Default – Above Header Ads

Patutkah Gaji dibayar Dalam Bitcoin atau Kripto?

Bitcoin. Siapa taknak kan? Jika ada yang menawarkan anda Bitcoin atau matawang kripto percuma, penulis pasti ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkannya. Tipu jika ada yang berkata mereka tidak mahu. Bagaimana pula jika bos anda menawar untuk membayar anda dalam Bitcoin atau matawang kripto? Adakah anda akan menerimanya?

Sejak kewujudan Bitcoin pada tahun 2009 dan seterusnya matawang kripto, sehingga kini antara isu terbesar adalah dari segi penggunaannya. Disebabkan harga matawang kripto yang tidak stabil (volatile), ramai pengguna atau pemilik matawang kripto menyimpan matawang kripto untuk menjana keuntungan.

Tetapi ada juga usaha untuk meluaskan penggunaan matawang kripto bukan hanya sebagai instrumen pelaburan sahaja. Kini, terdapat lebih 2000 matawang kripto yang mempunyai pelbagai jenis utiliti berbeza untuk pengguna. Selain daripada utiliti sedia ada dalam token atau matawang kripto, kita semua tahu fungsi asal matawang kripto adalah sebagai kaedah pembayaran alternatif kepada matawang fiat.

Jadi, tidak hairanlah salah satu aplikasi matawang kripto adalah dari aspek pembayaran gaji. Mari kita cuba merungkai kebaikan dan keburukan menerima/membayar gaji dalam bentuk matawang kripto dan menjawab persoalan sama ada patut atau tidak gaji dibayar dalam bentuk kripto?

Kebaikan

  • Dapat matawang kripto percuma – Siapa tidak mahu bukan? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dengan dunia matawang kripto boleh mencuba dengan gaji kripto
  • Kemungkinan mendapat untung – disebabkan pasaran matawang kripto yang sentiasa naik turun, gaji yang diterima dalam bentuk matawang kripto boleh menjadi alat pelaburan untuk anda.
  • Transaksi serta-merta dengan yuran transaksi yang rendah – majikan yang membayar gaji dalam kripto boleh jimat dari segi kos transaksi dan juga pemprosesan pembayaran gaji pekerja dan buat pekerja pula, gaji boleh diterima secara serta-merta tanpa perlu ‘refresh’ akaun bank untuk melihat gaji sudah masuk ataupun belum.
  • Menambah kesedaran tentang matawang kripto dan menggalakkan penggunaan meluas – terutama untuk syarikat yang terlibat dalam teknologi blockchain ataupun IT kerana sekurang-kurangnya pekerja boleh memahami dan merasai penggunaan matawang kripto di dunia sebenar.
  • Pekerja boleh memilih untuk menyimpan atau mencairkan matawang kripto – pekerja boleh memilih untuk menukarkan terus matawang kripto kepada fiat ataupun menyimpan matawang kripto tersebut, bergantung kepada keadaan pasaran. Ini akan mengajar mereka untuk melabur dengan bijak dengan hanya menggunakan matawang kripto mereka.

Keburukan

Default – Inside Post Ads
  • Risiko harga tidak stabil – dalam keadaan pasaran kripto masih lagi tidak stabil dan mudah dipengaruhi sentimen dan juga dimanipulasi, jika gaji dalam bentuk kripto disimpan dalam keadaan pasaran yang menurun (bearish), ia sudah tentu akan merugikan pekerja itu.
  • Tiada penggunaan meluas – Memandangkan jumlah peniaga yang menerima matawang kripto masih lagi sedikit, keadaan ini akan menyusahkan pekerja itu, lebih-lebih lagi dalam pembelian barangan dan perkhidmatan jika dia tidak tahu bagaimana untuk mencairkan matawang kripto yang diterima.
  • Tiada jaminan atau insurans – jika berlaku kehilangan tanpa diduga atau atas kecuaian pekerja itu sendiri, ataupun wallet matawang kripto digodam, undang-undang tidak akan menyelamatkan anda. Anda hanya mampu meratapi pemergian matawang kripto anda.
  • Sukar untuk mengira cukai pendapatan, bayaran EPF dan sebagainya

Jika kita bandingkan kebaikan dan keburukan menerima gaji dalam bentuk matawang kripto, macam lebih kurang sama sahaja. Hakikatnya, ia bergantung kepada tahap progresif sesebuah syarikat itu sama ada untuk memulakan inisiatif matawang kripto ini. Melainkan jika anda bekerja sendiri, atau freelancer, terpulang kepada anda sendiri untuk membuat perbandingan itu.

Sebenarnya sudah banyak syarikat yang membayar pekerja mereka dalam matawang kripto. Contohnya Bitcoin Foundation, yang memberi pilihan kepada pekerjanya untuk menerima gaji dalam Bitcoin. Ataupun GMO Internet, sebuah syarikat di Jepun yang memberi pilihan kepada pekerjanya untuk menerima sebahagian daripada gaji mereka dalam Bitcoin. Selain daripada itu, ada beberapa platform untuk freelancer yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menerima bayaran dalam bentuk Bitcoin, contohnya Earn dan Working for Bitcoins.

Bitwage pula adalah sebuah startup yang membantu majikan untuk membayar pekerja mereka dalam bentuk matawang kripto. Syarikat itu sudahpun membekalkan deposit Bitcoin sejak tahun 2014 lagi dan kini berkhidmat untuk lebih 30,000 pekerja. Ini menunjukkan ianya tidak mustahil untuk menubuhkan ekosistem di mana pekerja boleh dibayar dalam bentuk matawang kripto – sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripada gaji mereka.

Apa pun, dunia sudahpun mula bergerak ke arah penerimaan teknologi blockchain, dan penulis pasti 10 atau 20 tahun akan datang, matawang kripto akan menjadi salah satu alternatif pembayaran, seiring dengan wang tunai, kad kredit/debit, dan e-wallet. Persoalannya, adakah dunia sudah bersedia untuk implementasi matawang kripto dalam ekosistem kewangan? Adakah anda?