Default – Above Header Ads

10 Projek ICO yang Paling Berjaya Sepanjang Masa

Tahun 2017 sahaja sebanyak 881 ICO yang sudah dilancarkan dan lebih USD$5 bilion berjaya dikutip. Dengan berpuluh-puluh ICO yang dilancarkan setiap hari, sudah pasti akan ada projek ICO yang berjaya merealisasi potensinya dan ada juga yang tersungkur tidak lama kemudian. Itulah adat persaingan, dan dalam pasaran matawang kripto yang semakin hari semakin bertambah pemain, sukar untuk projek ICO mencapai prestasi yang tinggi melainkan betul-betul mempunyai potensi.

Jadi, bagaimana sesuatu projek ICO itu dianggap berjaya? Adakah berdasarkan kutipan terbanyak atau analisa white paper daripada pakar-pakar? Terdapat banyak cara untuk menilai ‘kejayaan’ sesuatu projek ICO tetapi mungkin yang paling mudah adalah daripada kenaikan nilai matawang kripto. Ini adalah kerana ia sedikit sebanyak menunjukkan permintaan dan keyakinan terhadap sesuatu matawang kripto.

Mari kita sama-sama melihat senarai 10 projek ICO yang paling berjaya sepanjang masa:

10. Storj (+8,643%)

Storj adalah suatu platform yang digunakan untuk penyimpanan data, seperti Dropbox. Melalui Storj, pengguna boleh menyewakan ruang penyimpanan data yang tidak digunakan atau menyewa ruang tersebut untuk meyimpan data secara selamat.

Ianya platform yang membolehkan pengguna dalam rangkaian mencipta kontrak sesama sendiri, memindahkan data, mengesahkan dan mengambil data, dan juga membayar nod lain. Setiap data yang disimpan dalam Storg akan di-encrypt untuk memastikan keselamatannya.

 

Harga ICO : USD$0.009

Harga terkini : USD$0.827

9. DigixDAO (+10,703%)

DigixDAO adalah matawang kripto yang bersandarkan emas. DAO dalam DigixDAO bermaksud decentralized autonomous organization yang membolehkan pemegang token DigixDAO membuat keputusan tentang bagaimana untuk mengembangkan dan mengurus ekosistem Digix Global. Sebagai ganjaran untuk mengundi dan membuat keputusan, setiap pemegang token akan menerima 1 gram emas bagi setiap token.

Digix menggunakan Proof of Asset untuk merekod pemilikan aset (emas) ke dalam Blockchain Ethereum dan kad aset PoA disahkan oleh tandatangan digital setiap entiti dalam rantaian pemilikan, iaitu Vendor, Custodian, AuditorVendor adalah syarikat bulion emas ValueMax Singapore, Custodian adalah tempat penyimpanan emas di Singapura, The Safe House, dan Auditor adalah Bureau Veritas Inspectorate yang akan memeriksa kualiti dan kuantiti emas.

Misi DigixDAO adalah untuk mejadikan pemilikan dan pencairan emas lebih mudah dan murah untuk pengguna.

Harga ICO : USD$3.235

Harga terkini : USD$351.42

8. Lisk (+15,203%)

Lisk adalah satu platform yang mempunyai fungsi yang lebih kurang sama seperti Ethereum. Bezanya, objektif Lisk adalah untuk memberi kemudahan kepada mana-mana developer untuk membina aplikasi mereka menggunakan Javascript. Apa yang membuatkan Lisk berlainan dengan Ethereum adalah projek Lisk ingin menyelesaikan masalah skala atau scalability dan juga struktur insentif.

Lisk juga menggunakan ‘sidechains’ atau penambahan pada struktur utama Blockchain. ‘Sidechain’ membolehkan lebih banyak transaksi diproses dan mengurangkan data yang sedia ada dalam blok, menjadikan tempoh transaksi diproses juga menjadi cepat. Lisk juga menggunakan protokol konsensus Delegated Proof-of-Stake, di mana setiap token adalah 1 undi dan hanya 101 pengguna yang mempunyai token Lisk paling banyak sahaja yang boleh mengundi untuk membawa cadangan ke hadapan dan membuat keputusan besar.

Harga ICO : USD$0.076

Harga terkini : USD$11.37

7. Ark (+28,357%)

Platform Ark membolehkan sesebuah aplikasi digunakan di luar batas blockchain mereka sendiri. Sebagai contoh, jika anda mahu menghantar Bitcoin kepada seseorang, anda hanya perlu menghantar ARK di mana sistem SmartBridge akan bertanggungjawab dalam memproses dan convert token ini pada BTC.

Ark berpotensi untuk merevolusikan pasaran cryptocurrency kerana ia mempunyai kelebihan yang istimewa iaitu sistem SmartBridge yang berupaya untuk menyambung dan berkomunikasi sesama blockchain. Dengan teknologi ini, setiap coin menjadi lebih berkuasa dimana setiap aplikasi yang dihasilkan pada mana-mana blockchain mempunyai potensi untuk mencapai komuniti yang lebih besar.

Harga ICO : USD$0.010

Harga terkini : USD$2.83

6. Spectrecoin (+71,470%)

Spectrecoin adalah matawang kripto yang menekankan privasi, seperti Monero dan Zcash. Ia menggunakan protokol konsensus proof-of-stake yang membolehkan transaksi diproses dengan cepat, dan pengguna boleh menggunakan ring signature untuk menyembunyikan identiti. Spectrecoin juga menggunakan Tor+OBFS4 yang di integrasi secara penuh untuk mengaburkan alamat IP dalam wallet.

Dalam Spectrecoin, setiap nod dalam rangkaian beroperasi sebagai perkhidmatan Tor, dan tidak boleh dikenali daripada alamat IP. Dan dengan penggunaan OBFS4, Spectrecoin masih boleh digunakan dalam negara-negara yang melarang akses servis Tor. Misi Spectrecoin adalah untuk mengembalikan hak privasi, keselamatan dan identiti tersembunyi kepada pengguna semasa melakukan transaksi.

Harga ICO : USD$0.001

Harga terkini : USD$0.559

5. Stratis (+72,243%)

Stratis menawarkan platform mereka sebagai platform blockchain-as-a-service (BAAS) untuk syarikat dan institusi dimana syarikat-syarikat ini boleh membina blockchain tersendiri yang dikenali sebagai sidechain, yang berasaskan blockchain Stratis tersendiri. Stratis juga mempunyai token sendiri iaitu Strat.

Stratis menggunakan source code teras Bitcoin yang ditulis dalam bahasa programming C++ dan mengubahnya dalam bahasa programming C#. C# merupakan bahasa programming yang lebih mudah untuk difahami dan dikendali. Oleh kerana itu, ia memudahkan institusi dan syarikat yang ingin mencipta sidechain tersendiri yang bersandarkan blockchain Stratis.

Harga ICO : USD$0.007

Harga terkini : USD$5.10

4. Ethereum (+165,259%)

Ethereum adalah matawang kripto kedua terbesar selepas Bitcoin. Ia adalah sebuah platform yang membolehkan pengguna membina aplikasi desentralisasi. Ethereum adalah projek pertama yang menjadikan istilah smart contract popular.

Dalam infrastruktur Ethereum, penggunaan Turing complete software yang dinamakan Ethereum Virtual Machine (EVM) membolehkan kod-kod dalam smart contract dilancarkankan melalui rangkaian nod-nod yang menyertai Blockchain Ethereum.

Harga ICO : USD$0.311

Harga terkini : USD$509.94

3. Neo (+192,943%)

NEO sebenarnya sudah beroperasi sejak 2014 lagi, di bawah nama Antshares, sebelum ditukar nama ke NEO pada pertengahan tahun 2017. Kumpulan developers di belakang Antshares merupakan kumpulan yang sama yang menubuhkan Onchain, syarikat teknologi Blockchain yang terkenal di China.

Misi NEO adalah untuk menubuhkan sebuah rangkaian ekonomi baru berdasarkan teknologi Blockchain dan smart contract. Projek NEO menggabungkan teknologi Blockchain dan identiti digital untuk memasukkan aset ke dunia digital, menggunakan smart contract untuk mengurus aset digital tersebut, dan juga menggunakan distributed network atau rangkaian peer-to-peer dalam Blockchain untuk mencapai smart economy.

Harga ICO : USD$0.032

Harga terkini : USD$60.29

2. IOTA (+298,217%)

IOTA membolehkan perniagaan berhubung sesama mereka dan menjalankan transaksi tanpa caj. IOTA juga adalah projek ICO pertama yang menggunakan teknologi mereka sendiri, dinamakan “the Tangle” yang berbeza dengan teknologi blockchain.

Seperti blockchainTangle juga adalah lejar yang dikongsi dalam rangkaian IOTA. Bezanya lejar Tangle tidak mempunyai blok (blockless) transaksi yang merupakan ciri utama blockchain. Matlamat utama IOTA adalah melahirkan ekonomi untuk jentera (Machine Economy). Satu ekosistem di mana jentera boleh membuat pertukaran sumber (elektrik, simpanan data, computational power, dan lain-lain).

Harga ICO : USD$0.00000133

Harga terkini : USD$1.28

1. NXT (+860,120%)

NXT merupakan antara projek terbesar yang pernah membuat ICO. Ia adalah sebuah platform yang mempunyai pelbagai fungsi, termasuk pertukaran aset secara desentralisasi (Decentralized Asset Exchange), pasaran untuk matawang kripto, sistem mengundi dan juga pembelian matawang kripto Nxt. Dalam erti kata lain, Nxt menggunakan Blockchain untuk membina sebuah ekosistem pelbagai aplikasi yang memerlukan penggunaan matawang kripto Nxt.

Walaupun Nxt sendiri adalah Blockchain terbuka, ia juga menawarkan lesen untuk Blockchain tertutup yang berdasarkan software Nxt. Nxt juga membolehkan developers mencipta matawang kripto sendiri dan menyimpan data secara cloud. Ramai developers menganggap platform Nxt sebagai Blockchain 2.0 kerana ia menawarkan banyak aplikasi selain daripada hanya menyimpan lejar untuk transaksi. Tidak hairanlah mengapa Nxt merupakan projek ICO paling berjaya sehingga kini yang membawa pulangan keuntungan berlipat kali ganda.

Harga ICO : USD$0.0000168

Harga terkini : USD$0.13882

Nak beli bitcoin? Jangan tertipu dengan scammer bitcoin! Biar faham dulu tentang bitcoin! Klik sini untuk belajar.

Default – Between Post Ads