Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Bitcoin Sebagai Matawang Simpanan Global?

USD adalah matawang simpanan global. Itu adalah fakta yang diterima seluruh dunia. Tetapi mengapa USD? Bagaimana USD diterima sebagai matawang simpanan global?

Menurut Wikipedia, reserve currency atau matawang simpanan adalah matawang yang disimpan dalam kuantiti yang signifikan oleh kerajaan dan institusi sebagai sebahagian daripada simpanan pertukaran matawang asing. Matawang simpanan akan digunakan dalam transaksi antarabangsa, pelaburan antarabangsa dan semua aspek ekonomi global.

Sejarah matawang simpanan global

Sebelum US Dollar menjadi matawang simpanan dunia, terdapat beberapa matawang daripada empayar berbeza yang dinobatkan sebagai matawang simpanan global. Ini termasuk drachma dari Greece, denari Rome, solidus Byzantine, dinar Arab, ducato Venice, florin Florentine, guilder Belanda dan franc Perancis.

Konsep matawang simpanan global betul-betul dibangunkan pada pertengahan kurun ke-19, dengan perkenalan bank pusat dan institusi kewangan dan ekonomi global yang lebih berintegrasi. Kebanyakan negara yang telah melalui revolusi perindustrian telah mengikuti jejak langkah United Kingdom dan meletakkan matawang mereka ke atas standard emas menjelang tahun 1860-an.

Ketika itu lebih 60 peratus daripada perdagangan dunia menggunakan pound sterling memandangkan UK adalah pengeksport utama dunia dan London menjadi pusat untuk pasaran insurans dan juga komoditi. Sterling kemudiannya menjadi matawang standard yang digunakan dalam transaksi antarabangsa.

Bagaimana USD menjadi matawang simpanan global

Perjanjian Bretton Woods 1944 telah menjadi permulaan kepada USD shingga ia mendapat kedudukannya pada hari ini. Sebelum ini, British Gold Standard Act telah memperkenalkan kembali  standard emas pada 1925, dan hampir semua negara menggunakan standard emas. Kerajaan mereka berjanji untuk menebus matawang mereka untuk nilainya dalam emas atas permintaan, dan ia telah membawa kepada kestabilan, diikuti deflasi, dan akhirnya kejatuhan pound yang memaksa Britain meninggalkan standard emas pada tahun 1931.

Pada tahun 1944, semua negara membangun pada waktu itu bermesyuarat di Bretton Woods, New Hampshire untuk menjadikan US Dollar sebagai sandaran sistem kewangan kerana ia mempunyai simpanan emas terbesar dalam kalangan negara-negara lain. Perjanjian ini membolehkan negara lain menyandarkan matawang mereka kepada USD dan bukannya emas.

Menjelang tahun 1970an, banyak negara mula menuntut emas untuk simpanan dollar mereka untuk melawan inflasi. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Presiden Nixon membuat keputusan untuk memisahkan dollar dan emas kerana ketika itu, USD sudah menjadi matawang simpanan global yang paling dominan.

USD adalah matawang simpanan dunia terkuat

Sebab utama mengapa USD adalah matawang simpanan terkuat dunia adalah kerana kekuatan matawang USD yang menyokong nilainya. Tahukah anda sebanyak lebih kurang $580 bilion wang nota USD dalam peredaran di luar Amerika Syarikat? Itu adalah 65 peratus daripada kesemua jumlah US Dollar. Jumlah ini merangkumi 75 peratus daripada nota $100, 55 peratus daripada nota $50 dan 60 peratus daripada nota $20.

Wang tunai USD banyak digunakan untuk transaksi harian terutama dalam negara jajahan Soviet Union dan juga Amerika Latin. Pada tahun 2014, menurut statistik, lebih 358 juta orang seluruh dunia menggunakan USD sebagai matawang pertukaran utama mereka, menyumbang lebih $17.25 trilion dalam aktiviti ekonomi.

Selain daripada wang tunai, lebih daripada satu pertiga GDP dunia datang daripada negara yang menyandarkan matawang mereka kepada USD. Menurut Worlddata, terdapat 15 negara yang menggunakan USD sebagai matawang rasmi mereka, dan juga 22 negara yang mempunyai kadar pertukaran tetap kepada USD.

Dalam pasaran pertukaran matawang asing (forex) pula, lebih 90 peratus daripada perdagangan matawang asing melibatkan US Dollar. Bercakap tentang hutang dunia, hampir 40 peratus adalah dalam USD. Oleh kerana itu, bank asing di luar AS memerlukan jumlah USD yang banyak untuk menjalankan perniagaan.

Bolehkah Bitcoin Menggantikan USD?

Dengan kemunculan Bitcoin sebagai alternatif kaedah pembayaran, tidak hairanlah jika rama yang tertanya-tanya tentang potensi Bitcoin untuk menggantikan matawang fiat.Yang terbaru adalah sama ada Bitcoin bakal menggantikan USD sebagai matawang simpanan global. Bolehkah ianya berlaku?

Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu pergi kembali kepada definisi matawang dan melihat sama ada Bitcoin memenuhi elemen-elemen penting matawang.

Medium pertukaran

Ini adalah fungsi asas matawang: sebagai medium pertukaran. Penggunaan matawang yang efektif adalah apabila individu, syarikat, organisasi dan entiti boleh menggunakannya untuk membeli barangan dan perkhidmatan.

Hakikatnya, walaupun sistem Bitcoin berdasarkan blockchain adalah satu revolusi dan boleh mengubah keseluruhan sistem transaksi, Bitcoin masih belum efektif sepenuhnya sebagai medium pertukaran. Ini adalah kerana harganya yang volatile atau tidak stabil. Berbeza dengan USD yang kehilangan sejumlah kecil kuasa pembeliannya setiap tahun kerana inflasi. Namun begitu, ianya berlaku dengan sangat perlahan sehinggakan pemain dalam pasaran tidak sedar akan perbezaan harga USD.

Selagi Bitcoin tidak stabil, selagi itu ia masih tidak boleh dipercayai sebagai medium pertukaran. Terdapat beberapa penganalisa yang mengatakan volatility adalah suatu isu yang boleh membetulkan dirinya sendiri, jadi tidak mustahil jika dalam beberapa tahun akan datang, harga Bitcoin akan lebih stabil dan ianya menjadi lebih efektif sebagai medium pertukaran.

Penyimpanan nilai

Menurut penyokong Bitcoin, ia adalah “tempat penyimpanan nilai yang sangat bagus, setanding dengan emas”. Cabarannya adalah untuk Bitcoin mengekalkan nilainya untuk jangka masa yang panjang.

Jika kita lihat negara-negara yang dilanda krisis ekonomi seperti Venezuela, Bitcoin dan matawang kripto lain seperti Dash adalah satu-satunya harapan penduduk Venezuela untuk membeli makanan, ubat dan keperluan harian mereka. Malah, ramai penduduk Venezuela yang membuat keputusan untuk meninggalkan negara mereka memindahkan aset mereka menggunakan Bitcoin.

Ini menunjukkan Bitcoin sudah mempunyai nilai yang boleh dipercayai.

Unit akaun

Satu lagi fungsi matawang adalah sebagai satu unit akaun. Ia bermakna apabila nilai sesuatu barangan dinyatakan dalam matawang itu. Ia membolehkan pelbagai barangan dibandingkan sesama sendiri kerana terdapat satu unit akaun untuk menilainya.

Adakah Bitcoin satu unit akaun?

Ada yang berkata ya, ada yang berkata tidak. Bitcoin adalah unit akaun dalam dunia kripto kerana ia digunakan untuk membeli matawang kripto lain. Tetapi dalam dunia nyata, harga Bitcoin yang tidak stabil tidak efektif sebagai unit akaun walaupun banyak perniagaan yang sudah menerima pembayaran dalam bentuk Bitcoin.

Kesimpulan

Tidak mustahil satu hari nanti Bitcoin boleh menjadi matawang yang digunakan dalam transaksi. Tetapi adakah ini bermakna ia boleh menjadi matawang simpanan dunia? Jika anda baca tentang USD di awal artikel ini, agak sukar untuk Bitcoin mengatasi USD sebagai matawang terkuat dunia. Ini adalah kerana banyak faktor yang menentukan matawang simpanan dunia, dan bukannya hanya pada penggunaan meluas dan nilai yang meningkat sahaja.

Dan buat masa ini, sukar untuk menyimpulkan bahawa Bitcoin boleh menjadi matawang simpanan dunia.

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.