Default – Above Header Ads
Default – Below Header Ads

4 Isu Utama Teknologi Blockchain Orang Ramai perlu Tahu

Teknologi Blockchain sememangnya banyak potensi, dan memandangkan ianya foundational technology, atau suatu teknologi asas, ia mampu berkembang untuk menjadi lebih maju. Buat masa ini, teknologi Blockchain masih lagi di peringkat awal dan sudah tentu mempunyai pelbagai isu yang boleh ditambah baik. Sama seperti kebanyakan emerging technologies lain seperti AI dan digitalisasi.

Jika kita lihat gambar di atas, hala tuju Blockchain sebelum ia mencapai tahap plateau atau produktiviti yang mendatar masih lagi lama, iaitu 5-10 tahun lagi. Apa yang penting adalah untuk kita mengenal pasti isu-isu utama berkaitan teknologi Blockchain yang perlu dibaiki untuk menjadi lebih stabil dan mapan. Apa antara isu utama teknologi Blockchain?

Blockchain memberi kesan terhadap alam sekitar

Isu ini tidak asing lagi dalam kalangan pengkritik teknologi Blockchain, malah komuniti Blockchain sendiri kini sedang berusaha untuk mencari penyelesaiannya. Seperti yang kita tahu, ekosistem Bitcoin, aplikasi pertama Blockchain, melibatkan penggunaan komputer berkuasa tinggi oleh miners untuk proses pengesahan transaksi dalam rangkaian. Protokol konsensus yang menggunakan proof-of-work memerlukan komputer bekerja setiap masa tanpa henti untuk mengurus beratus ribu transaksi dalam Blockchain tersebut.

Menurut laporan BBC, penggunaan tenaga elektrik di Iceland untuk tujuan mining yang semakin bertambah mungkin akan menyebabkan pembekalan elektrik kepada populasi Iceland seramai 340,000 tidak mencukupi. Dan kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa tenaga yang diperlukan untuk aktiviti mining Bitcoin pada tahun 2017 melebihi purata tenaga elektrik yang diguna oleh 159 buah negara.

Penerimaan terhadap matawang kripto yang semakin meningkat dan juga penciptaan matawang kripto yang masih lagi menggunakan protokol konsensus POW menandakan bahawa jika isu ini tidak ditangani, tidak mustahil dunia akan menghadapi krisis tenaga. Lebih-lebih lagi negara yang menawarkan kos tenaga elektrik yang rendah seperti Iceland.

Isu skalabiliti

Topik mengenai skalabiliti Blockchain juga adalah sesuatu yang menjadi timbul tanya memandangkan kadar penggunaan teknologi tersebut semakin meningkat. Isu ini lebih fokus kepada Bitcoin kerana ia masih lagi Blockchain yang paling popular, mudah difahami infrastruktur dan paling berpotensi untuk diterima satu dunia berbanding matawang kripto lain. Jadi, isu skalabiliti Bitcoin dianggap sangat penting untuk membentuk pandangan seluruh dunia terhadap Blockchain, walaupun banyak lagi matawang kripto yang lebih maju daripada Bitcoin.

Throughput rangkaian Bitcoin membolehkan ianya menampung dalam lebih kurang 3 transaksi setiap saat (TPS), manakala jika kita lihat rangkaian Visa pula, TPS adalah lebih kurang 2,000 transaksi. Protokol SegWit adalah satu kod yang secara teori boleh menambah kapasiti throughput Bitcoin daripada 3 TPS kepada 6 TPS. Caranya adalah dengan mengimbang semula signature dalam data setiap transaksi ((baca: mengurangkan berat transaksi) untuk membolehkan lebih banyak transaksi dimasukkan kedalam blok.

Namun begitu, protokol SegWit sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan Bitcoin sebagai sistem pembayaran yang boleh diguna pakai satu dunia. Dan idea untuk menambah saiz blok Bitcoin dari 1MB ke 8MB tidaklah praktikal. Ini adalah kerana ia akan mengurangkan sekuriti di dalam rangkaian kerana lebih banyak hash power akan fokus dalam penciptaan blok yang lebih besar.

Satu lagi inovasi yand dicipta untuk menyelesaikan isu ini adalah Lightning Network (LN). Lightning Network boleh diimplementasi ke atas rangkain Blockchain jika protokol SegWit diaktifkan, dan ini membolehkan pengguna menyimpan Bitcoin mereka di lapisan on-chain, dan membuat transaksi di luar rangkaian Bitcoin, atau off-chain. Kapasiti LN direka bentuk hanya untuk membenarkan transaksi berjumlah kecil untuk melaluinya, jadi akan lebih banyak ruang dalam untuk transaksi on-chain. Jadi, ia bukanlah penyelesaian untuk transaksi bersaiz besar yang berlaku on-chain.

Pengawalseliaan matawang kripto

Semua orang tidak kira mereka yang pro-kripto mahupun anti-kripto mempunyai pandangan yang berbeza tentang pengawalseliaan matawang kripto. Ada yang berpendapat pasaran matawang kripto perlu dibiarkan untuk beroperasi sebagai pasaran bebas. Ada juga yang berpendapat bahawa tanpa pengawalseliaan, lambat laun rata-rata peserta pasaran matawang kripto akan menjadi mangsa penipuan ataupun manipulasi pasaran.

Ini adalah kerana setiap pemain dalam pasaran matawang kripto mempunyai kepentingan sendiri dan mereka yang mempunyai lebih kuasa ataupun sumber sudah pasti boleh mengambil kesempatan terhadap orang lain. Lihat sahaja penipuan yang berleluasa, ataupun ketidakstabilan harga matawang kripto yang kemungkinan besar dimanipulasi oleh pemain besar matawang kripto.  Dan kita boleh melihat kesan ketiadaan kawal selia dengan jelas daripada kes-kes penggodaman platform pertukaran atau kecurian yang berlaku menyebabkan kerugian yang tidak boleh diperoleh kembali.

Persoalannya, apakah tahap pengawalseliaan yang diperlukan? Keseluruhan ekonomi matawang kripto tercipta kerana orang ramai tidak mahu dikuasai kerajaan atau pengantara. Tetapi adakah kebebasan sepenuhnya mendatangkan kebaikan kepada semua pihak?

Teknologi Blockchain masih lagi tidak efektif dan cekap

Bagi pengguna biasa, teknologi Blockchain adalah suatu revolusi yang mendatangkan kebebasan dan ketelusan dalam transaksi yang dibuat. Namun begitu, bagi institusi dan syarikat besar, teknologi Blockchain tidak menyumbang kepada kecekapan sistem mereka. Ini adalah kerana pemahaman tentang teknologi Blockchain masih lagi di peringkat awal dan ramai tidak dapat melihat kelebihan Blockchain selain daripada lejar yang merekod segala-galanya, atau sistem transaksi yang pantas.

Lebih daripada itu, teknologi Blockchain dilihat lebih kompleks kerana elemen kriptografi yang diperlukan, atau rantaian blok yang sangat panjang yang terdapat dalam setiap komputer dalam rangkaian. Anggaran saiz keseluruhan blockchain Bitcoin adalah 20GB dan ia bertambah pada kadar 50 peratus setiap tahun, dijangka mencecah 3TB dalam masa 10 tahun lagi. Ia adalah satu beban bagi komputer yang memerlukan kuasa yang besar untuk mengurus Blockchain ini, menyebabkan ramai korporat beranggapan ia tidak efektif dan pembaziran sumber.

Banyak lagi isu-isu kecil lain

Isu-isu di atas merupakan antara isu yang paling signifikan dalam teknologi Blockchain, tetapi banyak lagi isu-isu kecil lain yang menyebabkan kadar penerimaan terhadap teknologi ini perlahan. Namun begitu, penulis masih percaya potensi teknologi Blockchain untuk pergi lebih jauh dalam masa beberapa tahun lagi jika isu-isu ini dapat ditangani.

Bak kata Steve Jobs, “The ones who are crazy enough to think that they can change the world, are the ones who do.”

===

Jika anda mahu berdiskusi dan bertanya tentang bitcoin, matawang kripto (cryptocurrency) dan teknologi blockchain di Malaysia. Anda dijemput bersama-sama komuniti Bitcoin Malaya di FB dan @CoinDotMy di Telegram. Jangan lupa ikuti kami di Twitter dan Instagram!

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads