh melalui aktiviti mining? Selalunya pencipta token akan pre-mine token (10-20%) dan menawarkan mining beberapa bulan selepas ICO. Jika 50 peratus atau lebih sudah di pre-mined oleh pencipta token, ini bermakna modal pasaran akan dikuasai pencipta token, bukannya pengguna.

Jumlah token

Jika token yang ditawarkan tidak mempunyai had maksima (unlimited), ini bermakna token yang anda miliki tidak mempunyai nilai yang boleh bertambah kerana secara teknikal permintaan terhadapnya berkurang (memandangkan ada bekalan lain) walaupun permintaan terhadap token tersebut bertambah. Contohnya, ICO Bancor yang berjaya mengutip lebih USD$150 juta. Dari perspektif pelabur, mereka tidak mendapat keuntungan daripada jumlah tersebut kerana token yang ditawarkan tidak mempunyai had pengeluaran. Atau contoh terbaik Bitcoin yang bertambah nilai memandangkan bekalannya semakin sedikit.

Masalah dan penyelesaian

Ini adalah tema yang agak biasa dalam projek ICO. Sudah pasti dengan perkembangan teknologi baru seperti teknologi blockchain, kita dapat menyelesaikan banyak masalah di dunia ini. Jadi, teliti betul-betul apa masalah yang ingin diselesaikan dan apa penyelesaian yang ditawarkan. Adakah ianya sesuatu yang diperlukan di dunia, adakah ia realistik? Lebih penting, adakah projek ini satu-satunya projek yang ingin menyelesaikan masalah tersebut, atau menawarkan penyelesaian yang unik dari projek lain? Di sini anda sudah boleh menilai potensi sesebuah projek untuk berjaya dalam jangka masa panjang.

Potensi token

Mungkin persoalan paling penting, khususnya buat pelabur yang ingin mendapat keuntungan. Apakah potensi token dalam masa terdekat? Adakah pemegang token akan mendapat pulangan dari projek, atau kelebihan lain? Adakah ianya boleh dijual serta-merta selepas membeli, atau perlu disimpan? Semua ini bergantung kepada fungsi token yang ditawarkan.

Roadmap projek

Ini juga persoalan yang sangat penting kerana ia memudahkan kita untuk membuat penganggaran tentang potensi projek tersebut. Adakah projek itu akan dilancarkan sekaligus, atau mengikut fasa? Adakah projek itu menawarkan produk-produk lain seperti wallet atau exchanger? Bagaimana pula dengan rancangan jangka masa panjang mereka?

Developers dan core team

Ramai yang menganggap latar belakang team di belakang projek itu sangat penting. Dari situ kita dapat menilai sama ada mereka komited dengan projek mereka dan apa pengalaman yang mereka ada. Tidak bermakna jika kita tidak mengetahui siapa yang mengendalikan projek itu menunjukkan projek itu tidak ada potensi.

Dan daripada maklumat ini, anda juga boleh melihat kod di sebalik token yang ditawarkan. Kebanyakan kod token adalah terbuka dan akan dipaparkan di GitHub dan di situ anda boleh menilai sama ada kod yang digunakan untuk token tersebut berkualiti atau tidak dari segi keselamatan, kepantasan transaksi dan fungsi.

Tidak semesting semua whitepaper akan mempunyai maklumat seperti di atas, dan mungkin ada maklumat lain yang tidak diterangkan di atas. Senarai di atas hanyalah sebagai panduan, dan apa yang penulis rasa agak penting bagi penulis dalam menilai whitepaper. Anda mungkin mempunyai pendapat anda sendiri, dan anda boleh ajukan kepada penulis untuk ditambah dalam artikel ini.

4 4. Media sosial

Selain daripada laman web dan whitepaper, media sosial juga memainkan peranan penting. Hampir separuh daripada populasi dunia mempunyai akses internet dan hampir semua daripada peratusan itu mempunyai akaun Facebook, Twitter, Tumblr dan lain-lain lagi. Termasuklah team di belakang projek ICO. Anda boleh mencari maklumat LinkedIn mereka dan follow Facebook atau Twitter mereka. Di situlah anda boleh mendapat maklumat terkini dan review tentang projek mereka. Rajinlah membuka forum di Reddit atau BitcoinTalk untuk maklumat tambahan.

5 5. Naluri dan common sense

Akhir sekali, point ini adalah yang paling penting dalam panduan ini. Kita boleh mendengar ajakan rakan-rakan sekililing untuk turut serta atau melihat komen-komen positif tentang keuntungan yang boleh diperoleh dari pelaburan, tetapi masih lagi ragu-ragu tentang projek tersebut. Ini mungkin naluri anda atau lebih tepat lagi, common sense anda yang berkata jangan melabur dalam token tersebut. Jangan mudah terpengaruh dengan pendapat orang lain tanpa membuat analisa sendiri. Kajilah sebaik boleh tentang setiap projek yang menarik minat anda, risiko yang ada, dan jika anda membuat keputusan untuk melabur, laburlah dengan bijak.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.