Default – Above Header Ads

4 Perkara Anda Perlu Elak Jika Harga Kripto Sedang Jatuh

Antara perbezaan besar pasaran saham dengan pasaran kripto adalah, pasaran kripto lebih banyak dan sering dipengaruhi oleh sentimen dan persepsi. Oleh sebab itulah, harga kripto terutamanya Bitcoin adalah lebih tidak menentu dan amat sukar dijangkakan berbanding dengan harga saham.

Sekiranya anda membandingkan graf harga Bitcoin dengan graf trend pencarian kata ‘Bitcoin’ di Google, anda akan mendapati bentuk graf mereka hampir sama! Lebih ramai yang meng’google’ perkataan Bitcoin, lebih tinggi harga Bitcoin jadinya. Jika anda perhatikan carta di bawah ini, pencarian tentang Bitcoin mula menaik betul-betul sebelum harga Bitcoin turut naik.

Adakah ini satu kebetulan?

Kemungkinannya tidak. Pasaran kripto mempunyai ‘pelabur runcit’ yang lebih ramai berbanding pasaran pelaburan yang lain. Hal ini menjadikan pasaran kripto lebih dipandu oleh sentimen berbanding dengan faktor-faktor lain.

Atas dasar itulah, strategi pelaburan di pasaran kripto harus berbeza dengan strategi pelaburan di pasarah saham!

Di sini saya kongsikan 4 perkara yang perlu anda elakkan jika harga kripto sedang jatuh:

Jangan Panik

Nasihat ini mudah bunyinya, tapi amat sukar apabila berhadapan dengan situasi sebenar. Yalah, bayangkan kripto yang kita beli dan letakkan harapan menggunung tinggi, tiba-tiba sahaja hilang 90% daripada nilai ketika anda membelinya. Siapa yang tak panik?

Sekiranya anda benar-benar memahami yang harga kripto adalah amat tidak menentu dan boleh berubah bila-bila masa tanpa ada sebab-musabab yang kuat, anda akan lebih tenang dan matang.

Melabur dalam kripto adalah seperti menaiki ‘roller coaster’; ada naik dan turunnya dan kedua-duanya pada halatuju yang sangat tinggi. Orang yang benar-benar menikmati pengalaman menaiki ‘roller-coaster’ adalah mereka yang ‘enjoy the moment’ dan bukannya yang panik tak tentu pasal!

Menunggu Harga Yang Paling Rendah

Apabila harga sesuatu kripto sedang merudum jatuh, ada dalam kalangan pelabur yang mahu tunggu sehingga harga kripto tersebut jatuh pada harganya yang paling rendah.

Masalah dengan strategi begini adalah, bilakah masanya harga kripto tersebut akan jatuh paling rendah? Tiada siapa tahu.

Apabila anda berterusan meneka bilakah masanya kripto tersebut akan berada pada harganya yang paling rendah, kemungkinan besar anda akan terlepas saat itu dan sebelum apa-apa, harga kripto tersebut sudah pun meningkat semula.

Oleh sebab itu, strategi yang lebih baik adalah tidak menunggu terlalu lama dan membuat pembelian sebelum harga kripto tersebut jatuh pada parasnya yang paling rendah.

Orang tamak selalu rugi kan?

Jual Coin Anda Untuk Beli Coin Yang Sedang Naik

Hampir semua orang pernah melakukannya kan? Apabila coin yang ada dalam tangan anda sedang jatuh harganya, anda pun panik, menggelabah mahu segera menjual coin anda itu dan membeli coin lain yang sedang naik harganya; hanya untuk mendapati coin yang telah anda jual itu naik harganya tidak lama selepas itu!

Sekiranya coin yang ada miliki adalah coin yang anda beli hasil kajian anda dan anda telah membuat due diligence yang sepatutnya, anda hanya perlu bersabar dan tidak perlu menggelabah ayam apabila harganya jatuh. Sekiranya coin anda itu benar-benar berpotensi, lambat laun harganya akan naik semula.

Jangan biarkan FOMO menguasai strategi pelaburan anda.

Memerhatikan Carta Harga Sepanjang Hari

Anda tidak mungkin boleh mengubah graf harga dengan pandangan mata anda, walaupun anda adalah keturunan Wali Songo atau berbau bacang dengan Mak Lampir. Hakikatnya, banyak masa akan dibazirkan sekiranya strategi anda hanyalah memerhatikan carta.

Apabila anda tiada perkara lain untuk dilakukan melainkan memerhatikan carta, anda akan cenderung untuk menjadi lebih emosional dan apabila emosi menguasai diri, kemungkinan untuk anda melakukan kesilapan adalah lebih tinggi.

Kadangkala perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah untuk meletakkan ‘limit-order’ dan berjalanlah pergi dengan tenang untuk melakukan urusan lain. Letakkan kepercayaan pada strategi anda kerana pelaburan tanpa strategi adalah berjudi.

Ingat 4 perkara yang saya kongsikan ini dan lain kali, apabila harga kripto anda jatuh merudum, anda akan dapat menghadapinya dengan lebih macho dan tenang, ‘like a boss’!

Ditulis oleh:

Adam Effendy Mustapha

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.