Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

5 Sebab Mengapa Bitcoin di Tangga Teratas

Satu dekad sudah berlalu sejak kita diperkenalkan kepada matawang kripto. Bitcoin adalah matawang digital berdasarkan teknologi Blockchain yang pertama diperkenalkan, dan sehingga kini ia masih lagi matawang kripto terbesar dari segi kapital pasaran.

Harga tertinggi atau All-Time High (ATH) Bitcoin yang mencecah hampir $20,000 masih lagi tidak tercabar sehingga hari ini, dan harga Bitcoin sendiri masih belum pulih daripada kejatuhan signifikan sejak ATH pada bulan Disember 2017. Dominasi Bitcoin pula menurut coinmarketcap.com adalah 64%, satu angka yang masih lagi tinggi. Walaupun begitu, ramai penganalisa yang menjangka dominasi Bitcoin akan semakin berkurang mengikut masa.

Buat masa ini, apa yang kita boleh lihat adalah Bitcoin masih lagi kekal di tangga nombor satu dalam pasaran kripto. Jadi, mengapa Bitcoin boleh kekal di atas? Padahal jika kita lihat dari segi teknologi, banyak lagi matawang kripto lain yang lebih canggih dan mempunyai teknologi lebih hebat daripada Bitcoin. Apa yang Bitcoin ada yang tiada pada matawang kripto lain?

1. Bitcoin muncul beberapa tahun lebih awal

Ini adalah kelebihan paling utama Bitcoin. Bitcoin diperkenalkan beberapa tahun lebih awal dari matawang kripto lain, dan walaupun pada awalnya Bitcoin hanya dikenali dalam kalangan golongan programmer, ahli kriptografi dan seangkatan dengannya, ia masih lagi menikmati first-mover advantage apabila dunia mula mengenali matawang kripto.

Tambahan lagi, Bitcoinlah yang mencetuskan hype terhadap teknologi Blockchain matawang kripto. Penerimaan matawang kripto juga bermula dengan Bitcoin, dan pada hari ini kita sudah dapat pelbagai negara menggunakan Bitcoin secara meluas.

Disebabkan itu, sehingga hari ini, sesiapa sahaja yang baru memasuki dunia kripto hampir semuanya melalui Bitcoin.

2. Bitcoin adalah bukti use case untuk penyimpanan nilai

Bitcoin telah membuktikan potensinya sebagai tempat penyimpanan nilai atau store of value di hadapan matawang kripto lain. Dari harganya serendah $200 sehingga setinggi $19,000, Bitcoin menjadi pilihan matawang kripto untuk dibeli dan disimpan, terutama penduduk negara-negara yang menghadapi krisis ekonomi.

Baru-baru ini kita mendengar Bitcoin dijual dengan harga premium melebihi harga pasaran di Zimbabwe. Ini adalah kerana keadaan ekonomi Zimbabwe yang kian teruk, ditambah lagi dengan larangan memiliki, membeli dan menjual matawang kripto di negara itu menyebabkan permintaan Bitcoin di negara itu naik dengan mendadak.

Negara lain yang pernah menghadapi krisis ekonomi seperti Venezuela, Argentina, India dan sebagainya juga telah membuktikan bahawa Bitcoin adalah alternatif terbaik untuk menggantikan matawang fiat. Setakat ini, tiada lagi matawang kripto lain yang dapat menandingi Bitcoin sebagai tempat penyimpanan nilai.

3. Bitcoin paling mudah di akses

Ini adalah tarikan utama Bitcoin. Selain daripada di hampir semua bursa pertukaran kripto, platform pertukaran P2P dan pembekal wallet, Bitcoin juga kini boleh didapati di ATM seluruh dunia. Malah, terdapat beberapa syarikat yang menawarkan kad debit Bitcoin, di mana anda boleh membelanjakan Bitcoin anda seperti anda membelanjakan matawang fiat anda.

Selain itu, jumlah peniaga yang menerima Bitcoin semakin bertambah di seluruh dunia. Berbanding dengan matawang kripto lain, Bitcoin mempunyai kecairan yang paling besar, menjadikan ia lebih mudah diterima oleh peniaga.

Dan dengan penerimaan Bitcoin sebagai kaedah pembayaran yang sah di pelbagai negara, tidak mengejutkan jika tidak lama lagi Bitcoin akan disenaraikan bersama-sama kaedah pembayaran seperti perbankan online, kad debit/kredit, e-wallet dan wang tunai.

4. Ekosistem Bitcoin yang menyeluruh

Walaupun matawang kripto lain mempunyai teknologi yang lebih canggih, atau infrastruktur yang lebih baik dari Bitcoin, Bitcoin tetap menjadi pilihan utama pengguna. Ini adalah kerana ekosistem Bitcoin yang lebih besar dan menyeluruh berbanding dengan yang lain.

Bitcoin hanya awal beberapa tahun daripada matawang kripto lain tetapi dalam hanya satu dekad, ekosistem Bitcoin merangkumi bukan sahaja pengkalan pengguna yang besar, kumpulan pembangun yang berdedikasi dan juga operasi perlombongan yang efisyen, tetapi ia juga mempunyai usahawan paling banyak membangunkan startup, perniagaan dan projek berdasarkan Bitcoin.

Dan dengan ekosistem yang besar, dan teknologi yang sentiasa berkembang, sudah tentu Bitcoin juga perlu ditambah baik untuk menjadi lebih efisyen. Pembangun Bitcoin mempunyai dedikasi yang tinggi untuk menjadikan Bitcoin lebih baik untuk penggunanya. Ini dapat dilihat dengan perkembangan Lightning Network dan juga cadangan-cadangan untuk menaiktaraf Bitcoin seperti penambahan Schnorr Signature dan juga Taproot yang masih dalam perancangan.

5. Pemain institusi memasuk dunia kripto melalui Bitcoin

Dan akhir sekali, sebab mengapa Bitcoin masih kekal di tangga teratas kerana kemasukan pemain institusi. Bukan sahaja harganya yang tinggi menarik minat pemain institusi, tetapi juga dengan penglibatan pemain-pemain besar ini, ia menjamin jumlah matawang fiat yang signifikan yang masuk ke dalam pasaran Bitcoin.

Ia boleh dikatakan perkembangan paling penting dalam pasaran Bitcoin kerana ia telah membuktikan bahawa Bitcoin sudah diterima di mainstream sebagai instrumen pelaburan kewangan seiring dengan saham, komoditi dan kelas-kelas aset lain. Tambahan lagi, pemain-pemain insitusi inilah yang akan menjamin kedudukan Bitcoin di tangga teratas kerana mereka akan meyakinkan pengguna matawang kripto lain untuk melabur dalam Bitcoin.

Bonus: Harga Bitcoin semakin menaik

Apa lagi bukti yang anda perlukan? Harga Bitcoin yang melonjak tinggi dan dikatakan parabolik membuktikan kadar permintaan terhadapnya yang semakin bertambah. Dan semakin Bitcoin dikenali di media mainstream, diterima kerajaan negara, digunakan sebagai alat pembayaran dan juga instrumen pelaburan, selagi itu ia akan mempunyai kelebihan ke atas matawang kripto lain dan semakin besar jurang persaingan itu.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.