Default – Above Header Ads

Sudah Berakhirkah Era Pax-Bitcoina?

Sudah Berakhirkah Era Pax-Bitcoina?

Tatkala harga Bitcoin mencecah US$19,000++ (kurang lebih RM80,000) pada Disember tahun lepas, berbondong-bondong orang mahu membeli dan menjadi pelabur dalam sekelip mata. Yalah, siapa yang tidak terliur dengan harga sedemikian rupa? Dengan 1 BTC sahaja, anda sudah boleh membeli sebuah kereta Honda City atau motosikal Ducati berkuasa tinggi!

Ketika itu, para pelabur kerbau (Baca: bull) meramalkan yang harga Bitcoin akan melonjak lebih tinggi pada tahun 2018. Malah ada yang membuat penasaran bahawa harga matawang digital ini akan meningkat sehingga US$100,000 pada akhir tahun ini! Fuhhh!!!

Ramai pelabur dan mereka yang beriman dengan Bitcoin meletakkan harapan yang tinggi dan begitu optimis dengan prestasi yang bakal ditunjukkan ayam tambatan mereka itu. Mereka yakin 2018 ialah tahun kegemilangan dan keemasan Bitcoin.

Namun malang seribu kali malang. Tahun 2018 menjadi igauan ngeri kepada ramai pelabur Bitcoin. Bermula dengan agak stabil di awal tahun pada harga US$15,000, harga Bitcoin terus menjunam, menjunam dan menjunam jatuh, sehinggalah mencecah harga terendahnya sejak September 2017 iaitu US$3,100. Sesiapa yang ada menyimpan Bitcoin ketika ini, terutamanya yang membelinya ketika harganya masih tinggi, pasti terasa seperti diserang sakit jantung berkali-kali melihat perkembangan terbaru yang melanda Bitcoin.

Dan bukan Bitcoin sahaja yang terkesan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada tahun 2018 ini. Matawang kripto utama yang lain seperti Ether, Dash, Bitcoin Cash dan Ripple turut menerima nasib yang sama, jika tidak lebih teruk lagi.

Maka adakah ini tanda-tanda pengakhiran bagi zaman pax-Bitcoina?

EXMO affiliate program

Ia bergantung kepada tahap keimanan dan mazhab mana yang anda ikuti.

Sekiranya anda lebih cenderung kepada mazhab pesimis, bergurukan Dr. Nouriel Roubini, menjadikan Profesor Joseph Stiglitz sebagai rujukan utama atau berkiblatkan Profesor Kenneth Roggof, anda pastinya bersetuju dengan mereka yang Bitcoin dan matawang kripto yang lainnya tidak mempunyai masa hadapan sebagai sebuah matawang kerana sifatnya yang tidak stabil dalam menyimpan nilai. Malah menurut Roubini, sesuatu yang tidak stabil seperti Bitcoin, yang harganya boleh berubah dalam sekelip mata adalah buih besar yang menunggu masa sahaja untuk pecah!

Amboi metafora dia.

Ketua Ahli Ekonomi Global Bahagian Pengurusan Harta UBS, Paul Donovan yang memang terkenal sebagai seorang skeptik pula berpendapat, Bitcoin tidak mungkin akan menjadi sebuah matawang kerana ada kecacatan besar pada asasnya. Bekas Ketua Rizab Persektuan Amerika Syarikat, Janet Yellen pula menyifatkan Bitcoin sebagai tidak berguna sebagai sebuah platform untuk menyimpan nilai kerana tidak stabil dan sangat tidak efisien dalam menguruskan sesuatu transaksi pembayaran.

Kesimpulannya, sekiranya anda percaya dan yakin kepada mereka ini, maka anda akan bersetuju yag sememangnya Bitcoin dan matawang kripto yang lainnya hanyalah satu scamberskala besar, yang naik turun harganya adalah spekulasi semata-mata dan tidak bersandarkan kepada apa-apa pembolehubah yang nyata.

Bahawasanya era kegemilangan pax-Bitcoina telah menemukan ajalnya!

Namun, sekiranya anda bermazhab optimis dan telah mengkaji Bitcoin dengan mendalam dan bukan sekadar ikut-ikutan, anda pasti akan faham bahawa apa yang sedang menimpa Bitcoin dan sekutu-sekutunya itu hanyalah sebahagian daripada satu kitaran normal yang turut dialami oleh mana-mana aset pelaburan sebelumnya. “Untuk setiap hari yang Bitcoin tidak mati,” menurut Alex Gurevich, seorang professor Matematik dan bekas eksekutif JPMorgan, “Ia semakin dekat untuk menjadi emas digital.”

Mike Novogratz, bekas eksekutif Goldman Sachs dan seorang pejuang matawang kripto tegar menyatakan yang penyesuaian terhadap matawang baru pastinya akan mengambil masa. “Revolusi tidak berlaku dalam sekelip mata,” katanya.

Dan anda tahu apa yang dikatakan oleh Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde, tentang matawang digital?

Bank-bank negara seluruh dunia perlu mempertimbangkan kebarangkalian untuk mengeluarkan matawang digital sendiri.” Fuh!

Di sebalik harga Bitcoin dan matawang kripto lain yang tampak seperti bermuram durja, realitinya, prestasi Bitcoin jauh mengatasi aset pelaburan yang lain.

Misalnya, dalam tempoh dua tahun yang lepas, harga saham Apple (AAPL), salah sebuah syarikat yang paling berharga di dunia, naik dari US$115 kepada US$165; kenaikan sebanyak 43.7%. Alphabet (GOOGL) pula, syarikat induk Google menyaksikan harga sahamnya meningkat sebanyak 32.7%; dari US$792 kepada US$1,071.

Dalam tempoh masa yang sama, harga Bitcoin meningkat dari US$1,000 kepada US$3,155; peningkatan sebanyak 215%, walaupun setelah penurunan nilai sebanyak 85%!

Lebih mengejutkan lagi, tahun 2018 menyaksikan kerugian pada hampir semua aset kewangan. Malah setiap kelas aset utama pelaburan mencatatkan pulangan negatif atau sekurang-kurangnya langsung tiada sebarang perubahan.

Sekadar memetik kata-kata CEO Binance, Changpeng Zhao, “2018 adalah tahun yang mencabar dari segi harga untuk matawang kripto. Dan kita melihat banyak projek yang tidak menjadi pada tahun ini. Jadi ia (tahun 2018) ialah tahun pembetulan.Tetapi teknologi akan terus bertahan… Saya fikir mereka yang berada di dalam industri masih sangat-sangat yakin dengan masa hadapan (matawang kripto). Jadi tidak perlu risau.”

Saya tinggalkan penulisan ini dengan satu fakta untuk anda fikir-fikirkan.

Bitcoin pernah didagangkan pada harga bawah US$100 pada tahun 2013 dan pada tahun 2018, tahun yang dikatakan ‘tahun neraka’ buat matawang kripto, harga terendah bagi Bitcoin adalah di sekitar US$3,100; peningkatan harga lebih 3,000%!

Jadi adakah era pax-Bitcoina benar-benar telah berakhir?

Masa akan menentukannya.

Penulis: Adam Effendy Mustapha, COO Bayan Token

[Disclaimer : Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Segala cadangan, kenyataan dan nasihat datang dari pihak penulis. Pihak Coin.My tidak terlibat atau bertanggungjawab terhadap kesalahan fakta yang dikeluarkan oleh penulis.]

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads