Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

Siapa Craig Wright Sebenarnya?

Siapa kenal Craig Wright, angkat tangan! Kalau anda sudah lama dalam pasaran kripto, atau pernah mendengar tentang Bitcoin SV, anda mesti kenal siapa Craig Wright ni. Dan kalau anda mengikuti berita tentang kripto, anda pasti sudah mendengar tentang kontroversi Craig Wright yang mengaku dirinya adalah Satoshi Nakamoto, iaitu pencipta Bitcoin.

Baru-baru ini juga banyak media sosial yang mendedahkan bahawa Craig Wright telah memfailkan 114 paten blockchain sejak tahun 2017 lagi. Dia juga telah berhenti daripada Twitter, platform yang digunakannya untuk mengeluarkan tweet berbaur propaganda mengatakan Bitcoin SV adalah Bitcoin sebenar, konsep anonymity adalah tidak bagus dan matawang kripto lain adalah penipu.

Siapa Craig Wright ini sebenarnya?

Craig Steven Wright adalah seorang ahli perniagaan dan saintis komputer yang berasal dari Australia dan lahir pada tahun 1970. Craig Wright menjadi tokoh yang dikenali dalam komuniti kripto apabila laporan media mengaitkan identitinya dengan Satoshi Nakamoto, pencipta Bitcoin yang dikatakan anonymous sejak 2008 lagi.

Craig Wright dikatakan telah cuba melancarkan bank Bitcoin yang pertama pada tahun 2014, dan laporan media tentangnya dikeluarkan oleh Business Insider Australia. Pada Disember 2015 pula, dua majalah popular Wired Magazine dan Gizmodo telah mengeluarkan liputan beberapa jam antara masing-masing tentang kemungkinan bahawa usahawan dan saintis komputer itu adalah pencipta matawang kripto terbesar di dunia dari segi kapital pasaran.

Liputan majalah Wired mendakwa Craig “sama ada mencipta Bitcoin ataupun penipu hebat yang ingin semua orang mempercayai dakwaannya.” Majalah itu telah menerbitkan beberapa terbitan blog yang sudah dipadam dari laman web peribadi Craig Wright, dokumen berkaitan dan juga rantaian emel dengan editor dan kenalannya sebagai bukti identitinya itu. Craig Wright pula memberi maklum balas bahawa dia “terlibat secara mendalam” dalam pembangunan matawang kripto pertama dunia itu.

Majalah Gizmodo pula telah mengeluarkan liputan tentang seorang penggodam yang dikatakan mendapat akses masuk ke dalam akaun emel Craig Wright, dan menjumpai dokumen yang kononnya mengatakan Satoshi Nakamoto adalah pseudonym untuk nama Craig Steven Wright dan rakannya, David Kleiman, seorang penganalisa forensik komputer dan pakar keselamatan siber yang mati pada tahun 2013.

Betul atau tidak dakwaan itu, hanya Craig Wright sahaja yang tahu.

Apa yang pasti, ramai yang merasa skeptikal dengan dakwaannya itu dan meminta Craig Wright mengeluarkan bukti yang lebih kukuh. Dalam cubaan untuk membuktikan dia adalah pencipta sebenar Bitcoin, Craig Wright menunjukkan paparan skrin terminalnya dan juga public key Satoshi daripada blok terawal Bitcoin. Namun begitu, dakwaan itu telah disiasat oleh penyelidik keselamatan Dan Kaminsky yang menyimpulkan bahawa ia adalah dakwaan yang palsu.

Malah ramai tokoh-tokoh popular dalam komuniti kripto yang merasa Craig Wright hanya inginkan publisiti dan dia bukanlah pencipta Bitcoin sebenar. Baru-baru ini pula John McAfee, ahli teknologi dan usahawan popular mengatakan dia mengetahui siapa Satoshi Nakamoto yang sebenar, dan kononnya akan mendedahkan identitinya, tetapi akhirnya menarik balik kata-katanya selepas dinasihati peguamnya.

Dua cara untuk membuktikan Craig Wright adalah Satoshi Nakamoto

Komuniti kripto yang meminta bukti lanjut daripada Craig Wright telah mengatakan bahawa terdapat dua cara untuk Craig Wright membuktikan dia adalah Satoshi Nakamoto. Yang pertama, dia boleh membuat transaksi menggunakan private key Satoshi Nakamoto atau yang kedua, dia boleh “menandatangani” satu mesej secara kriptografik dengan private key tersebut.

Namun begitu, apabila disuruh berbuat demikian, Craig Wright berkata:

“Saya percaya saya boleh berbuat demikian. Saya percaya saya boleh meletakkan tahun-tahun bersembunyi dan anonymity di belakang saya. Tetapi, melihat bagaimana minggu ini berlalu, dan saya membuat persediaan untuk menerbitkan bukti akses kepada private key itu, saya tersungkur. Saya tidak mempunyai keberanian itu. Saya tidak boleh.”

Mesti ramai yang terfikir, “Apakah…???”

Apapun selepas itu, Craig Wright akhirnya akur dengan permintaan komuniti kripto dan menerbitkan bahawa dia telah menandatangani Genesis Block Bitcoin. Pada 2 Mei 2016, dua laporan daripada The Economist dan BBC telah menjelaskan bukti Craig Wright: satu tandatangan kriptografik yang berkaitan dengan private key yang kononnya milik Satoshi Nakamoto.

Walaupun ia nampak seperti sahih, menurut pakar analisa, bukti Craig Wright tidak boleh diterima dan dia dijumpai hanya menggunakan tandatangan lama dari transaksi bitcoin yang dibuat oleh Satoshi pada tahun 2009.

Craig Wright yang mendakwa dirinya Satoshi Nakamoto tetapi pada masa sama enggan memberi bukti kukuh tentang identitinya itu telah menyebabkan ramai yang tidak percaya kepadanya. Ditambah lagi dengan bukti daripada penganalisa yang mengatakan dakwaannya tidak benar, Craig Wright telah digelar sebagai “Faketoshi” oleh komuniti kripto.

Dakwaan selain Pencipta Bitcoin

Selain daripada mengatakan dirinya adalah pencipta Bitcoin, nampaknya Craig Wright juga gemar membuat dakwaan tentang kelayakannya. Contohnya, syarikat Craig Wright, Cloudcroft telah mengisytiharkan dua supercomputer, salah satu yang dikatakan telah dikeluarkan oleh SGI. Namun begitu, SGI kemudiannya menjelaskan bahawa “Cloudcroft tidak pernah menjadi pelanggan SGI dan SGI tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan CEO Cloudcroft Craig Wright”.

Craig Wright juga pernah menyenaraikan dua PhD dalam halaman LinkedIn, termasuk satu daripada Charles Sturt University. Forbes telah menghubungi universiti tersebut dan menjumpai bahawa ia tidak pernah memberi Craig Wright PhD, walaupun ia telah memberi Craig Wright tiga ijazah sarjana dalam pentadbiran rangkaian dan sistem, pengurusan IT dan keselamatan sistem maklumat. Wright kemudiannya telah menerima PhD di universiti yang sama pada tahun 2017.

Selain dari itu, analisa teknikal tentang dua public key PGP yang dimiliki Wright, dikatakan berkaitan dengan Satoshi Nakamoto dijumpai telah dicipta kemudian daripada dokumen di mana ianya diterbitkan. Akhir sekali, beberapa terbitan dalam blog Wright yang kini sudah dipadam yang telah menunjukkan Wright sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam penciptaan Bitcoin telah diubah atau backdate, dan versi archive dari tahun 2013 tidak mempunyai terbitan-terbitan itu.

Penglibatan Craig Wright dalam perang hash BCH

Selain daripada kontroversi tentang identitinya, Craig Wright juga mengetuai kumpulan pembangun Bitcoin SV, yang bermatlamat untuk memulihkan kembali “protokol Satoshi yang asli” dengan mengubah struktur BCH sedia ada. Bitcoin SV adalah hasil daripada perpecahan komuniti BCH yang menghalang hard fork yang telah dijadualkan pada 15 November 2018 berlaku. Akhirnya, komuniti BCH telah dipecahkan kepada tiga: Bitcoin ABC, Bitcoin Unlimited dan Bitcoin SV.

Walaupun Bitcoin ABC telah memenangi “perang hash” dan berjaya mengekalkan penanda BCH asal, Bitcoin SV masih lagi hidup. Pada Februari yang lalu, nilai Bitcoin SV telah melonjak naik sebanyak 20%, menolak ia naik ke 10 matawang kripto teratas dari segi kapital pasaran. Pada waktu penulisan, Bitcoin SV menduduki tangga ke-14 dalam coinmarketcap.com dengan kapital pasaran sebanyak $957 juta.

Kesimpulan

Disebabkan isu-isu di atas yang melibatkan Craig Wright, dan dakwaannya yang boleh dikatakan tidak benar, ramai dalam komuniti kripto berasa skeptikal dengan kredibiliti Craig Wright. Ditambah lagi dengan pendapat negatifnya terhadap matawang kripto lain, dan juga kritikannya terhadap tokoh dunia kripto seperti Andreas Antonopolous dan Vitalik Buterin, dia sudah menjadi kambing biri-biri hitam komuniti kripto.

 

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads