Ramalan tentang Bitcoin Halving
Bitcoin semakin mendekati peristiwa halving. Jika anda pengikut tegar matawang kripto ataupun Bitcoin itu sendiri, anda sudah pasti perasan harga Bitcoin kini sedang naik kan? Harap anda sempat membeli Bitcoin semasa harganya sedang jatuh, kalau tak rugi betul anda.
Apa itu halving?
Secara asasnya, halving adalah apabila kadar penciptaan Bitcoin baru dibahagikan kepada dua. Peristiwa ini berlaku setiap empat tahun sejak penciptaan Bitcoin pada tahun 2008. Pada mulanya, kadar penciptaan Bitcoin baru adalah 50 BTC dan jumlah ini akan diperolehi oleh miner yang mengesahkan blok baru Bitcoin.
Untuk ulang kaji, “blok” dalam blockchain Bitcoin merangkumi rekod transaksi Bitcoin. “Miners” akan bertanding untuk menambah blok baru dalam rantaian blockchain dengan menggunakan perisian khusus untuk menyelesaikan masalah matematik kompleks dan mengeluarkan “hash”.
Sebagai tawaran, “miners” akan memperoleh ganjaran dalam bentuk penciptaan Bitcoin yang baru dan proses ini berlaku setiap 10 minit. Dalam sistem blockchain Bitcoin, ia telah diprogram sejak awal untuk menjalani peristiwa halving setipa 210,000 blok yang di”lombong”, iaitu sekitar empat tahun sekali.
Peristiwa halving Bitcoin pertama berlaku pada tahun 2012, dan ganjaran Bitcoin setiap blok menjadi 25 BTC. Pada tahun 2016, sekali lagi peristiwa halving berlaku dan ganjaran Bitcoin menjadi 12.5 BTC setiap blok. Apabila peristiwa halving yang ketiga pada tahun 2020 berlaku, ganjaran Bitcoin akan menjadi 6.25 BTC.
Bila halving 2020 akan berlaku?
Tiada tarikh khusus yang menentukan bila halving 2020 akan berlaku kerana ia bergantung kepada jumlah blok yang telah dikeluarkan. Pada blok ke-630,000, ketika itulah ganjaran Bitcoin akan menjadi 6.25 BTC.
Menurut laman web bitcoinblockhalf ia akan berlaku pada 12 May 2020, iaitu lebih kurang 8 hari dari sekarang. Jumlah blok terkini adalah 628,843. Anda boleh mengikuti laman web tersebut untuk countdown halving Bitcoin.
Mengapa halving berlaku?
Seperti yang kita tahu, ciri-ciri Bitcoin berlawanan dengan matawang fiat, iaitu ia adalah deflationary. Seperti emas, jumlah Bitcoin akan semakin berkurang semakin masa berlalu dan akhirnya akan berhenti selepas keseluruhan 21 juta Bitcoin dikeluarkan. Teorinya adalah mengikut konsep scarcity, semakin sedikit jumlah Bitcoin yang boleh dimiliki, semakin tinggi permintaan untuk Bitcoin. Dan semakin tinggi permintaan, semakin bernilai Bitcoin itu.
Terdapat pelbagai pendapat tentang signifikan peristiwa halving Bitcoin ini. Dan rata-ratanya berkisar tentang harga Bitcoin pada masa akan datang.
Apa impak halving?
Untuk kita ramalkan impak halving Bitcoin akan datang, mari kita lihat impak halving sebelum ini. Selalunya ramai akan cakap harga Bitcoin akan naik mendekati halving. Tetapi ada juga berpendapat peristiwa halving sudah difaktorkan dalam harga Bitcoin di pasaran, jadi ia tidak akan ada impak signifikan pada harga Bitcoin.
Jika kita tengok carta harga Bitcoin di atas, harga Bitcoin naik selepas peristiwa halving, tetapi kadar kenaikannya tidak sama. Pada tahun 2012, harga Bitcoin naik dari $12 ke $650 dan pada tahun 2016, harga Bitcoin telah naik sehingga mencapai all-time high iaitu $20,000 pada penghujung tahun 2017.
Kenaikan tersebut bukan sahaja disebabkan peristiwa halving tetapi juga faktor-faktor lain seperti sentimen positif terhadap Bitcoin, perkembangan baru dari segi undang-undang dan banyak lagi. Dan memandangkan baru dua kali halving berlaku, sukar untuk meramalkan dengan tepat. Apa yang pasti harga Bitcoin telah naik pada kedua-dua peristiwa.
Jika kita lihat keadaan sekarang pun, harga Bitcoin sedang naik. Lihat dalam carta harga Bitcoin di bawah. Bitcoin naik hampir $10,000 daripada harga sekitar $7,000 dalam minggu yang lalu sahaja. Harga Bitcoin pada hari ini adalah $8,700.
Jadi dari segi harga, majoriti berpendapat harga Bitcoin akan naik menjelang dan selepas peristiwa halving tetapi tidak begitu mendadak kerana ianya sudahpun difaktorkan dalam harga Bitcoin. Namun begitu, impak halving ke atas ekosistem Bitcoin akan lebih signifikan.
Bilangan miners dijangkakan akan berkurang dengan mendadak, memandangkan ganjaran Bitcoin yang semakin kecil tidak memberi insentif terutama kepada miner yang tidak mempunyai perisian yang efisyen. Malah jika mereka kekal dalam blockchain, mereka mungkin akan rugi.
Dalam jangka masa panjang, harga Bitcoin dijangka akan naik melepasi $10,000 memandangkan peristiwa halving juga merupakan isyarat jumlah Bitcoin semakin menghampiri 21 juta. Menurut statistik Bitcoin, jumlah peratusan Bitcoin yang telah dilombong adalah 87.43% dan jumlah Bitcoin yang masih belum dilombong adalah sekitar 2.6 juta.
Walaupun nampak seperti Bitcoin semakin mendekati had bekalannya, masih ada banyak lagi masa untuk membeli Bitcoin. Jika anda sudah nekad ingin membeli Bitcoin, inilah masanya untuk membuat pembelian anda sebelum harganya naik lebih mendadak. Bagi yang sudah memiliki Bitcoin, sama-samalah kita berharap harga Bitcoin akan naik lebih tinggi selepas ini.