Default – Above Header Ads

JPMCoin: JP Morgan Menjilat Ludah Sendiri

Awal-awal dahulu, semasa Bitcoin baru di perkenalkan, musuh utama Bitcoin adalah institusi kewangan dan bank. Ini adalah kerana mereka adalah kuasa pusat yang mengawal pengaliran matawang fiat dan juga transaksinya. Matawang kripto yang dikuasakan oleh teknologi Blockchain dicipta untuk membebaskan sistem transaksi daripada kuasa pemusatan dan juga pergantungan kepada pihak ketiga.

Sebelum ini penulis pernah bercerita tentang perbandingan Manifesto Cypherpunk, di mana Satoshi Nakamoto adalah salah satu ahlinya, dengan realiti hari ini. Penulis juga telah membincangkan tentang ideologi politik di sebalik penciptaan kripto.

Ironinya, pada hari ini, dunia matawang kripto bukan lagi hanya untuk “rakyat marhaen” yang ingin mendapatkan kembali kawalan ke atas aset mereka (melalui desentralisasi) bebas daripada kuasa pemusatan dan keperluan pengantara. Dahulu, majoriti pemain kripto adalah “IT geeks” dan startup dan gamers  dan segelintir kecil adalah mereka yang percaya dengan potensi matawang kripto (terutama pengguna pasaran gelap dan “pencuci” duit). Pada hari ini, dunia kripto yang kecil telah berkembang dan merangkumi pemain industri besar, pelabur institusi dan juga bank dan institusi kewangan.

Adakah ini sesuatu yang mengejutkan? Sudah tentu tidak.

Sifat pasaran kripto yang menyerupai free market economy ternyata menarik perhatian pemain-pemain besar yang sudah biasa dengan bursa saham atau Wall Street, kerana potensi teknologi blockchain di masa hadapan tetapi lebih penting lagi potensi keuntungannya. Jadi tidak hairan jika bank-bank juga, “musuh utama kripto”, akan mencari jalan untuk memasuki dunia kripto.

JP Morgan adalah contoh terkini.

Default – Inside Post Ads

Jika anda peka dengan berita kripto (aka pembaca setia coin.my), anda pasti tahu tentang kritikan Jamie Dimon, CEO JP Morgan Chase iaitu antara institusi kewangan terbesar di Amerika Syarikat, mengenai Bitcoin dan matawang kripto. Dia adalah salah seorang tokoh berpengaruh yang pernah mengkritik Bitcoin dan matawang digital, tetapi seperti beberapa tokoh lain sudah membuat “u-turn“.

“…Lupakan Blockchain, ia adalah satu teknologi…tetapi…matawang kripto tidak akan berjaya. Anda tidak boleh mempunyai suatu perniagaan, di mana sesiapa sahaja boleh mencipta matawang dengan tiba-tiba dan menganggap orang yang membelinya adalah orang yang bijak. Ia (matawang kripto) lebih teruk daripada Tulip mania.”

Itulah antara kritikan Jamie Dimon tentang blockchain dan matawang kripto.

Kini, JP Morgan adalah bank Amerika Syarikat pertama untuk mencipta dan menguji matawang digital yang mewakili matawang fiat, atau dalam bahasa kripto, dipanggil stablecoin.

Apa itu JPM Coin?

JPM Coin ini kononnya dicipta untuk membuat pembayaran serta merta menggunakan teknologi blockchain. Macam pernah dengar kan? JPM Coin akan fokus kepada penyelesaian (settlements) antarabangsa antara syarikat besar, mempercepatkan transaksi yang mengambil masa sehari atau lebih menggunakan platform seperti SWIFT. Pun macam pernah dengar kan?

Ayat pertama menggambarkan Bitcoin (dan banyak matawang kripto lain) dan ayat kedua menggambarkan Ripple.

JPM Coin dianggap sebagai stablecoin oleh JP Morgan kerana ia bersandarkan pada US Dollar yang disimpan dalam akaun spesifik di JP Morgan Chase. Dalam erti kata lain, tidak seperti Tether, JPM Coin disandarkan sepenuhnya kepada matawang fiat yang wujud. Menurut Umar Farooq, ketua Digital Treasury Services and Blockchain di JP Morgan, apabila satu klien menghantar wang kepada klien lain dalam rangkaian menggunakan blockchain, JPM Coin akan dipindahkan dan boleh dituntut serta-merta untuk jumlah US Dollar yang bersamaan dengannya, mengurangkan tempoh masa penyelesaian biasa.

Apa kelebihan JPM Coin?

JPM Coin tidak seperti matawang kripto lain seperti Bitcoin, Ether, Litecoin dan sebagainya yang tidak mempunyai kolateral dan juga hanya mempunyai nilai instrinsik yang tidak begitu stabil. Selain itu, JPM Coin juga bukan seperti stablecoin lain seperti Tether, USDC dan sebagainya yang bersandarkan simpanan matawang fiat di bank lain dan mempunyai tahap ketelusan yang berbeza-beza.

JPM Coin adalah matawang digital yang dibina di atas permissioned blockchain dan hanya pelanggan institusi sahaja yang boleh membuat transaksi dengan JPM Coin. Dalam erti kata lain, JPM Coin adalah stablecoin yang dicipta khusus untuk menjadi penyelesaian kepada pemindahan nilai antara institusi kewangan lain yang mempunyai akaun dengan JPM Coin.

Tetapi kelebihan penting JPM Coin mungkin adalah statusnya sebagai institusi bank terkemuka di Amerika Syarikat. JPMorgan Chase adalah bank terbesar di Amerika Syarikat dengan aset lebih US$2.534 trilion yang diuruskan bank itu menjadikan ia bank keenam terbesar di dunia menurut S&P Global. Keuntungan JPMorgan Chase pada tahun 2018 adalah US$109.029 bilion. Jadi kelebihan terbesar JPMorgan Chase adalah dari pada reputasinya dan juga pengkalan data pelanggannya.

Reaksi komuniti

Sudah tentu komuniti kripto pasti akan bersuara tentang penyertaan JPMorgan ke dalam dunia kripto ini. Dan majoriti mempersoalkan kegunaan JPM Coin memandangkan Ripple telah meletakkan dirinya sebagai platform untuk institusi kewangan dan bank. Malah CEO Ripple sendiri, Brad Garlinghouse telah mengatakan bahawa bank itu akan mendatangkan kembali masalah yang teknologi blockchain atau DLT cuba selesaikan.

Selain daripada CEO Ripple, beberapa CEO syarikat kripto lain juga turut mempersoalkan JPM Coin. Bill Barhydt, CEO wallet matawang kripto dan aplikasi pelaburan Abra, mengatakan bahawa “Inisiatif terbaru JPMorgan Chase tidak betul – kerana ia nampak seperti lejar untuk menyelesaikan perdagangan daripada coin.”

Namun begitu, ada juga yang mempunyai sentimen positif terhadap JPM Coin. Mereka berkata pemain institusi seperti JPMorgan menandakan bahawa terdapat inovasi yang berlaku kerana kebanyakan spekulator telah meninggalkan sektor itu. Kemasukan pemain institusi adalah tanda besar kematangan pasaran kripto.

Kesimpulan

JPMorgan mungkin bank Amerika Syarikat pertama yang menyertai pasaran kripto dengan mencipta matawang digital sendiri, tetapi ia bukanlah pemain institusi pertama dalam ruangan ini. Buat masa ini, kegunaan JPM Coin lebih kepada internal, jadi ia tidak boleh dibandingkan dengan matawang kripto lain seperti Bitcoin atau XRP. Namun begitu, jika ia membuat keputusan untuk menjadikan JPM Coin terbuka untuk awam, adakah ia akan menjadi antara matawang kripto terbesar di pasaran, atau hanya sekadar beribu-ribu matawang kripto lain masih satu misteri.

Tetapi apa yang pasti, di luar rangkaian pelanggan JPMorgan, JPM Coin tidak mempunyai ciri-ciri unik yang boleh mengatasi matawang kripto lain.

Seperti yang dikatakan Anthony Pompliano:

Long Bitcoin.

Short Bankers.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.